Kata-kata Aluan

Pengenalan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Yang mencipta alam dengan sifat-sifat-Nya yang sempurna. 

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w yang membawa Rahmah ke seluruh alam. 

Syukur kepada Allah s.w.t yang memberi nikmat peluang untuk memberi sokongan dan khidmat kepada Darul Tafsir, Masjid Alkhair bagi menjayakan projek penghasilan bahan-bahan tafsir dan tadabbur al-Quran. 

Seterusnya ucapan terima kasih kepada kepimpinan Masjid Alkhair yang memberi peluang dan kepercayaan kepada penulis untuk berkongsi sedikit ilmu yang dikurniakan Allah bagi menjayakan projek ini. 

Usaha kerdil ini bertujuan untuk mengajak kaum muslimin dan muslimat kepada tadabbur ayat-ayat al-Quran yang diturunkan khas untuk umat Muhammad s.a.w. 

Ia berpenampilan ringkas untuk mudah memahami intipati yang ingin disampaikan kepada kita. Ia ibarat jambatan untuk meneroka tafsiran lanjut yang boleh didapati dari kitab-kitab tafsir yang ulung. Para pembaca yang ingin mengetahui lebih lanjut akan perincian ayat-ayat yang dibaca, boleh merujuk kepada pelbagai kitab tafsir yang sedia ada. 

Metodologi

Bagi memastikan usaha ini berpandukan tafsiran yang betul, penulis telah mengambil beberapa rujukan asas dari kitab-kitab tafsir yang berwibawa seperti, Tafsir Ibn Kathir, Tafsir al-Qurtubi, Aysar al-Tafasir dan yang lain-lain. 

Dari sudut terjemahan pula, penulis merujuk kepada beberapa terjemahan secara fizikal dan online. Selanjutnya penulis melakukan olahan yang sesuai untuk memberikan maksud yang lebih mudah difahami menurut konteks bahasa Melayu. 

Penulis tidak menghuraikan lebih lanjut ayat-ayat yang jelas dan straightforward. Memadai dengan membaca terjemahan untuk memahami maksud ayat.

Usaha ini pasti tidak sempurna. Pasti ada banyak lagi panduan yang boleh dikongsi. Hanya yang diharapkan agar ia dapat menarik perhatian para pembaca untuk mengetahui lebih lanjut apakah lagi ilmu-ilmu yang terkandung dalam tafsiran ayat-ayat al-Quran yang boleh dijadikan pedoman untuk diamalkan.

Akhir kalam, segala yang baik datang dari Allah, yang lemah dan serba kekurangan datang dari insan yang kerdil lagi hina ini. Semoga apa yang diusahakan mendapat Rahmat dan Redha Allah s.w.t.  

 

Mustazah Bahari 

Rabiulawal 1445.

 

Previous

Next