Loading...

Hukum Muslim mewarisi harta bukan Muslim

Soalan

Bolehkah seorang isteri yang Muslim mewarisi harta suaminya yang bukan Islam?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Di dalam kitab Al-Mughni, Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi menjelaskan bahawa pegangan majoriti ulama di kalangan empat mazhab tidak membolehkan seorang Muslim mewarisi dari non-Muslim. Dalil yang digunakan sebagai hujah adalah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang bermaksud: “Seorang Muslim tidak boleh mewarisi orang kafir dan seorang kafir tidak boleh mewarisi seorang Muslim.”

Di dalam hadis riwayat Ahmad pula disebut sebagai berikut, “Tidak boleh penganut dua agama saling mewarisi sesuatu apa pun.”

Imam Ibn Al-Qayyim di dalam kitabnya Ahkam Ahl Az-Zimmah berkata, “Adapun menjadikan seorang Muslim waris bagi orang kafir, para salaf telah berbeza pendapat. Ramai daripada mereka berpendapat bahawa seorang Muslim tidak boleh mewarisi dari seorang kafir dan sebaliknya begitu juga seorang kafir tidak boleh mewarisi dari seorang Muslim. Ini adalah pendapat yang diketahui umum di sisi imam mazhab yang empat dan para pengikut mereka. Namun, segolongan dari salaf berkata bahawa dibolehkan seorang Muslim mewarisi dari non-Muslim, bukan sebaliknya. Ini adalah pendapat Muaz bin Jabal, Muawiyah bin Abi Sufyan, Muhammad bin Al-Hanafiah, Muhammad bin Ali Al-Husain (Abu Ja‘far al-Baqir), Sa‘id bin Al-Musayyib, Masruq bin Al-Ajda’, Abdullah bin Mughaffal, Yahya bin Ya’mur dan Ishaq bin Rahawaih. Pendapat ini juga adalah pilihan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah.”

Telah diriwayatkan bahawa dua orang saudara, seorang Muslim dan seorang lagi beragama Yahudi telah bertelingkah mengenai warisan peninggalan saudara mereka yang kafir dan merujuk masalah mereka kepada Yahya bin Ya’mur. Beliau memberi keputusan untuk si Muslim mendapatkan harta warisan tersebut berdalilkan sebuah riwayat hadis Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Islam itu menambah dan tidak mengurangkan.” (Riwayat Ahmad).

Seterusnya menerusi sejarah, Abdullah bin Ubay bin Salul, ketua bagi golongan munafiq di Madinah dahulu, apabila dia mati, harta warisannya diberikan kepada ahli keluarganya yang Muslim.

Menurut beliau, golongan kafir zimmi dahulu tidak memeluk agama Islam kerana mereka khuatir jika mereka menjadi Muslim, maka harta warisan keluarga mereka kelak tidak layak diterima, lalu mereka kekal menjadi kafir. Dengan hukum yang membenarkan mereka menerima harta warisan, maka ramai yang memeluk agama Islam. Inilah yang dimaksudkan dengan mencapai maslahat yang lebih besar yang diperakui di dalam perundangan Islam.

Syeikh Yusuf Al-Qardhawi di dalam kitabnya Fiqh Minoriti Muslim menjelaskan bahawa beliau secara peribadi bersetuju dengan pandangan yang membolehkan seorang Muslim mewarisi harta non-Muslim.

Adapun jawapan bagi hadis yang melarang pewarisan dari non-Muslim, beliau menjelaskan bahawa hadis tersebut difahami menerusi huraian yang dibuat oleh mazhab Hanafi terhadap hadis lain yang bermaksud: “Tidak boleh seorang Muslim dibunuh kerana membunuh seorang kafir.” Maksud kafir di dalam hadis itu adalah kafir harbi atau yang memerangi.” Justeru, maksudnya ialah seorang Muslim yang membunuh seorang kafir harbi, tidak wajar menerima hukuman mati. Begitu jugalah dalam soal warisan, seorang Muslim tidak boleh mewarisi dari seorang kafir harbi, yang memerangi umat Islam dengan tujuannya untuk memutuskan hubungan antara mereka, dua pihak.

Selain dari kafir harbi, maka ia dibolehkan kerana tiada permusuhan yang berlaku di dalam hubungan mereka.

Seterusnya beliau menjelaskan bahawa keharusan seorang Muslim menerima warisan saudaranya (sudut biologi) kerana adanya maslahat yang lebih besar iaitu harta tersebut tidak akan disia-siakan. Jika harta warisan tersebut tidak diambil, ia boleh sahaja disalah gunakan untuk tujuan-tujuan yang tidak baik seperti perjudian, membeli barang-barang yang haram, membazir kepada perkara-perkara yang tidak perlu dan sebagainya. Sebaliknya, jika harta warisan itu diambil oleh pewaris yang Muslim, ia boleh digunakan untuk perkara-perkara yang baik dan memberi manfaat kepada umat Islam secara keseluruhan. Hanya, beliau memberi saranan agar harta warisan itu tidak digunakan kesemuanya, hanya ambil yang diperlukan sahaja dan bakinya didermakan kepada badan-badan kebajikan Islam untuk manfaat umat Islam amnya.

Pendapat-pendapat yang diutarakan seperti ini memberi ruang yang luas bagi memahami keihsanan agama Islam. Ini jelas menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang praktikal, tidak jumud.

Kesimpulannya, setelah dibawakan hujah yang diutarakan oleh para ulama, maka sesiapa di kalangan individu Muslim yang menghadapi situasi seperti ini dalam hidupnya, boleh sahaja membuat pertimbangan yang betul dan adil. Saranan yang diberikan oleh Syeikh Yusuf Al-Qardhawi wajar dilaksanakan kerana ia mencapai maslahat yang lebih baik, iaitu harta tersebut dapat dimanfaatkan untuk kepentingan sendiri dan juga kepentingan umat Islam. Namun sebaliknya, jika terdapat bukti bahawa harta peninggalan non-Muslim tersebut akan dibahagikan kepada badan-badan kebajikan kemanusiaan dan keadaan diri Muslim itu pun tidak memerlukan biaya kewangan untuknya, maka tidak perlu baginya untuk mendapatkan harta tersebut. Biarlah ia diuruskan sewajarnya pada jalan-jalan kebaikan.