Loading...

Badan Islam menerima sumbangan dari sumber yang haram

Soalan

Apakah hukum bagi pertubuhan Islam menerima sumbangan derma dari syarikat bersumber pendapatan yang haram seperti judi dan minuman keras?

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Pada prinsipnya, Islam menggalakkan semua pihak, Muslim atau bukan, untuk berderma. Islam mengakui amalan berderma, baik oleh Muslim atau bukan Muslim, mempunyai kesan positif dalam kehidupan di dunia ini.

Pada prinsipnya juga, Islam menggalakkan umatnya agar mendapatkan sesuatu dari sumber yang bersih dan jauh dari syubhat. Sebuah hadis yang amat relevan dalam persoalan ini ialah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah itu elok dan tidak menerima kecuali yang elok sahaja.” (Riwayat Muslim).

Namun, dalam menghadapi larangan sedemikian, seorang Muslim tidak harus berhenti di situ sahaja. Pertimbangan selanjutnya yang boleh difikirkan ialah – walaupun Islam melarang umatnya dari mengambil sesuatu yang tidak bersih, tetapi adakah menerima sumbangan derma dari sumber yang tidak suci itu mempunyai maslahat yang lebih besar dari mudarat yang dilarang?

Ini adalah pertimbangan pertama yang perlu dibuat. Dasar bagi pertimbangan ini ialah kaedah fiqh yang berbunyi: “Hendaklah maslahat yang lebih besar itu didahulukan dari mudarat yang kecil” dan “Diharuskan menanggung mudarat yang kecil bagi maslahat yang besar.”

Jika tidak didapati maslahat yang lebih besar, maka langkah selanjutnya ialah untuk mempertimbangkan sama ada dalam menerima sumbangan derma itu dapat mengelakkan mudarat yang lebih besar dari mudarat yang dilarang.

Ini adalah pertimbangan kedua yang perlu diperhatikan. Dasar bagi pertimbangan ini ialah kaedah fiqh yang bermaksud: “Dibolehkan menanggung salah satu dari dua mudarat yang lebih ringan.”

Jika tiada maslahat yang lebih besar atau mudarat yang didapati sama berat, maka kekallah hukum asal. Kaedah fiqh mengatakan “Jika bercampur yang halal dan haram, maka diberatkan yang haram.”

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud,“Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh menimbulkan kemudaratan.” (Riwayat Ibn Majah)

Dalam persoalan ini, para ulama membenarkan penerimaan wang dari sumber yang haram atas dasar;

• Wang itu digunakan untuk maslahat umum bukan untuk maslahat individu.

• Jika wang itu tidak diterima, ia akan diberikan kepada badan kebajikan bukan Islam yang lain atau digunakan untuk benda-benda yang tidak bermanfaat. Maka menerima wang sedemikian oleh badan Islam dan menggunakannya untuk aktiviti kebajikan anjurannnya mempunyai maslahat yang lebih besar dari tidak menerimanya.

Perkara ini bolehlah disamakan dengan penerimaan wang riba’ bagi kegunaan kebajikan umum.

Namun hari ini, umumnya syarikat-syarikat yang memberi derma bagi kerja-kerja kebajikan akan mengharapkan balasan dari sumbangannya. Khususnya dalam bentuk publisiti dan promosi.

Dalam hal ini, pada prinsipnya, Islam melarang umatnya dari melibatkan diri dalam apa jua yang menjurus dalam kemunkaran. Sikap seorang Islam terhadap kemunkaran ialah sama ada diubahnya dengan tangan, atau mengubah dengan lidah atau paling kurang membenci dengan hati.

Melibatkan diri dalam memberi publisiti dan promosi pada syarikat yang haram atau benda-benda yang haram jatuh dalam kaedah yang berbunyi: “Redha kepada maksiat, adalah satu maksiat juga.”

Allah s.w.t. berfirman di dalam surah Hud, ayat ke 113, yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, yang menyebabkan kamu disentuh oleh api neraka.”

Sebagaimana yang dinyatakan di atas, walaupun hukum asal tidak membenarkan, namun pertimbangan selanjutnya yang perlu dibuat ialah;

Adakah di sana ada maslahat yang lebih besar yang dapat diperolehi dari mudarat yang dilarang? Jika tiada, maka;

Adakah di sana ada mudarat yang lebih besar untuk dielakkan dari mudarat yang dilarang?

Penentuan kewujudan sesuatu maslahat dan mudarat adalah persoalan ijtihad yang perlu dibuat oleh kepimpinan pertubuhan yang berkaitan. Ia perlu membuat penilaian sendiri dengan berpandukan prinsip-prinsip umum dan melalui proses permesyuaratan yang benar serta nasihat dari ahli agama dengan mengambil kira situasi yang dihadapi.

Dalam berusaha untuk membuat penilaian dan keputusan, maka hendaklah kita sentiasa bertaqwa kepada Allah s.w.t. dan memohon hidayah-Nya.