Soalan
Saya tahu berjudi itu haram.
Namun adakah apabila saya dan teman-teman bermain sesuatu permainan, lalu bersetuju bahawa siapa yang kalah dikenakan membayar makanan temannya yang menang dikira sebagai judi juga? Tujuan kami hanya untuk menambah keseronokan permainanan dan menggalakkan kesungguhan, bukan berjudi.
Jawapan
(Oleh Ustaz Haniff Hassan)
Berjudi adalah haram dan dikira sebagai salah satu dosa besar dalam Islam.
Dalil pengharaman judi ialah:
Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah, ayat ke 219, yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi (al-maisir), katakanlah bahawa pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya”
Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Ma’idah, ayat ke 90-91, yang bermaksud: “Hai orang-orang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi (al-maisir), (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib adalah rijs (najis, perbuatan keji) termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum khamar) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan solat, maka berhentilah kamu (dari mengerjakannya)
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Barangsiapa berkata kepada saudaranya marilah kita bermain judi, maka hendaklah dia bersedekah.”(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)
Berdasarkan dalil-dali di atas dapat disimpulkan bahawa Islam menjadikan judi sebagai satu kesalahan yang serius dan memandang hina apa jua bentuk judi. Ini dapat dilihat dari petunjuk-petunjuk berikut;
Judi disebut dan diharamkan bersama dengan perbuatan minum arak, berkorban untuk berhala (syirik) dan menenung nasib. Kesemua ini adalah dosa besar di dalam Islam.
Judi disifatkan sebagai najis untuk menggambarkan kekejiannya.
Kehinaan judi diperkuatkan dengan pernyataan bahawa ia adalah amalan syaitan.
Allah menggunakan perkataan ‘Jauhilah’ untuk menunjukkan pengharamannya. Perintah menjauhi judi lebih keras dari mengatakan bahawa ia adalah haram. Ertinya umat Islam bukan hanya dituntut untuk tidak berjudi tetapi juga tidak mendekatinya atau apa jua jalan kepadanya. Ini sama seperti larangan dari mendekati zina.
Allah sertakan dalam ayat pengharaman itu, akibat-akibat buruk dari berjudi.
Akibat buruk yang dinyatakan berkaitan dengan perkara yang dianggap penting dalam Islam iaitu menjaga kesatuan, persaudaraan dan mendirikan solat. Oleh kerana perkara ini adalah penting dalam Islam, maka apa jua yang boleh merosakkannya adalah suatu yang dipandang berat.
Dalam surah Al-Ma’idah, ayat ke 90-91, Allah bukan hanya perintah agar menjauhi judi bahkan Ia memperkuatkan perintah tersebut dengan seruan agar meninggalkannya sebagai penegasan.
Siapa yang mengajak saudaranya berjudi sahaja, diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. bersedekah sebagai kaffarah terhadap dosanya apa lagi jika melakukannya.
Oleh itu, pengaharaman judi adalah sesuatu yang telah ditentukan oleh dalil qat‘ii (pasti) sama seperti pengharaman ke atas babi.
Ertinya dalam apa jua keadaan dan tempat, judi adalah haram sehingga hari Kiamat.
Larangan terhadapnya tidak dapat ditafsirkan dengan pengertian lain.
Adapun definisi judi yang diharamkan ialah permainan yang mengandung unsur taruhan dan orang yang menang dalam permainan itu berhak mendapat taruhan tersebut.83
Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama telah mensyaratkan ciri-ciri berikut;
• Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.
• Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
• Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan manfaat yang ia pertaruhkan.
83 Lihat Ensiklopedi Hukum Islam, PT Ickhtiar Baru, Jakarta, 1997, jld. 3, ms. 1053.
Berdasarkan ini juga, para ulama berpendapat apa jua permainan yang apabila seorang di antara yang bertaruh menang lalu mendapatkan taruhan itu sedang bila kalah maka dia berhutang kepada temannya dianggap sebagai judi yang diharamkan.84
Atas dasar itu, apa yang anda lakukan bersama teman-teman anda seperti yang dinyatakan dalam soalan di atas boleh termasuk dalam judi yang dilarang.
Yang tidak termasuk dalam judi ialah mana-mana permainan yang mana pemenangnya memperolehi manfaat yang disediakan oleh pihak ketiga, bukan dari pihak-pihak yang terlibat dalam permainan.
Permainan seperti ini dinamakan sebagai pertandingan dan manfaat yang diperolehi dianggap sebagai hadiah.
Satu permainan juga tidak dianggap sebagai judi sekiranya manfaat yang diperolehi berasal dari satu pihak seperti sekiranya seorang berkata kepada temannya “Jika kamu boleh mengalahkan saya, saya akan memberimu hadiah. Akan tetapi jika kamu kalah, tiada kewajipan atas kamu terhadap saya.” Ini berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang mana Rasulullah s.a.w. diajak oleh seorang kafir Quraisy bernama Rukanah untuk bergusti dengan hadiah beberapa kambing, jika Rasulullah s.a.w. menang. Rasulullah s.a.w. menerima cabaran dan beliau menang dalam pertandingan itu).85
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Anas: “Ditanyakan kepada Anas, ‘Apakah kamu bertaruh di masa Rasulullah s.a.w.? Apakah Rasulullah s.a.w. bertaruh?’ Anas menjawab, ‘Ya, beliau telah mempertaruhkan seekor kuda yang dinamakan Sabhah, lalu taruhan itu dimenangkan oleh Rasulullah s.a.w. Beliau senang terhadap hal itu dan mengaguminya’.” (Riwayat Ahmad).
Oleh itu, tiada perjudian berlaku jika dalam permainan bersama teman-teman anda itu;
• ada teman yang tidak bermain berkata, “Siapa menang, aku belanja makan”, atau
• jika anda berkata pada lawan, “Kalau kau menang, aku belanja makan. Tapi kalau aku menang, tiada apa-apa atas kau”, atau
• jika lawan anda berkata yang sebaliknya, “Kalau aku kalah, aku belanja kau makan. Tapi kalau aku menang, kau tak perlu belanja aku makan”.
84 Sayid Sabiq, Fiqh Sunnah, bab judi.
85 Lihat Ensiklopedi Hukum Islam, jld 3, ms 1055
*Berita Harian, 19 Januari 2014.
**Lihat Ensiklopedi Hukum Islam, PT Ickhtiar Baru, Jakarta, 1997, jld. 3, ms. 1053.