Soalan
Apakah hukum melabur dalam dagangan forex (tukaran asing) untuk dapat keuntungan?
Jawapan
(Oleh Ustaz Haniff Hassan)
Matawang di dalam Islam dikategorikan oleh para ulama sebagai barang ribawi sama seperti barang-barang yang disebutkan dalam hadis yang bermaksud:
“Jika emas dijual dengan emas, perak dijual dengan perak, gandum dijual dengan gandum, sya‘ir (salah satu jenis gandum) dijual dengan sya‘ir, kurma dijual dengan kurma, dan garam dijual dengan garam, maka jumlah (takaran atau timbangan) harus sama dan dibayar secara tunai. Barangsiapa menambah atau meminta tambahan, maka ia telah berbuat riba. Orang yang mengambil tambahan tersebut dan orang yang memberinya sama-sama berada dalam dosa.” (Riwayat Muslim).
Syariah Islam meletakkan syarat-syarat yang ketat dalam mengatur perdagangan barang-barang ribawi berbanding bahan-bahan dan komoditi dagangan lain.
Dalam konteks perdagangan forex, syaratnya ialah satu mata wang tidak boleh ditukar (jual beli) dengan satu mata wang yang sama kecuali pada nilai yang sama (dolar Singapura ditukar dengan dolar Singapura) dan dibayar secara tunai.
Perbezaan nilai dilarang kerana ia dianggap riba yang haram.
Bayaran tangguh juga dilarang kerana ia membuka pintu riba disebabkan turun naik harga/nilai kerana perubahan masa.
Dibenarkan pertukaran satu mata wang dengan satu mata wang yang lain (dolar Singapura ditukar dengan ringgit Malaysia) dengan perbezaan nilai dengan syarat pertukaran ini hendaklah secara spot iaitu pembayaran tunai di tempat jual beli.
Atas dasar inilah, transaksi pertukaran wang asing di kaunter-kaunter tukaran wang adalah halal di sisi syariah.
Pendapat yang dominan dari kajian para pakar kewangan dan pelaburan Islam terhadap kaedah perdagangan forex yang berlaku institusi-instutisi kewangan dan pelaburan konvensional ialah haram kerana ia tidak menepati syarat-syarat jual beli yang ditetapkan oleh Islam sebagaimana yang dijelaskan di atas.
Hujah bagi menjelaskan perkara ini memerlukan huraian yang panjang. Keterbatasan ruang ini tidak membenarkan saya melakukannya di sini.
Yang praktikal, saya cadangkan penyoal dan para pembaca yang berminat dalam isu ini merujuk pada penulisan Ustaz Dr. Zaharudin Abdul Rahman, pakar kewangan Islam dan Penolong Profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Tulisan beliau bertajuk Hukum Labur & Berniaga Forex boleh didapati di halaman web beliau. Anda juga boleh membaca dua kertas kerja mengenai hukum Islam tentang forex di halaman yang sama.
Berdasarkan pendapat yang majoriti ulama dalam bidang ini, sikap yang lebih berhemah terhadap apa jua produk dagangan forex ialah untuk menghukumkannya haram kecuali ada bukti jelas sebaliknya. Ertinya hukum halal produk dagangan forex dinilai berdasarkan kes.
Panduan bagi orang awam yang tidak mampu mengkaji dan menilai sendiri produk-produk forex yang ada (dan produk-produk kewangan Islam yang lain) tapi ingin mengetahui status halalnya ialah dengan melihat samaada produk berkenaan mempunyai perakuan oleh badan penasihat syariah yang dianggotai oleh para pakar yang telah diketahui kewibawaannya dan ditubuhkan oleh syarikat pengeluar produk berkenaan bahawa produk itu menepati syariah.
Alternatif lain ialah untuk bertanya langsung pada pakar syariah yang dikenali dengan memberikan butir-butir mengenai struktur produk dan butiran kontrak serta latar belakang syarikat berkenaan bagi membolehkan analisa yang tepat dibuat.
Suka juga dikongsikan di sini bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia dalam persidangannya yang ke 98 pada tarikh 13 – 15 Februari 2012 ada memfatwakan bahawa perdagangan mata wang asing oleh individu secara tunai (individual spot forex trading) yang banyak berlaku hari ini tidak menepati syarat-syarat syariah.
*Berita Harian, 24 Mei 2013.