Soalan
Adakah kita dibenarkan mengambil keuntungan 100% atau lebih dari sesuatu barang perniagaan selepas mengambil kira semua faktor yang meliputi kesusahan dalam mendapatkan barang tersebut atau masa yang lama diperlukan untuk menghasilkan barang tersebut?
Jawapan
(Oleh Ustaz Haniff Hassan)
Para ulama berbeza pendapat tentang hukum membataskan harga barang perniagaan yang termasuk di dalamnya soal pembatasan kadar keuntungan.
Pendapat majoriti ulama dan yang lebih kuat ialah Islam memberi kebebasan kepada peniaga untuk meletakkan harga bagi barang jualannya serta keuntungan (profit margin) darinya.
Seorang peniaga bebas untuk menetapkan harga barang jualannya berdasarkan budi bicaranya, keadaan pasaran, strategi, objektif perniagaan dan faktor-faktor lain.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a. bahawa orang ramai berkata kepada Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Wahai Rasulullah s.a.w., harga-harga barang telah naik, maka tetapkanlah harga untuk kami.” Rasulullah s.a.w. menjawab “Allahlah yang sesungguhnya Penentu harga, Penahan, Pembentang dan Pemberi rezeki. Aku berharapa gar bertemu dengan Allah, tidak ada seorang pun yang meminta padaku tentang adanya kezaliman dalam urusan darah dan harta.” (Riwayat AbuDaud)
Hadis ini menunjukan keberatan Rasulullah s.a.w. untuk mencampuri harga pasaran.
Ini adalah dalil bahawa, pada asalnya, penetapan harga adalah hak penjual dan mereka bebas untuk menetapkan harga yang mereka kehendaki.
Adalah dimaklumi setengah barang-barang atau perkhidmatan perlu dijual dengan kadar keuntungan yang berkali ganda dari kos sebenar disebabkan faktor-faktor seperti pasaran barang berkenaan yang kecil atau strategi untuk menjadikannya berimej eksklusif atau premium.
Sebagai contoh satu sofwe komputer yang mempunyai pasaran yang amat kecil kerana fungsinya yang khusus yang hanya digunakan dalam bidang kepakaran yang sangat khusus pula.
Dengan pasaran yang begitu kecil, ia tidak akan menjadikan usaha pencipta sofwe berkenaan berbaloi dan pastinya tidak akan menggalakkan sesiapa untuk menghasilkan barangan sedemikian, jika ia dijual dengan kadar keuntungan sebanyak 30 peratus per unit sahaja.
Maka menjualnya dengan kadar keuntungan yang berganda, hatta melebihi 100% dibenarkan asalkan sahaja pembeli bersetuju dan barang sedemikian bukanlah merupakan barang asasi yang mana keuntungan yang berganda itu tidak menyebabkan kesukaran kepada orang ramai.
Begitu juga dalam kes harga pena. Sebahagian pena yang berjenama dijual dengan harga SGD20 sedangkan kos penghasilannya hanyalah setakat SGD1 sahaja.
Harga berkenaan sah di sisi Islam kerana pengguna yang memerlukan pena masih boleh membeli pena yang berharga SGD1 yang banyak terdapat di pasaran.
Keuntungan yang berganda dari harga pena itu tidak menyebabkankesukaran dan kezaliman ke atas orang ramai.
Keuntungan yang berganda-ganda hanya menjadi haram jika ia mencetuskan penganiayaan atau kezaliman ke atas pembeli atau pengguna disebabkan penipuan atau manipulasi seperti dalam satu situasi yang mana sebuah syarikat yang mempunyai monopoli terhadap barang keperluan asasi seperti beras, gula dan tenaga elektrik.
Hukum haram di sini bukan kerana keuntungan yang berganda tetapi disebabkan kezaliman yang timbul dari keuntungan yang berganda-ganda itu.
Maka dalam situasi seperti ini, dibenarkan penguasa untuk mencampuri urusan penetapan harga.
Di dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Siapa yang mencampuri urusan harga kaum Muslimin dengan tujuan untuk menjadikannya mahal ke atas mereka, adalah hak Allah s.w.t.untuk menempatkannya di dalam api neraka yang besar di Hari Kiamat.”(Riwayat Ahmad dan At-Tabrani)
Dalil yang menunjukkan haramnya manipulasi keadaan untuk tujuan memaksimakan keuntungan yang menyebabkan kezaliman ke atas pengguna ialah pengharaman menyorok barang.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan sorok, ia telah bersalah.” (Riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tirmizi)
*Berita Harian, 5 Julai 2013.