Kemurungan dan isu kerasukan*

Soalan

Anak saya ada sakit kemurungan selepas bersalin selama 5 bulan. Beliau telah pergi jumpa seorang perawat. Beliau berkata anak saya mempunyai saka yang berketurunan jin kafir. Adakah boleh kami membuat infak atas nama anak saya?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Kemurungan merupakan salah satu daripada penyakit dalaman yang boleh berlaku ke atas diri seseorang yang menghadapi tekanan perasaan.

Ia boleh dirawat mengikut kaedah perubatan biasa seperti makan ubat atau dibantu oleh ahli psikiatri.

Kaedah rawatan melalui solat dan zikir juga dapat membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh manusia.

Persoalan mengenai saka yang menghinggap atau berdamping dengan si anak itu perlu kepada penjelasan dan bukti yang benar.

Islam tidak menafikan wujudnya pengaruh syaitan dan jin kepada manusia.

Namun, perlu diketahui bahawa jin dan syaitan tidak mampu menguasai manusia yang taat kepada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-A‘raf, ayat ke 200-201, yang bermaksud: “Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendegar lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya.”

Imam Ahmad meriwayatkan di dalam sebuah hadis bahawa seorang wanita telah datang menemui Nabi s.a.w. bersama bayinya yang sakit. Nabi s.a.w. lalu bersabda, “Keluarlah wahai musuh Allah, sesungguhnya aku adalah Rasulullah!” Lalu sembuh bayi tersebut.

Hadis ini merupakan bukti bolehnya berlaku kemasukan jin ke dalam diri manusia.

Imam Ibn Taimiyah di dalam kitabnya Majmu‘ al-Fatawa mengatakan bahawa kemasukan jin ke dalam diri manusia adalah benar dan disepakati oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah kebenarannya.

Ada pun perihal saka, menurut pendapat para perawat penyakit gangguan makhluk halus, ia adalah dari kumpulan jin yang diwarisi secara turun temurun sama ada secara sedar atau tidak.

Ia dipercayai berlaku hasil dari perjanjian yang dibuat oleh manusia dan jin untuk melindungi manusia dari bahaya.

Manusia zaman dahulu suka mengambil jin-jin sebagai pembantu mereka untuk menjaga rumah, keluarga, ladang, perubatan, persilatan dan sebagainya.

Sudah menjadi kebiasaan setiap keluarga zaman dahulu mendapatkan pembantu dari kalangan jin, kalau tidak ada seolah-olah tidak lengkap.

Hal ini terakam di dalam Al-Quran pada surah Al-Jinn, ayat ke 6, yang bermaksud: “Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.”

Imam Al-Qurtubi mengatakan bahawa telah jelas hukum meminta bantuan kepada makhluk seperti jin dan tidak meminta kepada Allah merupakan satu perbuatan yang syirik.

Berbalik kepada persoalan kemurungan yang dikaitkan dengan unsur jin, boleh juga terjadi seperti yang disangka jika benar individu tersebut dalam keadaan lemah.

Lazimnya, orang yang lemah, sama ada dari sudut fizikal mahupun mental, mudah diserang penyakit dan gangguan.

Berbeza dengan orang yang kuat, daya tahannya mampu menolak keburukan dan kejahatan yang menyerang.

Allah s.w.t. berfirman di dalam surah Al-Hijr, ayat ke 42, yangbermaksud: “Sesungguhnya kamu (syaitan) tidak ada kekuasaan keatas hamba-hamba-Ku, kecuali orang-orang yang mengikut kamu, iaitu mereka yang sesat.”

Imam Ibn Katsir berkata, orang yang dikurniakan hidayah oleh Allahs.w.t., tidak akan diganggu oleh syaitan.

Jika usaha untuk mendapatkan rawatan menurut kaedah perubatan moden tidak berkesan, harus mendapatkan rawatan alternatif dari pengamal perubatan yang dipercayai melakukan kaedah rawatan yang tidak menyimpang dari ajaran Islam.

Kaedah yang sering digunakan ialah ayat-ayat Ruqyah beserta zikir dan doa yang sahih dari sunnah Nabi s.a.w. atau yang tidak bertentangan dengan panduan agama dari warisan para ulama kita.

Jika benar terbukti bahawa ada gangguan dari jin, maka hendaklah individu tersebut bersabar dan berusaha untuk menghilangkannya.

Cuma perlu difahami dengan betul bahawa rawatan yang berkesan adalah secara berterusan dan pesakit tidak berputus asa.

Pesakit tidak harus meletakkan harapan yang penuh terhadap perawat sedangkan dia pula tidak mengamalkan amalan-amalan yang diajarkan oleh pengamal perubatan tersebut.

Jika itu berlaku, maka ia tidak akan memberi kesan kepada pesakit tersebut.

Pastinya, Al-Quran jika diamalkan dengan niat yang betul akan memberi keselamatan kepada individu yang membacanya dan menghindarkannya dari segala keburukan.

Terdapat banyak sunnah Nabi s.a.w. yang diajarkan kepada kita dalam membentengi diri dari kejahatan jin dan syaitan.

Antaranya, membaca ayat kursi, surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas pada setiap pagi dan petang dan juga sebelum tidur.

Adapun membuat infaq atas nama anak adalah harus.

Mudah-mudahan amalan itu dapat menambahkan keberkatan hidup dan menghindarkan mala petaka di dunia serta memberi keselamatan di akhirat kelak.

*Berita Harian, 21 Februari 2014.