Soalan
Suami saya secara tiba-tiba inginkan anak yang ramai semenjak dia hadirkan diri ke kelas agama. Dia pernah mendengar sebuah hadis yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bangga dengan umatnya yang ramai di akhirat nanti. Anak-anak juga boleh mendoakan ibu dan ayah mereka di alam barzakh nanti, katanya. Saya dapati sejak dia ikuti kelas agama, macam-macam hal berubah dalam rumah tangga. Apa yang saya boleh rumuskan ialah rumah tangga saya semakin sempit jadinya. Adakah benar hadis itu? Harap ustaz dapat memberi nasihat kepada kami.
Jawapan
(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)
Anak-anak merupakan di antara nikmat yang teristimewa. Apatah lagi jika anak-anak itu menjadi anak-anak yang baik dan mulia di sisi Allah. Setiap ibu dan ayah pasti mengharap agar anak-anak yang dikurniakan kepada mereka menjadi anak-anak yang soleh yang baik hubungannya dengan Allah dan baik hubungannya dengan manusia serta seluruh alam ini. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Furqan, ayat ke 74, yang bermaksud, “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Memang benar terdapat hadis yang menyebut tentang kebanggaan Nabi s.a.w. terhadap umatnya yang ramai di hari kiamat kelak. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Nikahilah wanita yang bersifat penyayang dan mampu melahirkan anak yang ramai, kerana sesungguhnya aku berbangga dengan umatku (ke atas umat-umat yang lain di akhirat kelak).” (Riwayat Ahmad, Asy-Syafi‘i, Abu Daud dan An-Nasa’i)
Hadis ini jelas menggalakkan umat Islam untuk bernikah dan mendapatkan anak yang ramai. Tetapi perlu dilihat secara mendalam apa yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. di dalam hadis tersebut. Nabi s.a.w. bukan sahaja menyebut tentang rasa bangganya dek ramainya umat, tetapi terlebih dahulu Nabi s.a.w. menyebut sifat bagi ibu yang melahirkan anak-anak tersebut. Isteri yang dipilih untuk melahirkan anak-anak perlu mempunyai sifat penyayang. Ini adalah ciri yang paling penting kerana tanpa kasih sayang dari ibu dan ayah, anak-anak tidak akan membesar dengan baik.
Sebelum itu lagi, lelaki yang mencari wanita yang penyayang juga perlu mempersiapkan diri untuk menjadi suami yang baik dan penyanyang juga. Dalam hal ini, Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, “Jika datang kepadamu (para wali bagi wanita) lelaki yang kamu redhai akan agamanya dan akhlaknya, maka nikahkanlah (anak atau ahli keluarga perempuan) dengannya…” (Riwayat At-Tirmizi)
Hadis ini menjelaskan ciri seorang lelaki yang baik untuk dinikahkan kepada wanita yang baik.
Inilah dia permulaan pembinaan keluarga yang baik. Lelaki dan perempuan masing-masing mempunyai tanggungjawab untuk menjadi baik. Dengan wujudnya kebaikan dari dua pihak, suami dan isteri, maka anak-anak juga akan dapat menjejaki dan menuruti kebaikan tersebut.
Bagi mereka yang asyik dengan menambah bilangan anak, perlu diingatkan juga kepada sebuah hadis yang bermaksud: “Hampir saja bangsa-bangsa menjadikan kamu mangsa sebagaimana orang-orang lapar meghadapi meja penuh hidangan.” Seseorang bertanya: “Apa kami pada waktu itu sedikit?” Jawab Baginda s.a.w.: “Bahkan kamu ketika itu ramai, akan tetapi seperti buih di laut. Allah sungguh akan mencabut rasa takut dari dada musuh kamu dan Dia sungguh akan mencampakkan penyakit wahn ke dalam hatimu.” Seseorang bertanya: “Ya Rasulullah, apa itu wahn?” Baginda s.a.w. menjawab: “Cinta dunia dan takut mati.” (Riwayat Abu Daud)
Hadis ini memberi satu peringatan untuk dipertimbangkan, sama ada anak-anak yang ramai seperti yang diinginkan, bakal menjadi anak-anak yang baik atau sebaliknya?
Menginginkan anak yang ramai bukanlah satu sunnah yang paling diutamakan. Banyak lagi amalan sunnah yang lebih utama untuk diamalkan. Ia juga bukanlah satu kesalahan apabila dikurniakan anak yang ramai. Apa yang perlu difahami ialah, setiap apa yang dianugerahkan kepada manusia, perlu difahami juga tanggungjawabnya. Menginginkan anak yang ramai tetapi membiarkan mereka hidup tanpa panduan dan didikan yang betul, akan menambahkan lagi masalah dalam kehidupan keluarga dan seterusnya memberi impak kepada kehidupan sosial.
Harapan untuk mendapatkan doa anak yang soleh tidak harus menjadi harapan yang utama dan mutlak. Jika dirujuk kepada hadis riwayat Imam Muslim yang disebutkan mengenai perkara yang memberi manfaat kepada anak Adam yang telah meninggal dunia, Nabi s.a.w. memulakan hadis tersebut dengan sedekah jariah, kemudian ilmu yang bermanfaat yang disampaikan ketika hidupnya, akhir sekali barulah doa anak yang soleh.
Ini menunjukkan bahawa setiap manusia perlu berusaha sendiri untuk mendapatkan kesejahteraan dan keselamatannya di akhirat kelak, bukan sekadar mengharap doa dari anak-anak.
Pendita Za‘ba di dalam coretannya yang berjudul, ‘Perangai bergantung pada diri sendiri’ pernah membidas sikap orang Melayu yang suka mengharapkan doa orang lain apabila meninggal kelak, tetapi diri sendiri malas beramal dan melakukan kebajikan.
Mendalami ilmu dan mengamalkan Islam yang sebenarnya tidak mungkin menjadikan hidup manusia semakin terasa sempit. Jika itu berlaku, maka perlu ditinjau semula dimanakah silapnya kerana Islam tidak pernah mengarahkan sesuatu yang menyempitkan hidup manusia. FirmanAllah s.w.t. di dalam surah Al-Hajj, ayat ke 78, yang bermaksud: “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agama-Nya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakankamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifat-Nya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.”
Nabi s.a.w. juga merupakan seorang yang memilih sesuatu yang mudah untuk diamalkan selagi mana pilihan itu tidak mengandungi dosa dan kesalahan.
Imam Ibn Al-Jauzi di dalam kitabnya Talbis Iblis ada menyebut tentang golongan manusia yang mengamalkan Islam secara keras dan sempit. Menurut beliau, hal tersebut merupakan salah satu belitan iblis terhadap manusia kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah.
Justeru, adalah dinasihatkan agar sesiapa yang ingin mempelajari agama, hendaklah dia pergi ke institusi-institusi pengajian yang berdaftardan diiktiraf oleh badan autoriti Islam setempat seperti MUIS di Singapura ataupun, hendaklah dia belajar dari guru-guru agama dan asatizah yang bertauliah supaya tidak tersalah menuntut ilmu agama. Mempelajari agama bukan sekadar tahu hukum halal, haram, wajib, atau sunat sahaja, tetapi perlu juga tahu bila masa dan keadaan yang sesuai untuk mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram tersebut serta mengamalkan yang wajib dan sunat.
Umat Islam juga berperanan untuk menyebarkan keihsanan Islam kepada semua. Jika fahaman agama yang dipilih menjadi sempit, bagaimana keindahan Islam itu dapat dipamerkan dan dihargai oleh semua orang?
Berbalik kepada isu berbangganya Nabi s.a.w. dengan umatnya yang ramai, secara tidak langsung, ia memberi isyarat bahawa setiap individu seharusnya menjadi umat Muhammad s.a.w. yang sejati, yang hidup sebagai seorang Muslim yang baik menurut apa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. secara adil, barulah boleh dibanggakan nanti di akhirat kelak. Islam adalah agama yang menghargai pengisian yang berkualiti daripada bilangan yang banyak tetapi merugikan.