Soalan
Hukum bernikah di siang hari Ramadan
Jawapan
(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)
Pernikahan boleh dijalankan pada bila-bila masa melainkan di dalam keadaan ihram sahaja yang dilarang. Justeru, bernikah siang hari di bulan Ramadan adalah harus. Cuma perlu diingat bahawa persetubuhan tetap dilarang pada siang hari Ramadan. Barangsiapa yang bersetubuh di siang hari Ramadan, maka dia perlu membayar kaffarah iaitu memerdekakan hamba atau berpuasa selama dua bulan berturut-turut atau memberi makan enam puluh orang miskin. Berpandukan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah berkata: “Ketika kami duduk bersama Nabi s.a.w. pada suatu hari, datang seorang lelaki lalu berkata: “Wahai Rasulullah, saya telah binasa!.” Sabda Nabi s.a.w.:“Apa yang berlaku pada kamu? Jawabnya: “Saya telah melakukan jimak dengan isteri pada siang hari Ramadan.” Lalu Nabi s.a.w. bersabda: “Adakah kamu mempunyai hamba untuk dimerdekakan? Jawabnya, tidak. Adakah kamu mampu berpuasa dua bulan berturut-turut? Jawabnya, tidak. Adakah kamu mampu untuk memberi makan enam puluh orang miskin? Jawabnya juga tidak. Lalu Nabi s.a.w. mengambil satu kantung yang berisi tamar lalu memberikannya kepada lelaki tersebut dengan sabdanya: “Ambil ini dan sedekahkan dengannya.” Lelaki itu berkata: “Apakah ada orang yang lebih fakir dariku wahai Rasulullah? Demi Allah tidak ada diantara dua kampung ini rumah yang lebih fakir dari rumahku.” Tertawalah Nabi s.a.w. sampai nampak gigi gerahamnya, lalu bersabda: “Berikan ini kepada keluargamu.” (Riwayat Al-Bukhari)
Puasa yang dilakukan pada hari tersebut pula terbatal sama sekali dan perlu diganti.
Kaffarah yang perlu dibayar di zaman ini sudah pasti hanya berbentuk puasa dan memberi makanan sahaja, kerana perhambaan manusia sudah tiada lagi wujud. Bagi memberi makanan untuk golongan miskin, boleh sahaja dilakukan sendiri atau wakilkan badan-badan bantuan kemanusiaan untuk mengagih-agihkan makanan itu kepada mereka yang miskin.
Adapun jimak di malam hari Ramadan tidak dilarang. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah, ayat ke 187, yang bermaksud, “Dihalalkan bagi kamu untuk melakukan jimak dengan isteri-isteri kamu pada malam puasa (Ramadan).”
Para suami dan isteri diingatkan agar sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga tentang hal ini. jika dilihat dari sudut kaffarah yang dikenakan, ia sememangnya berat. Itu menunjukkan secara tidak langsung, perbuatan jimak di siang hari Ramadan adalah suatu kerosakan yang besar dilakukan dalam bulan Ramadan. Suami dan isteri perlu memberi nasihat dan teguran kepada pasangan masing-masing jika berdepan dengan keadaan diajak untuk melakukan jimak.