Soalan
Saya kerap lungsuri Internet. Dalam bab agama, ada yang berkata sentuh tangan dengan isteri batal, ada pula kata tidak batal kerana Nabi bersentuh dengan Aisyah dan kemudian solat tanpa bewudhu’ semula. Ada banyak lagi perkara yang bercanggah. Saya naik bingung. Boleh ustaz jelaskan kenapa perselisihan sedemikian berlaku di kalangan ulama.
Jawapan
(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)
Ulama Islam berbeza pendapat mengenai hukum menyentuh kulit perempuan yang bukan mahram serta sentuhan suami isteri, sama ada ia membatalkan wudhu’ atau pun tidak.
Menurut mazhab Hanafi, menyentuh kulit perempuan yang bukan mahram tidak membatalkan wudhu’ secara mutlak, sama ada dengan tujuan berseronok hingga menimbulkan syahwat atau tidak merasainya ketika bersentuhan.
Di sisi mazhab Maliki pula, menyentuh kulit perempuan bukan mahram membatalkan wudhu’ jika dengan sengaja bertujuan untuk talazzuz (membangkitkan syahwat).
Jika tidak menimbulkan rasa yang sedemikian, maka wudhu’nya tidak batal.
Mazhab Asy-Syafi‘i pula berpendapat bahawa wudhu’nya batal secara mutlak (tanpa syarat), sama ada dengan sengaja atau tidak.
Mazhab Hanbali pula menganggap wudhu’ batal jika bersentuhan tanpa lapik atau dengan timbulnya syahwat.
Mengenai persoalan yang timbul, mengapa berlakunya perbezaan pendapat ini dan daripada mana masalah ini timbul, Imam Ibn Rusyd menjelaskan dalam kitabnya Bidayah al-Mujtahid bahawa perbezaan pendapat mengenai masalah ini berpunca dari perkataan Arab “lamasa” yang boleh bermaksud sentuhan biasa atau bermaksud persetubuhan suami isteri.” Lafaz tersebut didapati di dalam firman Allah s.w.t. dari surah Al-Ma’idah, ayat 6 yang bermaksud: “Atau jika kamu (lelaki) menyentuh (laamastum) perempuan.”
Mazhab Asy-Syafi‘i mentafsirkan firman Allah s.w.t. “laamasa” (yang dibaca dengan bacaan dua harakat) dengan pengertian sentuh kerana berdasarkan qira’at dari riwayat Ibn Mas‘ud yang membaca dengan pendek “lamasa” yang bermaksud sentuhan secara mutlak antara kulit dengan kulit, tidak kira sama ada dengan telapak tangan ataupun anggota lain. Adapun sentuhan pada kuku, gigi dan rambut tidaklah membatalkan wudhu’ kerana bahagian-bahagian itu bukan tempat yang dijangka menimbulkan syahwat.
Manakala mazhab-mazhab yang lain pula berpendapat bahawa bacaan “laamasa” bermaksud saling bersentuhan dan lebih menjurus kepada maksud bersetubuh berdasarkan tafsiran Ibn Abbas.
Tafsiran mereka ini disokong oleh beberapa hadis riwayat Aisyah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. mencium/mengucupnya, sedangkan Baginda berpuasa. Seterusnya, sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Sesungguhnya ciuman tidak membatalkan wudhu’ dan tidak membatalkan puasa. ”(Riwayat Al-Bazzar)
Seterusnya Aisyah r.a., berkata dengan maksud: “Nabi mencium sebahagian dari isterinya kemudian dia keluar mengerjakan sembahyang, dan tidak berwudhu’. (Riwayat An-Nasa’i)
Mazhab Asy-Syafi‘i dalam membahaskan dalil-dalil daripada hadis yang dikemukakan oleh mazhab lain, mengatakan bahawa hadis-hadis yang dijadikan hujah adalah lemah dan kemungkinan besar ketika Nabi s.a.w. menyentuh atau mencium isterinya, dalam keadaan berlapik atau ia khusus untuk Nabi s.a.w. sahaja.
Syeikh Wahbah Az-Zuhaili dalam membahaskan masalah ini dalam kitabnya Al-Fiqh Al-Islami berpendapat bahawa hujah mazhab Asy-Syafi‘i dalam isu sentuhan Nabi s.a.w. secara berlapik adalah sesuatu yang bercanggah dengan realiti norma hidup berumah tangga.
Beliau selanjutnya berkata bahawa pendapat yang lebih jelas kebenarannya ialah terbatalnya wudhu’ jika timbulnya syahwat.
Jika tidak bersyahwat, maka tidaklah terbatal wudhu’.
Perbezaan seperti ini bukanlah bermaksud untuk mengelirukan masyarakat Islam. Sebenarnya inilah bukti luasnya ruang ilmu untuk melapangkan lagi amalan dan ibadah umat Islam.
Perbezaan pendapat bukan sekadar dalam isu sentuhan ini sahaja, malahan terdapat banyak lagi masalah lain yang mempunyai pandangan yang berbeza di kalangan para ulama.
Bagi mengelakkan diri dari terbelenggu dengan masalah khilafiyah (perbezaan pendapat), adalah digalakkan untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam ilmu agama.
Dengan mendalami ilmu agama secara sistematik, ia akan membantu seseorang faham dan dapat beramal dengan hujah yang jelas.
Dalam hal perbezaan pendapat, tiada seorang pun boleh mengatakan secara pasti, pandangan yang dipegang adalah yang paling benar, manakala pandangan yang lain adalah salah.
Para ulama kita tidak pernah memutuskan pandangan yang dikeluarkan oleh mereka adalah paling tepat.
Mereka hanya memberikan pandangan menurut hujah yang diambil daripada Al-Quran, sunnah Nabi s.a.w. serta kefahaman para sahabat.
Mereka yang tidak berkeahlian untuk membahaskan sesuatu masalah mengikut kaedah pembahasan dalil, maka wajarlah dia mengikut pandangan mazhab yang rasmi diamalkan di negerinya.
Kesimpulannya, walau apa pun terdapat kecenderungan kepada mana-mana pendapat, janganlah sampai berlaku pertelingkahan sesama umat Islam.
Mengekalkan keharmonian hubungan sesama Muslim adalah lebih utama daripada bersengketa di dalam masalah-masalah cabang agama yang tidak mungkin boleh disatukan.
Bagi memahami lebih mendalam persoalan sebab-sebab para ulama berbeza pendapat, bahawa ia sesuatu yang normal dan adab-adab yang perlu dipelihara apabila berhadapan dengan isu-isu perbezaan pendapat seperti isu yang dibincangkan, sila baca buku The Ethics of Disagreement in Islam oleh Sheikh Taha Jabir Al-‘Alwani yang boleh didapati di internet secara percuma.
*Berita Harian, 31 Januari 2014.