Loading...

Hukum guna mas kahwin untuk belanja majlis walimah

Soalan

Adakah harus bagi ibu dan ayah pengantin perempuan mengambil wang mas kawin untuk perbelanjaan walimatul urus?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Wang mas kahwin atau mahar adalah pemberian yang bernilai daripada suami yang wajib diberikan kepada isterinya, sama ada secara tunai atau hutang. Ia adalah tanda penghargaan dan penghormatan suami terhadap isterinya yang sudi menerima pinangannya. Maka ia adalah hak mutlak isteri yang dinikahi. Kadarnya pula tidak terhad, terpulang kepada kemampuan pihak suami untuk memberi menurut kemampuannya. Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nisaa’, ayat ke 4, yang bermaksud: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sebaik-baik wanita adalah yang paling ringan maharnya serta banyak keberkatannya”. (Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Menggunakan wang mahar sebagai perbelanjaan walimah bagi pihak pengantin perempuan adalah harus jika pengantin perempuan tersebut setuju dengan rela tanpa paksaan.