Hukum ayah dan ibu menyuruh anaknya menceraikan isterinya

Soalan

Apakah hukum ibu atau ayah yang menyuruh anaknya untuk menceraikan isterinya dengan menggunakan dalil Nabi Ibrahim mengarahkan Nabi Ismail menceraikan isterinya?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Perselisihan di dalam rumah tangga adalah sesuatu yang lumrah. Suami isteri yang berselisih perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing dalam membina rumah tangga. Pasangan suami isteri juga digalakkan untuk sentiasa melihat kebaikan pasangan masing-masing walau sekecil mana sekalipun dan tidak terlalu mengharap balasan dari apa yang dilakukan. Binalah rumah tangga berdasarkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. dan sentiasalah bermohon dan berdoa agar Allah s.w.t. kurniakan petunjuk untuk menjadi suami dan isteri yang baik.

Jika berlaku konflik dalam rumah tangga, adalah baik untuk mencari jalan penyelesaian dengan segera. Berbicara dan berbincanglah dengan baik dan penuh hormat agar kekusutan dapat dihuraikan. Jika tidak dapat berbicara dengan baik, mintalah pandangan dan nasihat dari orang yang baik dan adil, seperti ahli keluarga terdekat atau sesiapa sahaja yang berkelayakan untuk memberi panduan dan nasihat seperti para kaunselor keluarga. Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nisaa’, ayat ke 35, yang bermaksud: “Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuan-Nya.”

Namun, tidak dinafikan adakalanya apa yang diinginkan tidak kesampaian. Berbagai usaha telah dilakukan tetapi gagal juga akhirnya sehingga perlu bercerai. Hakikatnya, perceraian adalah sesuatu yang dibenci dan ia merupakan jalan keluar yang terakhir bagi pasangan yang gagal mencari jalan penyelesaian.

Umumnya, sebagai ibu dan ayah, boleh sahaja memberi nasihat kepada anak-anak apabila perlu. Apatah lagi kalau nasihat itu membawa kepada kebaikan bagi si anak.

Dalam kes ibu dan ayah menyuruh anaknya menceraikan isterinya, perlu ditinjau pada kewajarannya. Jika si isteri bersifat nusyuz dengan mengabaikan tanggungjawabnya yang utama sehingga merosakkank ebaikan keluarganya maka dia wajar diceraikan. Sebagai contoh, jenis isteri yang banyak menghabiskan masa di luar bersama kawan-kawannya sehingga mengabaikan suami dan anak-anak di rumah. Begitu juga jenis isteri yang mengamalkan ajaran songsang yang bercanggah dengan akidah Islam yang benar, maka wajar dia diceraikan. Tetapi kalau ia  membabitkan perkara kecil dan remeh, maka tidak wajar dia diceraikan. Apa yang patut dilakukan ialah menasihatinya dan jika perlu pergilah berjumpa dengan kaunselor yang bertauliah untuk mendapatkan saranan yang baik daripadanya.

Adapun kisah Nabi Ibrahim mengarahkan Nabi Ismail untuk menceraikan isterinya tidak boleh dijadikan hujah secara mutlak. Walaupun  kisah tersebut mayshur di dalam kitab-kitab tafsir, ia tetap tidak boleh dijadikan dalil mudah bagi menceraikan isteri. Ini kerana para Nabi sering melakukan sesuatu hasil dari wahyu yang diterima, bukan menurut hawa nafsu.