Loading...

Boleh lenggang perut

Soalan

Apakah hukum mengamalkan adat lenggang perut dengan diikuti pula bacaan doa selamat?

Adakah boleh saya menghadiri majlis sebegini?

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Lenggang perut adalah amalan adat Melayu yang bertujuan untuk mengenali jantina bayi dalam kandungan dan memastikan bayi dalam kandungan berada pada kedudukan yang betul, tidak songsang, agar si ibu mudah melahirkan apabila tiba masanya.

Amalan ini dilakukan ketika kandungan si ibu berusia tujuh bulan oleh bidan. Bahan-bahan yang diperlukan untuk melakukan amalan lenggang perut ini ialah:

• Tujuh helai kain yang berlainan warna.

• Satu gantang beras.

• Sebiji buah kelapa.

• Beberapa urat benang.

• Satu batang damar.

• Sedikit minyak kelapa atau minyak urut.

• Beberapa batang lilin.

• Satu tepak sirih, yang lengkap dengan isinya.

• Pengeras wang sebanyak lima suku ($1.25) di dalam tepak itu.

Prosesnya ialah bidan akan membaringkan si ibu di atas tujuh helaikain berlainan warna yang dibentang melintang.

Kemudian, perut si ibu akan diurut dengan minyak kelapa atau minyak urut dengan perlahan-lahan bagi memastikan kedudukan bayi dan mengarahkannya pada kedudukan yang betul.

Setelah itu, bidan akan menggulingkan kelapa yang telah dikupas kulitnya di atas perut ibu sebanyak tujuh kali, lalu dilepaskan untuk dibiarkan jatuh bergolek dari perut ibu.

Jika mata kelapa berada di atas setelah berhenti dari bergolek, itu dianggap sebagai petanda bayi dalam kandungan ialah lelaki.

Jika menghala ke bawah pula, dianggap petanda bayi perempuan.

Kemudian bidan akan memegang hujung kain di lapisan paling atas, mengangkatnya sambil melenggangkan badan si ibu hinggalah kain itu tertarik keluar daripada dibaringi oleh si ibu.

Hal ini diulang sehingga semua tujuh helai kain ditarik keluar.

Kain yang paling bawah sekali bersama dengan kelapa, beras, damar, sirih pinang dan wang pengeras lima suku di dalam tepak sirih itu diberi kepada bidan sebagai upah.

Pada hari yang sama, upacara doa selamat turut diadakan yang mana kaum keluarga, jiran dan rakan terdekat diundang bersama.

Di sesetengah daerah, amalan melenggang perut hanya melibatkan amalan mengurut perut si ibu dan bayi sahaja.

Sebahagian agamawan Melayu condong melarang amalan ini sama sekali kerana kaitannya dengan tradisi Hindu yang berisi fahaman-fahaman khurafat yang terlarang oleh agama.

Saya condong untuk mengambil jalan pertengahan dalam hal ini, iaitu dengan membahagikan amalan ini kepada beberapa aspek yang berbeza.

Dari situ apa yang terlarang oleh agama dapat dikenal pasti dan ditinggalkan dan apa yang tidak terlarang boleh diamalkan.

Setidak-tidaknya, pendekatan ini membolehkan amalan ini terus dilestarikan setelah unsur-unsur terlarang ditinggalkan sebagai satu artifak budaya masyarakat.

Pendekatan kita terhadap amalan budaya yang tidak mempunyai asas dalam agama dan bercampur dengan unsur-unsur khurafat tidak semestinya bersifat menolak sama sekali amalan berkenaan dan menghapuskannya.

Terdapat banyak contoh bahawa Islam membenarkan tradisi Arab jahiliyah dikekalkan setelah unsur-unsur yang salah dilarang dari di-teruskan.

Ertinya, adat berkenaan boleh diamalkan tanpa unsur-unsur yang terlarang atau unsur-unsur berkenaan diganti atau diubahsuai sehingga sejajar dengan ajaran agama.

Dalam hal ini, saya berpendapat, terdapat tiga aspek berkaitan amalan lenggang perut:

a) keagamaan,

b) sains,

c) falsafah.

Aspek keagamaan ialah yang melibatkan kepercayaaan bahawa makhluk tertentu boleh membawa/menolak tuah/sial melalui amalan ini dan/atau pengunaan jampi serapah yang mengandungi makna yang bercanggah dengan ajaran agama seperti pujaan makhluk halus atau sembahan selain dari Allah s.w.t.

Apa jua amalan adat yang mengandungi unsur-unsur ini adalah terlarang, termasuklah lenggang perut.

Adapun bahan-bahan yang disenaraikan di atas bagi kegunaan lenggang perut, bukanlah bahan-bahan yang terlarang di sisi agama kecuali jika ia disertai dengan fahaman atau keyakinan yang terlarang.

Aspek sains ialah soal kaedah mengetahui jantina bayi dalam kandungan dan memastikan bayi pada kedudukan yang betul.

Apa yang dilakukan semasa lenggang perut untuk tujuan yang dinyatakan di atas, selama tidak mengandungi unsur-unsur keagamaan yang terlarang, tidaklah salah di sisi agama dan dibolehkan, walaupun jika terbukti ia bukan sesuatu yang saintifik.

Sesuatu yang tidak saintifik bukan bermakna terlarang di sisi agama, walaupun agama amat menganjurkan amalan atas asas ilmu yang betul.

Hujah ini terdapat dalam penjelasan Pejabat Mufti Singapura dalam surat kepada Berita Harian yang bertarikh 9 April 2008 berikutan komentar orang ramai mengenai Fengshui yang dibenarkan dalam Islam.

Oleh kerana sekarang ini sudah ada kaedah saintifik yang lebih tepat bagi mengenali jantina bayi dan mengetahui atau membetulkan kedudukannya bagi memudahkan proses bersalin, lebih baik sekiranya kaedah-kaedah ini dimanfaatkan atau paling kurang janganlah ia ditinggalkan kerana berpada pada amalan lenggang perut sahaja.

Aspek ketiga ialah pengajaran-pengajaran baik dan tidak bercanggah agama di sebalik amalan lenggang perut.

Dalam hal ini, segala proses yang dilalui dan bahan-bahan yang digunakan hanyalah simbol bagi sesuatu falsafah yang tersirat.

Sebagai contoh, Prof. Dr. Hashim Awang, pensyarah di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, dalam sebuah artikel bertajuk “Lenggang perut satu warisan” (Berita Harian [Malaysia], 9 Julai 2009) menerangkan bahawa amalan melenggang perut bertujuan untuk menyediakan si ibu dan keluarganya untuk menerima kehadiran orang baru.

Ia juga bertujuan untuk menenangkan si ibu apabila mendapat perhatian dari keluarga di saat-saat hampir pada waktu melahirkan kerana biasanya si ibu akan berasa bimbang dan berdebar-debar terutama ibu yang mengandung sulong.

Ia adalah satu cara orang Melayu memberi sokongan moral dan sosial kepada ibu mengandung pada saat-saat penghujung kandungannya.

Di samping itu kehadiran kaum keluarga juga boleh menjadi wadah untuk kaum keluarga menguatkan silaturahmi sesama mereka.

Namun jika tujuan amalan lenggang perut ialah untuk menyampaikan falsafah yang tersirat, seharusnya penerangan itu benar-benar dibuat ketika majlis berkenaan supaya semua mereka yang menyaksikan dan menghadirinya dapat mengambil pelajaran yang baik.

Jika tidak, amalan berkenaan boleh dianggap sia-sia sahaja kerana apa gunanya bersusah payah melakukan amalan ini tanpa memahami pengajaran baik darinya?

Di pandang dari segi budaya pun, ini tidak memenuhi tujuan utamanya.

Kesimpulannya, mereka yang ingin mengamalkan amalan lenggang perut hendaklah, paling kurang, memastikan bahawa aspek pertama yang dinyatakan di atas dipenuhi, iaitu tiada kepercayaan khurafat, tingkahlaku atau pengunaan bahan yang terlarang.

Menyertakan doa selamat pada majlis ini mengindahkannya lagi.

Perlu diingatkan bahawa kewujudan bacaan doa selamat di majlis lenggang perut tidak menjadikan ianya halal di sisi agama sekiranya unsur-unsur khurafat dan yang terlarang sebagaimana yang dinyatakan diatas tidak ditinggalkan.

Sebaiknya amalan ini tidak menyebabkan pengamalnya meninggalkan kaedah-kaedah saintifik bagi memenuhi tujuan amalan lenggang perut seperti yang dinyatakan dalam aspek kedua dan diiringi sekali akan pengajaran atau falsafah yang tersirat di sebaliknya untuk manfaat yang hadir.

Demikianlah juga jika amalan ini hendak dipertontonkan kepada orang ramai sebagai satu artifak budaya dengan tujuan untuk pelestarian budaya Melayu dan pendidikan umum oleh institusi atau badan budaya Melayu seperti Taman Warisan Melayu.

Berdasarkan apa yang dinyatakan di atas, hukum menghadiri majlis lenggang perut adalah harus, jika seseorang itu yakin ia dilakukan tanpa unsur-unsur yang terlarang.

Jika tidak pasti, sebaiknya dia tidak menghadirinya atau hadirkan diri setelah majlis lenggang perut selesai sebagai satu ziarah silaturahmi kepada keluarga yang mengundang.

*Berita Harian, 4 Oktober 2013.