Soalan
Adakah salah bagi wanita yang ingin membujang sepanjang hayat mereka?
Saya mempunyai ibu yang masih sakit dan, saya mahu menjaganya tanpa “gangguan” dari suami atau apa-apa pun.
Lagipun, saya mempunyai fobia dengan perkahwinan-perkahwinan yang retak kerana penderaan.
Ibu saya melalui perkahwinan seperti itu dan saya tidak mahu situasi-situasi begitu berlaku pada diri saya.
Jadi, kalau saya mahu membujang sepanjang hayat saya, adakah ia tidak bagus dan salah?
Jawapan
(Oleh Ustaz Haniff Hassan)
Asalnya hukum berkahwin hanya sunat sahaja. Ia boleh menjadi wajib jika seseorang yang tidak berkahwin berkemungkinan besar akan melakukan maksiat seperti zina dan pergaulan bebas yang terlarang.
Jika anda boleh memelihara diri dari maksiat, tidaklah salah jika anda tidak mahu kahwin. Cuma tidak digalakkan sahaja.
Oleh kerana kahwin adalah sesuatu yang amat digalakkan oleh agama maka sudah tentunya ia mempunyai kebaikan yang banyak, tanpa pula menafikan risikonya.
Ingat juga, tidak berkahwin juga adalah sesuatu keputusan yang mempunyai risiko bagi seseorang, seperti risiko kesihatan dan lain-lain.
Dalam hidup ini sebaiknya kita mengelakkan dari mempunyai pilihan yang tertutup.
Dengan erti kata lain, walaupun anda mempunyai perspektif negatif terhadap kahwin, hendaklah sentiasa mempunyai pilihan terbuka kerana anda tidak tahu apa yang mungkin ada untuk anda di masa hadapan.
Oleh itu, sama ada anda mahu/akan berkahwin atau tidak, saya cadangkan anda usahakanlah untuk atasi masalah psikologi yang ada berkaitan dengan kahwin kerana ia merupakan prejudis. Tidak seharusnya, seorang Islam mempunyai prejudis apatah lagi terhadap sesuatu yang dianjurkan oleh agama. Dapatkanlah nasihat atau bantuan kaunselor dalam hal ini.
Yang penting bagi hidup manusia ialah keredhaan Tuhan dan beroleh kebahagiaan sejati di akhirat. Kasih sayang dan keredhaan Tuhan amat luas, tidak terbatas hanya untuk yang berkahwin sahaja.
Semoga Tuhan merahmati dan memberi sebesar ganjaran kepada anda atas usaha menjaga orang tua anda dan mempertemukan anda dengan seorang yang soleh dan bersedia menerima dan memelihara anda bersama segala amanah yang ada di bahu.