Menabur bunga di atas kubur

Soalan

Mengapakah orang Melayu kalau ziarah kubur selalu mereka akan menaburkan bunga-bunga dan disiramkan air di atas kubur dari atas ke bawah. Adakah ini dibolehkan dalam Islam atau hanya adat melayu sahaja? Apa logiknya?

Ada satu ceramah saya dengar yang mengatakan bunga-bunga ni semua adalah dari adat Hindu yang masih kuat pengaruhnya di kawasan Asia.

Apa pandangan ustaz mengenai perkara ini? Ada tidak sunnah Nabi yang mengatakan perkara ini boleh atau tidak boleh dilakukan.

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Amalan menggunakan bunga dalam ritual agama di kalangan orang Melayu memang banyak dipengaruhi dari budaya lain, tapi itu bukan bermakna dalam semua keadaan ia adalah salah dan terlarang.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim ada dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah melalui satu kubur dan dia diberi pengetahuan bahawa ahli kubur itu disiksa. Kerana sifat kasihannya, beliau mencucuk satu pelepah kurma di atas kubur itu dan berkata selagi pelepah kurma itu segar, tasbih darinya kepada Tuhan akan meringankan azab bagi ahli kubur itu.

Atas dasar inilah menanam pokok kecil di atas kubur diamalkan di kalangan orang Melayu.

Saya tidak pasti apa sebab sebenar amalan menabur bunga di atas kubur. Namun, pada agakan saya ialah adalah sinkretisme antara amalan penggunaan bunga dari budaya lain yang memang sudah dipegang oleh orang Melayu kerana pengaruh Hindu/Buddha lebih dahulu berlaku dari Islam dan contoh dari hadis di atas, yang pada asalnya Nabi menggunakan pelepah kurma.

Masalahnya, ramai orang kita yang melakukannya tanpa tahu sebab musabab, hanya setakat ikut sahaja perbuatan orang lain.

Kesimpulannya di sisi saya, adalah lebih baik ditanamkan pokok kecil atau rumput di atas kubur itu kerana ia lebih kekal. Jika ini telah dilakukan, tidak perlulah tabur bunga lagi.