1 Teck Whye Crescent

Singapore 688847

Email Us At

info@alkhair.mosque.sg

DROP US A CALL

6760 1139

Syarat hukuman zina dan taubat penzina*

Soalan

Saya pernah terbaca bahawa pengampunan hukum berzina ialah sebat 100 kali bagi yang belum kahwin dan rejam bagi yang sudah berkahwin.

Di banyak negara, hukum itu tidak dilaksanakan.

Bagaimana boleh saya tahu dosa saya sudah diampun tanpa menjalani hukuman sedemikian.

Apakah hukuman lebih berat menanti di akhirat kelak?

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Sebat 100 kali ke atas penzina yang belum kahwin dan rejam ke atas penzina yang sudah kahwin adalah hukuman yang Islam kenakan jika sabit kesalahan berkenaan oleh mahkamah syariah.

Dalil bagi hukum sebatan ialah firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nur, ayat ke 2, yang bermaksud: “Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan…”

Dalil bagi hukum rejam pula ialah hadis yang bermaksud, “….esok pagi datangilah isteri orang ini. Jika dia mengaku maka rejamlah’. Kemudian Unais mendatangi wanita itu dan dia mengakuinya. Maka Rasulullah s.a.w. memerintahkan agar wanita itu direjam.” (Riwayat Al-Bukhari)

Hukuman tidak sama dengan soal pengampunan dosa.

Soalan pengampunan berkaitan dengan sikap seseorang yang menyesal akan perbuatannya dan bertaubat.

Jika ia melakukan sedemikian dengan ikhlas dan sungguh-sungguh, Allah s.w.t. akan mengampunkannya.

Sebahagian ulama (kelompok pertama) berpendapat bahawa taubat yang ikhlas dan sungguh-sungguh memadai untuk melepaskan seseorang dari dikenakan hukuman atas kesalahan zina (tapi boleh dihukum dengan hukuman yang lebih ringan sebagai pengajaran).

Antara dalil dalam hal ini ialah sabda Rasulullah s.a.w. mengenai seorang yang bernama Ma‘iz yang telah dihukum kerana berzina lalu cuba melarikan diri dari hukuman yang dijalankan: “Mengapa kamu tidak biarkan sahaja dia [melarikan diri]. Barangkali dia bertaubat, lalu Allah menerima taubatnya.” (Riwayat Abu Daud)

Ini adalah pendapat Imam Asy-Syafi‘i yang di dalam kitabnya Al-Umm.

Sebahagian ulama (kelompok kedua) yang lain berpendapat bertaubat sahaja tidak melepaskan pelaku kesalahan itu dari hukuman.

Terdapat kes wanita dari suku kaum Ghamid yang tetap dihukum oleh Nabi s.a.w. walau beliau telah menyesal dan bertaubat atas kesalahannya.

Seorang pelaku zina, walaupun telah dihukum, tapi tidak bertaubat atau menyesal atas perbuatannya, dosanya akan tetap dihisab oleh Allah ta‘ala kelak di akhirat nanti kerana hukuman itu sahaja tidak membersihkan dosanya.

Perlu difahami bahawa kerana hukuman yang Islam tetapkan ke atas penzina juga mempunyai tujuan pencegahan ke atas orang ramai.

Oleh sebab itulah, si pesalah akan tetap dihukum walaupun jika dia telah bertaubat, di sisi kelompok kedua yang dinyatakan di atas.

Namun untuk melaksanakan hukuman ini, baik ke atas pesalah yang telah bertaubat atau tidak, ia perlu memenuhi syarat-syarat yang ketat, antaranya ialah;

• Kesalahan itu disabitkan oleh pengakuan si penzina, atau

• Ada empat orang saksi yang boleh dipercayai yang benar-benar melihat perbuatan zina itu ibarat menyaksikan lidi celak dimasukkan ke dalam botolnya, bukan samar-samar atau atas andaian.

• Ia juga disabitkan melalui satu proses perbicaraan yang terbuka yang mana si tertuduh diberi hak untuk membela diri.

• Perbicaraan dijalankan oleh mahkamah syariah.

• Segala yang di atas pula dilaksanakan oleh satu pemerintah Islam yang sah, bukan individu atau kumpulan-kumpulan agama atau masyarakat.

Ketiadaan salah satu syarat-syarat di atas menggugurkan kewajipan melaksanakan hukuman yang dinyatakan.

Ia juga menjadikan pensabitan kesalahan atau pelaksanaannya tidak sah.

Ada pun hukuman zina dalam Islam dalam konteks Singapura hari ini, ia tidak boleh dilaksanakan kerana syarat di atas belum dapat dipenuhi, iaitu:

• Tiada pemerintah Islam di sini yang berkewajipan melaksanakan hukum yang dinyatakan

• Tiada undang-undang yang memadai bagi membolehkan pembuktian dan perbicaraan dapat dijalankan supaya sabitan kesalahan dapat dilakukan dengan betul.

Sikap yang sederhana bagi umat Islam Singapura tentang pelaksanaan hukum jenayah Islam di negara ini juga telah diulas oleh Pergas dalam bukunya Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura yang diterbitkan pada tahun 2004.

Dalam buku ini, Pergas berpendapat,

“…hukum hudud juga adalah hanya sebahagian dari banyak kewajipan agama yang perlu ditunaikan oleh umat Islam. Oleh itu, perlulah diperhatikan urutan keutamaan-keutamaan kewajipan yang perlu dipenuhi mengikut keadaan sesuatu tempat dan masa. Dalam konteks inilah masyarakat Islam Singapura yang hidup sebagai kelompok minoriti melihat isu hukum hudud iaitu walaupun kita beriman dengannya, tetapi kita mempunyai realiti dan keutamaan yang berbeza berbanding umat Islam yang lain…… keutamaan kita dalam konteks Singapura ialah untuk memelihara suasana bebas dan aman bagi mengamalkan tuntutan agama yang dharuri [asasi] atas semangat demokrasi dan menyemarakkan persekitaran masyarakat madani (civil society). Walaupun kita dituntut menegakkannya [hudud] tetapi ketidak-upayaan kita untuk melakukannya tidak bermakna keIslaman atau martabat kita lebih rendah dari umat Islam yang lain di sisi Allah ta‘ala kerana kita dituntut untuk berusaha mengikut keterbatasan yang ada.” 92

Pendirian ini juga sejajar dengan pendapat ulama silam bahawa hukuman jenayah Islam tidak wajib dilaksanakan jika kesalahan itu dilakukan di negara bukan Islam (Dar al-Harb).

Walaupun pendapat ini adalah pegangan dalam mazhab Hanafi, tetapi ia wajar dijadikan panduan dan dasar sikap kita di Singapura dalam isu ini.

Atas dasar ini, mereka yang telah melakukan zina dalam konteks Singapura hanyalah wajib bertaubat dengan sesungguh hati dan ikhlas sahaja.

Ia adalah pendapat yang berakar dalam tradisi ilmu kita dan pegangan mazhab rasmi (Asy-Syafi‘i) di kalangan masyarakat Islam di rantau ini.

Tidak wajib baginya mengadukan dosanya itu kepada sesiapa untuk dihukum atau mencari-cari tempat supaya dia dihukum kerana mengharapkan dosanya terhapus.

Oleh kerana si penzina berada di dalam situasi yang tiada kewajipan untuk dia dihukum, tidaklah timbul soal dosa yang tidak terhapus kerana hukuman di dunia tidak terlaksana ke atasnya, jika isu ini dinilai dari perspektif kelompok kedua.

Allah s.w.t. adalah Tuhan Yang Maha Pengasih.

Sifat kasih-Nya menuntut bahawa dia tidak membebankan hamba-Nya melebihi dari kemampuan.

Oleh kerana tidak terlaksana hukuman dunia di luar kemampuan, tidaklah Allah s.w.t. akan menuntut perkara itu pula di akhirat kelak, jika si pelaku dosa telah benar-benar bertaubat.

Atas tujuan menguatkan lagi taubat dan mensucikan diri dari dosa sepenuhnya, para ulama menganjurkan pula bagi mereka yang bertaubat untuk membanyakkan amal ibadah dan amal jariah supaya saki baki dosa, jika ada, kerana dari ketidak-sempurnaan taubat atau realiti kehidupan di dunia ini dapat terhapus olehnya.

Allah s.w.t. berfirman di dalam surah Hud, ayat ke 114, yang bermaksud: “Sesungguhnya kebaikan-kebaikan itu menghapuskan keburukan-keburukan, yang demikian itu adalah peringatan bagi orang-orang yang ingat.”

Imam Ibn Katsir dalam kitab tafsirnya telah menulis, berkaitan ayat ini: “Sesungguhnya melakukan kebaikan itu menghapuskan dosa-dosa silam.”

Terdapat hadis dari Rasulullah s.a.w. yang memberi makna yang sama, maksudnya: “Dan ikutilah keburukan [dosa] itu dengan kebaikan [amal soleh] kerana kebaikan itu dapat menghapuskan keburukan.” (Riwayat Ahmad, At-Tirmizi, Al-Hakim dan At-Tabrani)

*Berita Harian, 27 Disember 2013.