Kerja jururawat tidak boleh pakai tudung, haram

Soalan

Ramai di kalangan kita yang bekerja sebagai jururawat di hospital-hospital sama ada di Singapura ataupun di luar Singapura.

Selalunya kita tidak dibenarkan memakai tudung jadi bagaimanakah itu ustaz?

Ada orang kata kena berhenti kerana ada banyak lagi kerja halal di luar.

Tetapi ramai yang telah ambil kursus di politeknik dan lain-lain lagi dan mendapat pekerjaan di hospital terpaksa perlu membukanya.

Kawan-kawan ada mengatakan apa salahnya kerana ia adalah satu kerjaya yang mulia.

Saya harap ustaz boleh tolong jelaskan apakah benar pekerjaan ini kurang baik ataupun boleh sahaja meneruskannya?

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Jururawat adalah profesi yang terpuji di sisi Islam. Oleh itu, ia adalah sumber kehidupan yang halal.

Bagi saya, hukum jururawat wanita Muslim yang tidak boleh pakai tudung ketika bertugas sama seperti hukum anak-anak perempuan Muslim yang tidak dapat bertudung di sekolah pemerintah yang telah ada fatwa mengharuskannya daripada MUIS.

Sememangnya, seseorang itu ada pilihan untuk mengambil pekerjaan lain di luar sana sehingga dia dapat menunaikan tanggungjawab menutup aurat.

Namun, sepengetahuan saya, ini sama sekali tidak menjadikan pekerjaan jururawat itu haram di sisi agama kerana seorang wanita tidak dapat menutup aurat.

Kalau pun kita bersetuju bahawa status bekerja sebagia jururawat tidak sampai ke peringkat darurat, saya berpendapat di sana terdapat keperluan untuk wanita Muslim bekerja sebagai jururawat dan keperluan ini mencapai tahap hajat di sisi syaraโ€˜, satu tahap di bawah darurat.

Dalam hal ini kaedah fiqh yang boleh diamalkan ialah Al-Hajah tanzilu manzilah adh-dharurah (sesuatu yang berstatus hajat, boleh mengambil kedudukan darurat).

Apakah hajat itu?

Keberadaan jururawat Muslimah yang soleh membantu untuk menjaga keperluan pesakit Muslim, memperjuangkan dan mempertahankan keperluan dan hak mereka.

Keberadaan jururawat Muslimah boleh menjadi sebagai pemeriksa dan imbang (check and balance) terhadap anasir-anasir seperti gerakan missionary yang bergiat di hospital-hospital baik secara terang atau tersembunyi, oleh orang luar atau staf. Gerakan ini bukan hanya boleh mengakibatkan kesan buruk terhadap pesakit dari kalangan penganut agama lain tetapi juga bercanggah dengan polisi kerja yang sedia ada.

Keberadaan jururawat Muslimah yang kompeten boleh menjadi tauladan yang baik di mata orang ramai sehingga membantu menaikkan nama baik Islam.

Islam adalah agama yang sentiasa memerhatikan konteks.

Disebabkan konteks di Singapura, kita tidak boleh menggunakan piawai darurat atau hajat yang diguna pakai di negara-negara majoritinya umat Islam.

Pendirian seperti ini ada sandarannya dalam pemikiran fiqh mazhab Hanafi yang membolehkan piawai dan amalan syariat yang berbeza disebuah negara bukan Islam berbanding di negara Islam.

Tambahan pula, jika kita ingin menggunakan dasar pendapat yang tidak membolehkan wanita Muslim bekerja sebagai jururawat kerana tidak dapat mengamalkan pemakaian tudung atau aspek tertentu dari agama, nescaya kita akan menyempitkan ruang pekerjaan bagi wanita Muslim di Singapura.

Ini pasti memberi banyak kesulitan kepada masyarakat kita. Sedangkan Islam itu adalah agama yang memudahkan.

Sesuatu pekerjaan yang telah jelas haram di sisi agama seperti pelayan bar yang menghidangkan minuman keras tidaklah boleh dihalalkan.

Namun, pekerjaan yang asalnya halal tidaklah boleh kita haramkannya semata-mata kerana wujud elemen tertentu yang bercanggah di sisi agama.

Pendekatan yang saksama ialah untuk kita membuat penilaian menyeluruh secara umum atau di peringkat individu sama ada kebaikan lebih banyak atau keburukan.

Jika lebih besar kebaikannya, maka dibolehkanlah pekerjaan itu, baik secara umum atau kepada individu tertentu.

Jika ada individu merasa lebih selesa tukar kerja kerana ia lebih menenangkan hatinya, itu adalah pilihan peribadi yang tidak salah di sisi agama.

Namun, ia tidak wajar dijadikan piawai umum untuk semua kerana ia adalah pilihan atas dasar warak (lebih berhati-hati). Sedangkan warak itu tidak wajar dijadikan hukum umum untuk orang awam di sisi para ulama.

Apabila kita mengatakan bahawa wanita Muslimah boleh bekerja sebagai jururawat walaupun tidak boleh memakai pakain yang menutup aurat itu tidak bermakna kita akur bahawa yang sedemikian itu baik, atau tidak perlu berusaha mengubahnya.

Hukum itu ditetapkan sedemikian sebagai satu pengakuan akan konteks yang sedia ada.

Mengubah keadaan atau memperjuangkan supaya jururawat boleh tutup aurat adalah isu yang lain.

Ia sememangnya sesuatu yang termasuk dari usaha dakwah kita yang wajar dilakukan tetapi sehingga keadaan berubah, hukum yang dinyatakan, di sisi saya, adalah seperti yang dijelaskan.

Pada dasarnya, saya juga ingin melihat agar kebenaran berpakaian menutup aurat diberikan bagi Muslimah di sekolah pemerintah dan pasukan seragam.

Yang menjadi persoalan selanjutnya ialah cara melakukannya.

Di sini mungkin ada perbezaan yang perlu kepada sikap berlapang dada dan hormat menghormati.