Melukis inai corak bunga dan pohon ala Indo-Pakistan haram

Soalan

Apakah hukum memakai inai bermotif bunga sebagaimana yang biasa diamalkan dalam budaya Indo-Pakistan? Saya ada mendengar ada yang mengharamkannya.

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Ya, memang ada sebahagian tokoh agama hari ini yang berpendapat memakai inai bermotif bunga seperti dalam amalan orang Indo-pakistan adalah haram berdasarkan larangan Nabi s.a.w. terhadap perbuatan mentatu tubuh dengan lukisan-lukisan dalam hadis:

Dari Ibn Umar r.a. katanya dengan maksud: “Rasulullah s.a.w. mengutuk orang yang menyambung rambut dan meminta rambutnya disambungkan dan (Rasulullah s.a.w.) mengutuk pembuat tatu dan yang meminta ditatui.” (Riwayat Muslim).

Dari Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Allah mengutuk wanita yang mempergunakan (memberikan) rambutnya untuk (menyambung) rambut wanita lain, wanita yang menyambung rambutnya dengan wanita lain, wanita yang membuat gambar di kulitnya (tubuh) dengan tusukan dan wanita yang meminta kulitnya dibuat gambar dengan tusukan (alat pengukir tatu).” (Riwayat Al-Bukhari)

Saya kurang bersetuju dengan pandangan di atas. Pada pandangan saya untuk menghasilkan hukum yang tepat kita tidak seharusnya hanya melihat pada aspek teks sahaja tapi kita juga perlu memahami dari segi budaya, antropologi dan lain-lain, seperti apa dia yang dimaksudkan dengan bertatu di zaman Nabi itu kerana sesuatu hukum itu tidak diberikan dalam vakum tetapi berdasarkan konteksnya.

Memahami budaya bagi menghasilkan hukum bukan sesuatu perkara yang baru dan asing dalam ilmu fiqh. Ia termasuk dalam bab memahami ‘illah (sebab) sesuatu hukum, jika ada ‘illah, adalah hukum itu. Jika tidak ada, tidak adalah hukum itu.

Apa dia budaya dan falsafah bertatu di zaman itu? Adakah ia hanya haram kerana aspek lukisannya, atau kerana ia tidak mensahkan wudhu’ atau kerana ada pemikiran khurafat disebaliknya atau kerana ia menggunakan jarum yang menusuk kulit.

Pada pengamatan saya ada banyak perbezaan dari segi falsafah dan teknik antara bertatu sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat asli seperti Arab badwi di zaman Nabi, dayak di Amerika Selatan, Iban dan lain-lain dengan budaya berinai yang berukiran bunga-bunga yang kita lihat di kalangan masyarakat Indo-Pakistan yang popular pada masa ini dikalangan orang Melayu.

Dalam hal ini, mengkiaskan hukum dalam hadis itu kepada amalan berinai yang berukir awan larat oleh kaum perempuan pada pandangan saya adalah, dalam istilah hukum, qiyas ma‘al fariq. Erti mudahnya ia bukan kias serupa antara dua buah epal yang sama.

Namun, ada juga kecenderungan hari ini yang mahu menggunakan inai sebagai alternatif bagi tatu konvensional. Iaitu melukis imej-imej tertentu tetapi dengan menggunakan inai atau bahan-bahan yang tidak kekal semata-mata kerana terpengaruh dengan budaya tatu konvensional. Sifat ketidak-kekalan tatu itu, dijadikan helah untuk bertatu, tapi rupanya hampir sama dengan yang kekal. Yang seperti ini memang wajarlah dilarang, tetapi larangannya ialah kerana niat melakukannya tidak betul, iaitu terpengaruh dengan satu budaya yang mempunyai unsur-unsur negatif, berbangga dengan sesuatu yang terdapat larangan oleh agama, apatah lagi kalau imej-imej itu, adalah imej yang memang Islam tidak menyukainya.

Namun, saya tidak bersetuju untuk meluaskan aplikasi hadis itu kepada semua bentuk lukisan berinai ala Indo-Pakistan yang biasa kita nampak ditangan pengantin-pengantin perempuan, lalu kita katakan mereka semua itu kena laknat Allah.

Hukum bentuk inai yang sedemikian tidak jatuh dalam hadis berkenaan, tapi jatuh dalam hukum bersolek dan berhias bagi orang perempuan.