Loading...

Memberi duit raya

Soalan

Mengapa orang memberi duit kepada budak-budak di Hari Raya? Adakah ada dalil-dalil yang menggalakkan pemberian ini? Adakah ini boleh dianggap sebagai meniru budaya dan amalan orang Cina yang memberi Hongbao semasa tahun baru mereka?

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Sememangnya amalan memberi duit raya tiada anjuran khusus dalam Al-Quran atau hadis. Mungkin juga ia adalah pengaruh dari budaya Cina.

Namun, ini tidak bermakna bahawa amalan itu salah dan berdosa kerana Islam menganjurkan banyak bersedekah dan memberi hadiah untuk menjalin silaturahmi.

Islam juga tidak melarang kemasukan pengaruh budaya asing asal sahaja tidak bercanggah dengan agama. Atas dasar yang umum ini, pemberian duit raya bolehlah dikekalkan.

Yang penting, perlulah diambil perhatian berikut:

Bersedekah ikut kemampuan, bukan kerana ikut-ikut kemampuan orang. Kalau memang tidak berduit, tidak usah beri duit raya.

Hati kena ikhlas, bukan kerana nak menunjuk-nunjuk.

Penting sekali untuk didik anak-anak kita bahawa sikap mengharap dan meminta duit raya bukan sikap yang disukai agama. Dalam hadis ada dikatakan, “tangan yang di atas (memberi) lebih baik dari tangan yang dibawah (menerima).” (Riwayat Muslim).

Kalau memberi, janganlah harapkan balasan. Contohnya, kalau beri anak orang duit raya, janganlah mengharap orang beri anak kita duit raya juga.

Jangan prejudis kepada yang tidak memberi duit raya, kerana mungkin orang berkenaan lebih banyak bersedekah dari kita.