Hukum isteri memeluk agama Islam sedangkan suami tidak tetapi ingin kekalkan rumah tangga

Soalan

Saya ada seorang teman wanita berwarga negara Australia. Dia telah memeluk Islam sedangkan semua ahli keluarganya tidak. Suami dan keluarganya tidak dapat menerima perubahan pada dirinya tapi dia masih tetap mencintai mereka. Dia masih mahu terus kekal dalam perkahwinan bersama suaminya yang belum memeluk Islam.

Boleh dia kekal dalam perkahwinan dengan suami yang bukan Muslim?

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Pendapat yang tradisional dan masyhur mewajibkan pernikahan ini difasakhkan oleh pihak yang berkuasa atas dasar larangan Al-Quran terhadap ikatan perkahwinan antara wanita Muslim dan lelaki bukan Muslim dalam surah Al-Baqarah, ayat ke 221, yang bermaksud;

“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).”

Begitu juga di dalam surah Al-Mumtahanah, ayat ke 10, yang bermaksud,

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka: Allah lebih mengetahui akan iman mereka: dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir.

Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu (sebagai isteri), dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami). Dan berilah kepada suami-suami (yang kafir) itu apa yang mereka telah belanjakan.

Dan tidaklah menjadi salah kamu berkahwin dengan mereka (perempuan-perempuan yang berhijrah itu) apabila kamu memberi kepada mereka maskahwinnya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang Islam) tetap berpegang kepada akad perkahwinan kamu dengan perempuan-perempuan yang (kekal dalam keadaan) kafir, dan mintalah balik maskahwin yang kamu telah berikan, dan biarkanlah mereka (suami-suami yang kafir itu) meminta balik apa yang mereka telah belanjakan.

Demikianlah hukum Allah; Ia hukumkan di antara kamu (dengan adil). Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Namun, terdapat pendapat dan kajian terkini yang mengharuskan wanita itu kekal sebagai isteri kepada suaminya yang belum masuk Islam dan hidup seperti biasa.

Perkara ini difatwakan oleh Sheikh Yusuf Al-Qardhawi di dalam bukunya Fiqh Minoriti Muslim yang telah diterjemahkan dan diterbitkan oleh Pustaka Nasional di Singapura. Kalau hendak dituliskan hujah-hujahnya akan terlalu panjang dan memakan ruang yang banyak. Cuma secara ringkas, masalah ini tidak boleh disamakan dengan masalah lelaki bukan Muslim menikahi perempuan Muslim dari awal, yang memang terlarang.

Ini adalah masalah pasangan yang keduanya bukan Muslim, berkahwin kemudian si isteri masuk Islam ketika dalam ikatan perkahwinan.
Dalam hal ini Sheikh Al-Qardhawi membenarkannya berdasarkan satu kaedah fiqh yang mana sesuatu perkara dilarang untuk melakukannya sejak awal tetapi boleh dibenarkan jika ia adalah untuk mengekalkan status quo (Yughtafaru fi al-baqa’ ma la yughtafaru fi al-ibtida’).

Contohnya, pasangan Muslim tidak boleh kahwin ikut cara agama lain, tetapi kalau pasangan suami isteri masuk Islam, tidak perlu kahwin semula. Mereka dibenarkan hidup sebagai suami isteri biasa atas dasar status quonya.

Hakikatnya, terdapat perbezaan pendapat ulama mengenai masalah yang dikatakan sejak dari dahulu lagi.

Sheikh Al-Qardhawi menukil secara panjang lebar tulisan Ibn Al-Qayyim dalam bukunya Ahkam Ahl Az-Zimmah yang turut berpegang pada pendapat yang mengharuskan.

Sheikh Al-Qardhawi menggunakan pendapat yang membenarkan memandang pada realiti sekarang ini yang banyak berlaku kes sedemikian terutama di negara Barat, bagi memberi kemudahan orang untuk masuk Islam.

Perkara yang sama juga ada disebut oleh Majlis Fatwa dan Kajian Eropah yang dinukil oleh Sheikh Abdullah bin Bayyah dalam bukunya Sina‘at al-Fatwa Wa Fiqh al-Aqalliyat (Pembuatan Fatwa dan Fiqh Bagi Muslim Minoriti).