Hukum bertahlil & mensedekahkan pahala kepada yang telah mati

Soalan

Jika ada kematian, adakah benar pendapat yang berkata tidak perlu melakukan kenduri? Adakah boleh saya mensedekahkan pahala bacaan Yasin dan Al-Fatihah atau saya hanya mendoakan mereka sahaja setelah membaca surah-surah itu?

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Isu sama ada boleh atau tidak boleh bertahlil adalah isu yang diperselisihkan para ulama sejak ratusan tahun dulu. Pandangan yang dinyatakan mewakili hanya satu daripada pelbagai pandangan yang ada. Saya tidak mengatakan pandangan itu salah tapi hanya untuk mengatakan ia tidak memberi hukum yang muktamad dalam isu ini. Ia benar setakat bagi mereka yang ingin berpegang dengan hujah-hujahnya sahaja tapi tidak boleh dipaksakan ke atas orang lain atau dijadikan pegangan semua Muslim.

Dalam masalah seperti ini, tidak akan boleh sama sekali untuk meminta semua Muslim berpegang dengan satu pendapat sahaja.

Kita boleh berbincang mengenai hujah masing-masing pihak tapi akhirnya setiap pihak haruslah bersedia untuk berlapang dada dan menghormati pendirian yang lain.

Siapa yang degil dan berkeras hanya pandangan dia sahaja yang betul, dialah yang tercela kerana kedegilannya dan kerana ingin menjadikan sesuatu hukum yang sebenarnya tidak muktamad menjadi sesuatu yang muktamad.

Walau bagaimanapun, tahlil ini hanyalah satu amalan sunat, bukan wajib. Jadi perkara yang sunat janganlah diwajibkan ke atas diri sendiri atau ke atas orang lain. Apatah lagi hingga membebankan pula. Sebaik-baik sedekah amalan yang hendak dibuat bagi ibu bapa ialah yang datang daripada anak-anaknya sendiri langsung dan dilakukan setiap hari atau sekerap mungkin.

Jangan jadikan majlis kenduri sebagai ganti sedekah seorang anak kepada orang tuanya yang telah pergi.

Umumnya, yang melakukan seperti itu, (bukan semua), ialah mereka yang sama ada tidak tahu atau tidak rajin beribadah. Maka sebab itu ia serahkan tanggungjawab berbakti kepada orang tua yang telah meninggal kepada orang lain.

Namun perlu ditegaskan, majlis kenduri untuk 1, 3, 7, 40, 100, 365 hari dan yang sedemikian, memang tiada dasarnya dalam Islam. Ia adalah resapan budaya lain ke dalam amalan orang Melayu. Oleh itu, hendaklah ia ditinggalkan. Ertinya, jika hendak menganjurkan kenduri, buatlah pada masa-masa yang dirasakan sesuai dan bukan kerana sempena hari ke berapa setelah kematian.

Akhir sekali, terserahlah kepada anda, mahu berpegang dengan pandangan yang mana. Yang penting ialah faham dasar-dasar setiap pandangan dan apa jua pandangan yang hendak dipegang, hendaklah menghormati pegangan orang lain. Janganlah pula merunsingkan diri kerana pegangan orang lain.

Tiada masalah untuk bertukar pandangan dengan orang lain dalam isu ini, tapi tidak perlu berdebat panjang-panjang kerana, seperti yang dikatakan, tidak akan mungkin ada kesepakatan di kalangan umat Islam dalam hal ini dan tidak perlu juga untuk menseragamkan pendirian umat Islam dalam isu ini.

Saya berpendapat sedekah bacaan yasin dan Al-Fatihah itu diterima dan tidak sia-sia kerana ia sama dengan keharusan melakukan kenduri untuk manfaat si mati.

Anda boleh membaca tulisan atau buku yang membahaskan isu dari kedua-kedua sudut pendapat yang bersetuju dan menolak serta dalil-dalil bagi menyokong pendapat masing-masing kerana ruang di sini terhad untuk menerangkannya.