Loading...

Khasiat surah-surah Al-Quran

Soalan

Di sebuah buku Mujarobat Besar oleh M. Ali Chasan Umar terbitan CV.Toha Putra Semarang, ada banyak panduan untuk itu dan ini. Sebagai contoh ialah khasiat surah Yusuf, di muka surat 18, nombor 3.

“Untuk Memudahkan…. rezeki dan pengasihan.

Surat Yusuf. Khasiat surat Yusuf ini adalah jika ditulis dilebur air, lalu diminum. Sesudah itu lalu mohon mudahnya rezeki kepada Allah. Insya Allah diberi kemudahan dalam soal rezeki.

Khasiatnya lagi adalah: jika ditulis lalu dibungkus kain dan digembol, maka isterinya sangat mencintai, begitu pula orang lain pun mencintai dan mengasihinya. Adapun cara menulisnya harus dengan tinta misik za‘faran. Cobalah!” dan khasiat surah Al-Ra‘ad di nombor 4:

“Untuk memecat pangkat orang zalim.

Surat “Ar-Ra‘du”. Khasiat surat Ar-Ra‘du jika ditulis pada piring waktu menulisnya di malam hari yang gelap bulan dan waktu hujan yang terdapat guntur dan kilat, lalu dilebur dengar air hujan tadi. Maka apabila disiramkan dimuka pintu rumah seorang yang [berpangkat], jika orang itu menginjak atau melangkah air itu, insya Allah pangkatnya segera dipecat atau dilepas pangkatnya oleh Allah.”

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Kesemua Al-Quran adalah penawar. Hal ini memang dinyatakan dalamAl-Quran (lihat surah Yunus, ayat ke 57; Al-Isra’, ayat ke 82; Fussilat, ayat ke 44).

Adapun menetapkan fadhilat atau kelebihan surah-surah atau ayat-ayat tertentu dalam Al-Quran, sebaik-baiknya ia dengan berpandukan hadis-hadis sahih.

Jika dinyatakan sesuatu surah itu mempunyai kelebihan tertentu kerana ada hadis yang menyatakan sedemikian, maka perlulah dipastikan hadis itu sahih, bukan hadis bohong atau terlalu lemah kerana tidak boleh menetapkan pandangan agama dalam hal ini berdasarkan hadis kecuali dipastikan ia benar.

Menerima bahawa sesuatu surah atau ayat mempunyai kelebihan tertentu untuk diamalkan dari sumber-sumber yang tidak bersandarkan hadis, seperti pendapat manusia sahaja, dibenarkan jika:

■ dipastikan bahawa sumber itu boleh dipercayai kesolehannya.

■ tidak diniatkan mengamalkannya sebagai sunat atau wajib dalam agama kerana menetapkan sesuatu sebagai sunat dan wajib tanpa sandaran Al-Quran dan hadis boleh membawa kepada bid‘ah.

■ ia diamalkan semata-mata kerana anjuran orang yang soleh yang mungkin ada kebaikannya berdasarkan pengalamannya. Ia boleh jadi betul dan boleh jadi tidak. Oleh itu, bolehlah cuba jika mahu.

Ulama berbeza pendapat mengenai hukum menulis ayat-ayat Al-Quran atau doa-doa yang boleh difahami maknanya dan baik isinya di kertas kemudian memakainya untuk tujuan tertentu:

■ sebahagian melarangnya berdasarkan larangan memakai tangkal. Sebahagian membenarkannya jika digunakan untuk bayi atau mereka yang tidak mampu lagi untuk membaca ayat atau doa itu. Ini berdasarkan sebuah hadis dari Ibn Abbas yang pernah menulis ayat Al-Quran lalu dipakaikan kepada seorang bayi agar dipelihara dari gangguan jin dan syaitan.

■ sebahagian pula membenarkan kepada semua.

Pegangan saya ialah sebaiknya dielakkan amalan sedemikian kerana boleh membuka kepada mensosialisasikan amalan bertangkal. Alternatif daripada saya ialah:

■ bagi yang memerlukan, amalkanlah membaca ayat atau doa berkenaan sebagai zikir dan doa harian.

■ bagi bayi atau kanak-kanak, orang dewasa yang mampu boleh membacakan untuk mereka sesering mungkin lalu disapukan ketubuh badan mereka.

■ bagi orang dewasa yang tidak mampu membaca, sesiapa yang mampu boleh membaca ayat atau doa itu ke air untuk diminum oleh yang memerlukan.

Saya ingin menasihatkan orang awam agar sebaiknya tidak membaca buku-buku mujarrabat Melayu sendirian, tanpa bimbingan, agar tidak terkeliru antara apa yang sahih dan apa yang lemah, pendapat manusia dan ketentuan Al-Quran dan hadis.

Alternatif yang baik ialah membaca buku At-Tib an-Nabawi (Perubatan Nabi) yang telah diterjemahkan atau buku Al-Azkar oleh Imam An-Nawawi (telah diterjemahkan juga) untuk beramal dengan doa, zikir atau ayat-ayat bagi tujuan tertentu.