Loading...

Berdoa untuk orang bukan Muslim

Soalan

Bolehkah ustaz memberi komen mengenai hadis dan ayat Al-Quran dibawah berkaitan isu mendoakan orang bukan Muslim?

Sa‘id bin Al-Musayyab telah menceritakan kepada saya daripada ayahnya, beliau berkata: “Bila Abu Talib hampir mati, maka Rasulullah s.a.w. pun pergi kepadanya. Di dapati ada bersamanya Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah bin Al-Mughirah. Rasulullah s.a.w. pun berkata dengan maksud, “Wahai pakcik! Katakan “Lailaha illallah”. Satu ucapan yang aku akan menjadi saksi untuk engkau dengannya di sisi Allah.” Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah berkata, maksudnya, “Wahai Abu Talib! Adakah engkau sudah benci kepada agama Abdul Muttalib?” Rasulullah s.a.w. terus mengemukakan kalimah “Lailaha illallah” kepadanya dan dia pula mengulangi ucapan tadi sehingga Abu Talib berkata di akhir ucapannya ialah dia berada di atas agama Abdul Muttalib. Rasulullah s.a.w. pun berkata, maksudnya, “Sesungguhnya demi Allah! Aku akan meminta ampun untuk engkau selagi aku tidak dilarang daripadanya.” Selepas itu Allah s.w.t. menurunkan ayat yang bermaksud:

 

“Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.” (Surah At-Taubah, ayat ke 113)

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Ulama berselisih pendapat mengenai hubungan hadis itu dengan ayat berkenaan.

Ada ulama yang berpendapat bahawa ayat itu turun bukan kerana kisah kematian Abu Talib dan pandangan ini ada kekuatannya kerana kematian Abu Talib berlaku semasa di Mekah, sedangkan surah At-Taubah adalah surah yang terakhir turun semasa hidup Nabi s.a.w., iaitu di Madinah.

Adapun mengenai tafsir bagi ayat berkenaan, terdapat pelbagai tafsiran:

a. Boleh doa kebaikan untuk bukan Muslim, bahkan dianjurkan doa untuknya hidayah, tapi tidak boleh doa keampunan sahaja.

b. Sama seperti di atas, cuma tidak boleh doa keampunan kepada bukan Muslim yang sudah mati. Dibenarkan semasa beliau masih hidup sahaja.

c. Yang dimaksudkan dengan tidak boleh beristighfar untuk bukan Muslim ialah melakukan solat jenazah ke atasnya sebagaimana yang disebutkan di dalam surah At-Taubah, ayat ke 84, yang bermaksud, “Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan Rasul-Nya, dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka).” (Sila lihat Tafsir Al-Qurtubi berkaitan ayat ke 113-114 dari surah At-Taubah).