Haram kumpul keris?*

Soalan

Saya seorang pengumpul keris dan senjata warisan Melayu yang lain.

Saya dan kawan-kawan menceburi bidang ini bukan sahaja untuk mengecapi kepuasan peribadi tetapi juga untuk tujuan pelestarian budaya masyarakat kita.

Objektif kami ialah untuk menjana pengetahuan, pemahaman dan penerimaan terhadap aspek budaya ini yang agak terpinggir oleh masyarakat kita di kala ini.

Ratanya pendekatan yang diamalkan oleh kumpulan saya adalah berbentuk ilmiah dan penyanjungan keris itu sebagai artifak kebudayaan seni dan sejarah.

Penilaian kami adalah lebih kepada faktor estetika dan teknikal.

Akan tetapi kerana budaya perkerisan ini ada mempunyai unsur mistik maka usaha kami mendapat banyak masalah penerimaan kerana salah tanggapan yang tebal di mata masyarakat sendiri.

Kami pernah dituduh sebagai penggalak amalan khurafat dan juga hampir dituduh melakukan syirik.

Dapatkah ustaz beri pandangan mengenai hobi kami ini.

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Saya tidak dapati perbuatan mengumpul keris sebagai satu artifak sejarah atas dasar hobi atau untuk membantu melestari budaya masyarakat Melayu salah di sisi agama.

Bahkan, ia adalah sesuatu yg terpuji jika ia mempunyai manfaat yang baik seperti memelihara sejarah, pengetahuan dan budaya.

Sila baca artikel saya bertajuk “Tradisi: Nak ikut atau tidak?” (Berita Minggu, 9 Jun 2013) yang menerangkan pendirian Islam terhadap tradisi dan warisan sesuatu bangsa.

Dalam kaedah hukum Islam, asal sesuatu yang bukan ibadat khusus adalah harus.

Oleh itu, siapa yang mendakwa mengumpul keris adalah haram, dialah yang patut bawa dalil.

Bukan kewajipan penghobi ini membuktikan hobinya harus.

Sememangnya diakui kewujudan kepercayaan dan amalan khurafat mengenai keris.

Oleh itu, penghobi keris hendaklah menjauhi perkara ini. Selama mana ini dijauhi, hobi itu kekal harus.

Yang mendakwa sesuatu amalan itu khurafat pula bertanggungjawab menjelaskan apa dan kenapa ia adalah khurafat, jika tidak akan berlaku kesilapan dalam menjatuhkan hukum.

Sebagai contoh membersihkan keris dengan menggunakan air limau nipis dan asap tidak boleh terus dikatakan khurafat semata-mata kerana banyak bomoh-bomoh yang menyeleweng mengguna limau nipis dan asap kemenyan yang sama dalam rawatan mereka.

Dalam konteks keris, limau nipis dan asap mempunyai penjelasan saintifik dari sudut kesan air limau dan asap pada besi keris.

Begitu juga dengan pertunjukan keris berdiri di atas sarungnya. Ia tidak semestinya magis tetapi membuktikan kehalusan pembuatan keris dan keseimbangannya dan ini boleh dijelaskan melalui hukum fizik.

Kewujudan khurafat di kalangan sesetengah pengumpul keris tidak boleh dijadikan hujah untuk memberi hukum umum semua pengumpul keris adalah sama kerana pola pemikiran seperti ini bersifat prejudis dan prejudis dilarang oleh agama kerana seseorang itu tidak boleh dinilai atas perbuatan orang lain.

Untuk membuat satu hukum umum kita perlu data yang menunjukkan majoriti pengumpul keris mengamalkan khurafat, bukan atas dasar andaian sahaja.

Sememangnya dalam kaedah hukum Islam ada dasar yg dinamakan sadd zari‘ah (menutup pintu dosa) yang membenarkan larangan atas sesuatu yang asalnya harus demi menutup pintu maksiat yang besar.

Namun, selagi perspektif ini datang dari pendapat individu ia hanyalah satu ijtihad yang tidak boleh dipaksakan ke atas orang lain.

Tambahan pula untuk terapkan kaedah ini sebagai satu fatwa bagi orang ramai memerlukan data mengenai berleluasanya khurafat dikalangan pengumpul keris.

Sesiapa yang yakin bahawa dia dapat pelihara diri dari maksiat yang ditakuti, bebas untuk berpegang pada pandangannya sendiri.

Dalam hal ini, pengumpul keris seperti andalah yang paling baik untuk meyakinkan mereka yang dicemari dengan khurafat untuk mengubah amalan mereka.

*Berita Harian, 14 Jun 2013.