Loading...

Antara usaha dan tawakkal, berbanding dengan qadak dan qadar*

Soalan

Ada orang mengatakan bahawa semua di dunia telah ada qadak dan qadarnya. Maka itu ada orang Melayu kata (dari rezeki) bahawa secupak tidak akan jadi segantang. Bagaimana dengan usaha dan perancangan manusia. Bagaimana dapat saya faham antara usaha dan tawakal, berbanding dengan qadak dan qadar.

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Manusia dicipta untuk menjadi hamba Allah s.w.t. serta menjadi khalifah-Nya di bumi. Lahirnya manusia ke dunia adalah satu permulaan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah. Setiap manusia diberikan amanah untuk dilaksanakan dengan baik.

Allah s.w.t. telah berfirman di dalam surah Al-Mukminun, ayat ke 115, yang bermaksud, “Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara sia-sia, dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

Dalam menjelaskan ayat ini, Imam Al-Qurtubi di dalam tafsirnya menulis, “Sesungguhnya Allah mencipta manusia sebagai hamba untuk menyembah-Nya. Dia memberi ganjaran pahala kepada yang beribadat dan membalas keburukan bagi yang meninggalkannya. Jika mereka beribadah kepada-Nya, maka mereka adalah hamba-hamba yang bebas dan mulia di dunia tetapi raja di syurga Darussalam. Namun jika mereka menolak sifat kehambaan tersebut, maka mereka adalah hamba yang hina lagi tercela di dunia dan akhirat pula menjadi musuh-musuh Allah yang dipenjarakan di dalam neraka!”

Penciptaan manusia merupakan kehendak Allah s.w.t. dan takdir-Nya.

Segala yang ada dan terjadi di dalam alam ini adalah menurut qadak dan qadar-Nya.

Allah s.w.t. telah berfirman di dalam surah Al-Furqan, ayat ke 2, yang bermaksud, “Dia, yang kepunyaan-Nya kerajaan langit dan bumi, dan Dia tidak mempunyai anak dan tidak ada sekutu bagi-Nya dalam kekuasaan-Nya dan Dia telah menciptakan segala sesuatu, dan Dia menetapkan qadar dengan serapi-rapinya.”

Allah s.w.t. juga berfirman di dalam surah Al-A‘la, ayat ke 3, yang bermaksud, “Dan Dia yang menentukan qadar dan memberi petunjuk.”

Qadak dan qadar merupakan urusan Allah s.w.t. yang mutlak. Beriman kepadanya merupakan salah satu dari rukun iman yang enam. Sesiapa yang menafikannya, dia telah berlaku kufur kepada Allah s.w.t.

Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud, “Iman adalah percaya kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, syurga dan neraka serta timbangan, Hari Kebangkitan selepas kematian dan Qadar Allah yang baik mahupun yang buruk.” (Riwayat Ibn Hibban)

Imam Az-Zahabi di dalam kitabnya al-‘Uluw li al-‘Ali al-‘Azhim menukil kata-kata Ibn Abbas yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah s.w.t. telah bersemayam di atas Arasy-Nya sebelum Dia menciptakan segala sesuatu. Lalu Dia mencipta segala penciptaan dan menulis segala apa yang ada sehingga hari kiamat. Sesungguhnya manusia dihidupkan atas urusan yang telah diselesaikan oleh-Nya.”

Namun terdapat juga persoalan yang timbul mengenai usaha manusia.

Jika segala perkara yang ada di dalam alam telah ditakdirkan, apa yang boleh dilakukan lagi oleh manusia?

Persoalan ini pernah diajukan oleh para sahabat Nabi s.a.w. kepada Baginda. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, “Tidaklah jiwa seorang pun di antara kamu yang terlepas melainkan sudah diketahui tempatnya di syurga atau di neraka.” Lalu sahabat bertanya, “Jika begitu, kenapa kami beramal? Adakah baik jika kami berserah sahaja?” Nabi s.a.w. bersabda, “Jangan! beramallah, kerana setiap jiwa itu dipermudahkan menurut penciptaannya.” Kemudian Nabi s.a.w. membaca ayat ke 5 – 10 dari surah Al-Lail [yang bermaksud], “Maka bagi sesiapa yang memberi hartanya di jalan Allah dan bertaqwa, serta membenarkan adanya pahala syurga, maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah. Dan adapun orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup, serta mendustakan pahala yang baik, maka kelak Kami akan menyiapkan baginya jalan yang sukar.”

Imam Ibn Katsir berkata, “Ayat-ayat mengenai usaha manusia banyak sekali menunjukkan bahawa Allah akan memberi balasan yang baik kepada manusia yang mempunyai tujuan baik dalam hidupnya dengan memberinya petunjuk yang tepat, manakala yang bertujuan buruk akan gagal lagi hina, dan itu semua adalah qadar yang telah ditetapkan.”

Imam Hasan Al-Basri pernah ditanya mengenai qadak dan qadar Allah s.w.t. dan usaha manusia, “Adakah Allah memaksa hamba-hamba-Nya?” Beliau menjawab, “Allah lebih adil dari itu (dengan memaksa). ”Kemudian ditanya lagi, “Allah menyerahkan segalanya kepada manusia?” Beliau menjawab, “Allah lebih mulia dan hebat dari itu.” Kemudian beliau berkata, “Sekiranya Allah memaksa tentulah Dia tidak akan menyiksa mereka dan sekiranya Dia menyerahkan segala urusan kepada manusia maka tiadalah erti kepada segala perintah dan arahan-Nya.”

Untuk memahami kedudukan dan tugas sebagai manusia, Nabi s.a.w. pernah menjelaskan dalam sabdanya yang bermaksud, “Seorang Mukmin yang kuat adalah lebih disukai Allah dari Mukmin yang lemah, dan pada kedua-duanya ada kebaikan masing-masing. Maka usahakanlah apa yang dapat memberi manfaat kepada kamu. Mintalah kepada Allah dan janganlah bersifat lemah. Jika kamu ditimpa sesuatu, janganlah kamu berkata, “kalaulah aku buat begini dan begitu”, tetapi ucapkanlah “takdir Allah serta apa yang dikehendaki-Nya. Hindarilah kamu dari berkata ‘kalau’ kerana ungkapan ‘kalau’ itu membuka amalan syaitan.” (Riwayat Ibn Hibban)

Inilah yang perlu difahami dan diyakini sepenuhnya oleh manusia. Tugas manusia ialah melakukan yang terbaik menurut kemampuannya. Tiada siapa yang tahu apa yang ada di sisi Allah s.w.t. Tetapi yang pasti, manusia tahu apa yang baik dan yang buruk mengikut akal dan kewarasan yang dikurniakan Allah s.w.t.

Bertawakal atau berserah kepada Allah s.w.t. setelah berusaha adalah satu usaha yang terpuji.

Allah s.w.t. suka dan cinta kepada hamba-hamba-Nya yang bertawakal.

Persoalan mengenai kesudahan baik atau buruk yang bermain difikiran, bukan urusan manusia untuk menentukannya.

Bagi mereka yang bersangka bahawa tiada guna baginya beramal kerana segalanya telah ditentukan oleh Allah s.w.t., perlu memperbetulkan pemikirannya.

Inilah pemikiran yang pernah dipelopori oleh puak jabariyah yang mengatakan bahawa dosa pahala tidak ada kesan terhadap iman.

Jika Allah s.w.t. takdirkan manusia tersebut ke syurga maka ke syurgalah dia. Jika ke neraka, maka ke neraka lah.

Prinsip sebegini disanggah oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya di dalam surah Al-An’aam, ayat ke 148, yang bermaksud, “Orang-orang yang mempersekutukan Tuhan, akan mengatakan, “Jika Allah mengkehendaki, nescaya kami dan bapa-bapa kami tidak akan mempersekutukan-Nya dantidak pula mengharamkan barang sesuatu pun. Demikian pula lah orang-orang yang sebelum mereka telah mendustakan para rasul sampaikanmereka merasai siksaan Kami. Katakanlah, “ Adakah kamu mempunyai sesuatu pengetahuan (mengenai nasib dan kesudahan) sehingga dapat kamu mengemukakannya kepada Kami? Kamu tidak mengikuti kecuali persangkaan belaka dan kamu tidak lain hanya berdusta.”

Ayat ini cukup jelas bagi kita untuk memahami kedudukan kita sebagai manusia di sisi Allah s.w.t.

Tugas manusia adalah bekerja dan beramal. Tugas Allah s.w.t. yang Maha Adil adalah memberi balasan yang setimpal dengan pekerjaan dan amalan yang dilakukan.

Sebagai seorang hamba yang baik, perhatikanlah urusan diri sendiri dan janganlah menceroboh ke dalam urusan Allah s.w.t. Hakikatnya, untuk berjaya di dunia dan akhirat, manusia tiada pilihan lain selain menjadi hamba Allah s.w.t. yang patuh kepada perintah-Nya.

Konsep iman kepada takdir bukan bermaksud hidup secara pasif kerana apabila Rasulullah s.a.w. ditanya oleh seorang pemilik unta sama ada untanya perlu diikat atau beliau bertawakkal sahaja, beliau bersabda yang bermaksud, “Ikatlah dan kemudian bertawakkal.” (Riwayat At-Tabrani)

Selain itu iman pada takdir dalam Islam bukan bermakna kita hanya berserah semata-mata pada nasib dan realiti yang sedang kita hadapi tanpa usaha untuk merubah kerana para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat apa yang ditakdirkan oleh Allah s.w.t. boleh berubah atas izin dan kehendak-Nya juga melalui doa dan amal soleh kita.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang yang bermaksud, “Tidak ada yang dapat menolak takdir (ketentuan) Allah s.w.t. selain doa dan tidak ada yang dapat menambah (memperpanjang) umur seseorang selain (perbuatan) baik.” (Riwayat At-Tabrani) Jelas dalam hadis ini dan hadis yang seumpanya bahawa takdir boleh berubah melalui doa dan amal soleh kita dan dapat memanjangkan usia yang asalnya telah ditentukan Allah s.w.t. kerana perubahan itu juga berlaku atas kehendak Allah s.w.t.

Inilah juga pengertian dari firman Allah s.w.t. di dalam surah Ar-Ra‘d, ayat ke 39, yang bermaksud, “Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki), dan di sisi-Nya-lah terdapat Ummul-Kitab (Lauh Mahfuzh).”

Maksud yang sama juga terdapat dalam sebuah hadis yang bermaksud, “Ya Rasulullah bagaimana pandangan tuan terhadap jampi-jampi dan ubat-ubatan yang kami gunakan untuk mengubati penyakit, dan perlindungan-perlindungan yang kami gunakan untuk menghindari dari sesuatu, apakah itu semua boleh menolak takdir Allah? Rasulullah s.a.w. menjawab, “Semua itu adalah (juga) takdir Allah.” (Riwayat At-Tirmizi)

*Berita Minggu, 16 Februari 2014.