Hukum membenih awan untuk tujuan menurunkan hujan

Soalan

Apakah hukum membenih awan untuk tujuan menurunkan hujan? Adakah ia bercanggah dengan qadak dan qadar?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Hujan adalah salah satu keperluan hidup dan nikmat terbesar yang diperlukan oleh manusia. Manusia memerlukan hujan untuk meneruskan putaran proses air bagi tujuan minuman, tanaman, ternakan dan banyak lagi. Hakikatnya, manusia akan hidup sengsara jika kekurangan air.

Secara dasarnya, tiada nas Al-Quran mahupun hadis yang secara tersurat menghalang kaedah tersebut. Kaedah yang digunakan merupakan satu perkara baru di dalam bidang ilmu sains untuk membantu memberi jalan keluar yang berbagai bagi kepentingan manusia.

Hanya yang perlu diingatkan ialah manusia hanya berusaha dan merancang, tetapi Allah s.w.t. yang menentukan. Sayogia bagi seorang mukmin untuk teguhkan keimanannya dengan menyerahkan segala urusan kepada Allah s.w.t. setelah dia berusaha melakukan sesuatu.

Seterusnya, adalah wajar untuk merujuk kepada ahli atau pakar dalam bidang ini untuk memastikan agar bahan yang digunakan untuk membenih awan itu adalah selamat dan tidak memberi kesan buruk kepada manusia. Selain itu, perlu juga dilihat sudut keperluannya sama ada ia berbaloi atau merugikan.

Menurut ahli di dalam bidang kaji cuaca, pembenihan awan tidak boleh dilakukan menurut kehendak manusia. Ia perlu dilakukan mengikut prosedur khusus yang biasa dilakukan oleh pihak berwenang. Contohnya, perlu ditinjau terlebih dahulu keadaan tiupan angin, arahnya, kekuatannya dan sudut-sudut yang lain. Ini perlu dilakukan agar hujan yang diharapkan, turun di tempat yang diinginkan, bukan di tempat lain.

Selain dari usaha seperti ini, Islam mengajar umatnya agar meminta keampunan Allah s.w.t. dengan beristighfar supaya diturunkan hujan keatas mereka. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Nuh, ayat ke 10-11, yang bermaksud: (Sehingga aku (Nuh) berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu.”

Seterusnya di dalam surah Al-A‘raf, ayat ke 96, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

Nabi s.a.w. juga mengajar umatnya agar kembali kepada Allah s.w.t. dalam perihal meminta hujan iaitu dengan cara solat istisqa’. Solat istisqa’ adalah solat khusus untuk meminta hujan. Selain dari solat, doa yang berterusan juga perlu dilakukan kerana Allah s.w.t. suka kepada hamba-hamba yang meminta kepada-Nya.