Soalan
Saya seorang peminat bola sepak dan sering menonton perlawanan secara langsung di stadium atau melalui TV. Selama saya menonton, saya perhatikan ada beberapa pemain yang membongkok dan menyentuh rumput padang ketika memasukinya. Apakah hukumnya bagi pemain Muslim yang melakukan demikian?
Jawapan
(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)
Setiap pemain bola sepak dan ahli sukan berharap agar pertandingan yang disertainya akan membawa kejayaan bagi dirinya. Untuk mencapai kemenangan, banyak cara yang boleh dilakukan, antaranya berlatih dengan gigih dan penuh komitmen, menurut strategi yang dibentangkan oleh pengendali serta menerima nasihat-nasihat yang diberi. Sebagai seorang ahli sukan yang beragama Islam, amatlah digalakkan kepadanya berdoa dan bermohon kepada Allah s.w.t. agar dikurniakan keselamatan di dalam pertandingan itu dan mencapai kemenangan pada akhirnya. Itulah tawakal yang disarankan kepada setiap Muslim dan Mukmin. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Ali-Imran, ayat ke 159, yang bermaksud, “…kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”
Sabda Nabi s.a.w. kepada Ibn Abbas yang bermaksud, “Jagalah (ketentuan-ketentuan) Allah niscaya Dia akan menjagamu, jagalah (batasan-batasan) Allah niscaya engkau akan mendapati-Nya selalu berada di depanmu (menolongmu). Kenali Allah dalam kelapangan niscaya Dia akan mengenalmu (menolongmu) dalam kesusahan. Jika kamu meminta maka mintalah kepada Allah, dan jika kamu memohon pertolongan maka mohonlah kepada Allah.
Dan ketahuilah, andai kata seluruh umat bersatu untuk menimpakan suatu bahaya kepadamu yang tidak Allah tentukan menimpamu maka mereka tidak akan mampu melakukannya. Dan andaikan mereka bersatu untuk memberikan suatu manfaat kepadamu yang tidak Allah s.w.t. tentukan untukmu maka mereka tidak akan mampu melakukannya. Telah kering catatan-catatan (takdir) dan pena-pena telah diangkat. Dan lakukanlah amalan hanya bagi Allah dengan kesyukuran dalam keyakinan. Dan ketahuilah, kesabaran atas sesuatu yang engkau benci adalah kebaikan yang banyak, dan pertolongan itu selalu bersama kesabaran, kelapangan bersama kesusahan, dan bersama kesulitan itu ada kemudahan.” (Riwayat Ahmad dan At-Tirmizi)
Mengenai perbuatan yang disebutkan, tidak dapat dipastikan maksud dan tujuannya melakukan demikian. Sekiranya pemain tersebut melakukan demikian kerana tujuan mengambil berkat dari padang tersebut, atau mengharapkan tuah menyebelahi pasukannya sedangkan dia tahu tentang hukum meminta daripada selain Allah s.w.t. adalah haram, maka dia berdosa dan boleh membawa dirinya kepada kufur. Ia juga dianggap sebagai perbuatan khurafat atau bid‘ah. Tetapi jika dia melakukannya kerana jahil dan tidak pernah tahu tentang hukum perbuatan seperti itu, maka dia tidak berdosa kerana kejahilannya tentang perkara itu, seperti mereka yang lakukan demikian kerana mengikut-ikut tren para pemain lain. Namun, adalah lebih baik ditinggalkan perbuatan itu kerana ia tidak membawa kepada sebarang manfaat untuk diri sendiri mahupun perlawanan bola sepak tersebut.
Umat Islam dinasihatkan agar mengambil tahu tentang urusan agamanya supaya tidak tergelincir ke dalam kancah kesesatan dan kebatilan.