Tanda-tanda kematian

Soalan

Apa tanda-tanda orang yang hendak meninggal dunia bagi orang-orang awam seperti saya?*

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Soal kematian merupakan salah satu urusan ghaib. Allah s.w.t. berfirman di dalam surah Luqman, ayat ke 34, yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sahaja pengetahuan tentang hari kiamat, dan Dia lah Yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim, dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui dengan pasti apa yang akan diusahakannya esok, dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Kunci ghaib ada lima: Sesungguhnya hanya Allah mempunyai pengetahuan mengenai waktu Kiamat, Dia yang menurunkan hujan, Dia yang mengetahui apa yang di dalam rahim wanita, tiada siapa tahu apakah nasibnya esok, dan tiada siapa tahu di bumi mana dia akan mati.” (Riwayat Al-Bukhari)

Menjelaskan lebih lanjut mengenai ayat ini, Imam Al-Qurtubi di dalam tafsirnya menukil kata-kata Ibn Abbas yang bermaksud, “Tiada yang mengetahui lima perkara ini secara tepat melainkan Allah s.w.t. sahaja. Tiada malaikat al-muqarrabun mahupun Rasul yang diutuskan yang mengetahuinya. Barangsiapa yang mendakwa dia mengetahuinya, dia telah kufur kepada Al-Quran kerana bercanggah dengannya. Adapun yang diketahui oleh para Nabi mengenai hal ghaib adalah pengetahuan yang disampaikan oleh Allah s.w.t. kepada mereka.”

Inilah dasar keimanan yang perlu ada pada diri setiap Muslim.

Terdapat hadis sahih yang menceritakan secara terperinci mengenai perihal seorang manusia yang didatangi maut. Daripada Al-Barra’ bin‘ Azib r.a., beliau menceritakan bahawa suatu hari, sahabat-sahabat Nabi s.a.w. keluar mengusung jenazah seorang sahabat dari kalangan Ansar. Setelah jenazah selamat dikebumikan, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Mintalah dari Allah keselamatan dari azab kubur (diulangi dua hingga tiga kali). Sesungguhnya, seorang hamba yang beriman apabila datang kepada waktu berpisah dari dunia dan masa berangkat ke akhirat, akan datang kepadanya para malaikat dari langit dengan wajah yang putih bersih seolah-olah bercahaya seperti matahari, membawa bersamanya kafan dan wangian dari syurga lalu dia duduk di sisinya sejauh mata memandang. Kemudian malaikat maut pula mendatanginya lalu duduk di arah kepalanya dengan berkata, “Wahai jiwa yang baik, keluarlah kamu kepada keampunan dan keredhaan Tuhanmu.” Lalu keluarlah ruh itu dengan mudah seperti mudahnya titisan air yang terakhir menitis dari bekas minuman. Ruh itu kemudian dibawa ke langit dan disambut baik oleh seluruh ahli langit. Manakala seorang yang tidak beriman pula akan didatangi oleh para malaikat yang hitam wajah mereka dan didatangi oleh malaikat maut dengan berkata, “Wahai ruh yang jahat, keluarlah engkau kepada kemurkaan dan kemarahan Tuhanmu.” (ringkasan hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Adapun perihal tanda-tanda kematian dan keadaan seseorang sebelum kematiannya tidaklah dapat dipastikan secara jelas.

Yang ada hanyalah cerita dan kisah mengenai tanda-tanda kematian yang diambil dari pengalaman individu yang melihat perbuatan-perbuatan tertentu di kalangan orang-orang saleh.

Imam Ibn Al-Qayyim membawakan kisah-kisah yang pelik seperti itu di dalam kitabnya Ar-Ruh.

Begitu juga terdapat kisah-kisah seperti itu direkodkan oleh Imam Al-Qurtubi dalam kitab-kitab tulisannya.

Namun, ia sekadar cerita yang disampaikan untuk renungan bersama tetapi tidak boleh dijadikan hujah untuk menetapkan tanda-tanda pasti kematian bagi semua orang.

Imam Ibn Taimiyah di dalam kitabnya Majmu‘ al-Fatawa pernah ditanya mengenai berlakunya keadaan seorang yang sedang nazak berhadapan dengan gangguan syaitan sehingga ternampak lambang-lambang agama lain, adakah semua orang menghadapi perkara yang sama? Beliau menjawab bahawa gangguan syaitan boleh berlaku kepada seseorang yang berada dalam sakaratul maut tetapi tidak semestinya pemandangan lambang-lambang seperti itu dialami oleh semua orang.

Terdapat juga pandangan yang tersebar luas mengenai tanda-tanda kematian sebelum 100 hari, kemudian sebelum 40 hari, seterusnya sebelum tujuh hari dan akhirnya satu hari sebelum kematian. Pandangan ini tidak berlandaskan dalil yang sahih daripada Al-Quran mahupun hadis.

Ia bertentangan dengan hikmah Allah menjadikan kematian sebaga iujian bagi manusia untuk dinilai amalannya. Seperti firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Mulk, ayat ke 2, yang bermaksud, “Dia yang menciptakan kematian dan kehidupan sebagai ujian untuk kamu, siapakah di kalangan kamu yang terbaik amalannya.”

Jika petanda-petanda yang dikhabarkan itu benar, nescaya manusia akan bebas melakukan apa sahaja dan hanya mula bertaubat apabila tiba tanda-tanda yang tersebut itu.

Adalah lebih utama untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t. dengan tekun dan konsisten sebelum kematian menjemput kita.

Itu lebih pasti daripada mengandaikan perkara-perkara yang kurang kepastian tentang berlakunya kematian melalui tanda-tanda yang tertentu.

Mudah-mudahan dengan amalan yang berterusan, ia menjadi penyudah yang baik bagi kita seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w.yang bermaksud, “Apabila Allah inginkan kebaikan bagi hamba-Nya, Diaakan mempergunakannya sebelum kematiannya. Para sahabat bertanya,“Wahai Rasulullah, bagaimanakah caranya Dia mempergunakannya?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Dia akan memberi taufik kepada hamba tersebut untuk melakukan amal saleh, lalu dimatikannya dalam keadaan itu.” (Riwayat Ahmad)

*Berita Minggu, 19 Januari 2014.