Mengambil berkat dari peninggalan Nabi s.a.w

Soalan

Sejak kebelakangan ini di media sosial, terdapat perkongsian melalui gambar dan video mengenai rambut, cincin, serban, tongkat, baju dan capal Nabi s.a.w. Sejauh mana ia benar? Jika ia terbukti benar kepunyaan Nabi s.a.w., apakah tanggungjawab umat Islam hari ini terhadap bahan-bahan tersebut?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Tidak dinafikan bahawa bahan-bahan yang dimiliki oleh Nabi s.a.w. seperti bajunya, serban, rambut dan sebagainya merupakan salah satu sumber keberkatan. Terdapat beberapa dalil sahih yang dijadikan hujah;

i. Hadis riwayat Al-Bukhari mengenai sisa air wudhu’ Nabi s.a.w. yang disebutkan oleh para sahabat selepas Baginda s.a.w. berwudhu’.

ii. Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim mengenai Ali bin Abi Talib yang mengalami sakit mata lalu Nabi s.a.w. menyapu air ludahnya dimata Ali lalu sembuh.

iii. Hadis riwayat Muslim mengenai ibu Anas bin Malik yang mengelap peluh Nabi s.a.w. di badannya dan Baginda s.a.w. tidak melarangnya.

iv. Hadis riwayat Muslim mengenai pembahagian Nabi s.a.w. dari rambutnya yang dicukur ketika bertahallul kepada para sahabat yang bersamanya melakukan haji.

Imam An-Nawawi berkata, “Ini menunjukkan bahawa di dalamnya terdapat perbuatan mengambil berkat dari kesan-kesan Nabi s.a.w. dari apa yang disentuhnya, pakaiannya, atau apa sahaja yang terbit daripadanya dengan sebab tertentu. Hal seperti ini telah disepakati oleh salaf dan khalaf.”

Persoalan seterusnya mengenai ketulenan bahan-bahan yang dinisbahkan kepada Nabi s.a.w. dari serbannya, rambutnya, capalnya dan sebagainya. Perkara ini sukar dipastikan kerana banyak pihak yang mendakwa mereka memiliki rambut dan pakaian Nabi s.a.w. Untuk memastikan ketulenan bahan-bahan tersebut, memerlukan penyaksian orang yang dipercayai sejak turun temurun. Seperti mana ilmu hadis disampaikan melalui para perawi yang dikenal pasti sifat adil dan amanah mereka, maka perkara seperti ini juga memerlukan kaedah sedemikian kerana mengambil berkat adalah urusan agama yang hanya boleh diamalkan dengan nas sahih.

Jika benar sekalipun dapat dipastikan bahawa bahan-bahan tersebut adalah asli, maka umat Islam tidak sepatutnya terlalu asyik dengan bahan-bahan tersebut sehingga lupa kepada tanggungjawab yang lebih utama seperti melaksanakan rukun Islam yang diperintahkan.

Usaha untuk mendapatkan keberkatan bukan sahaja melalui bahan-bahan peninggalan Nabi s.a.w., tetapi yang lebih penting adalah perkara-perkara wajib yang diperintahkan Allah s.w.t. kepada manusia. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-A‘raf, ayat ke 96, yang bermaksud, “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

Imam Ibn Katsir berkata, “Jika penduduk sesebuah negeri beriman dengan hati-hati mereka dengan apa yang dibawakan oleh para Rasul, kemudian mempercayai mereka lalu menurut ajaran mereka dengan melaksanakan yang baik dan meninggalkan yang haram, nescaya Allah akan menurunkan keberkatan dari langit yang berbentuk hujan dan bumi yang berbentuk tumbuh-tumbuhan.”

Menurut perintah dan ajaran Rasul merupakan syarat untuk mendapatkan keberkatan.

Terdapat banyak amalan-amalan di dalam Islam yang mengandungi keberkatan, seperti;

1. Membaca Al-Quran, firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-An‘aam, ayat ke 155, yang bermaksud, “Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.”

2. Melakukan ibadah umrah atau haji di Mekah, serta menziarahi Masjid Nabawi dan kota Madinah.

3. Bersedekah.

4. Membantu meringankan kesusahan orang lain.

5. Menuntut ilmu, dan banyak lagi.

Umat Islam sentiasa digalakkan untuk berusaha memperbaiki diri dengan amalan-amalan yang menepati sunnah Nabi s.a.w. yang dituntut. Menjauhi perkara-perkara yang diragui dan tidak dapat disahkan oleh sumber yang dipercayai adalah suatu tindakan yang wajar dilakukan kerana Nabi s.a.w. pernah berpesan di dalam sebuah hadis yang bermaksud, “Tinggalkan apa yang meragui kamu kepada apa yang tidak kamu ragui.” (Riwayat At-Tirmizi dan An-Nasa’i)