Soalan
Bolehkah kita hanya memberi beras (fidyah) sahaja kepada orang yang memerlukan sebagai ganti puasa Ramadan yang ditinggalkan?
Jawapan
(Oleh Ustaz Haniff Hassan)
Fidyah ialah pembayaran ganti rugi kerana meninggalkan puasa dalam bentuk beras pada kadar 600 gram atau nilai harganya bagi setiap hari yang ditinggalkan.
Terdapat pelbagai jenis golongan yang meninggalkan puasa di bulan Ramadan tidak kira sama ada mempunyai uzur di sisi syara‘ atau tidak dan setiap satu mempunyai hukum yang berbeza.
Namun golongan yang hanya diwajibkan membayar fidyah sahaja (tidak perlu qadha’ puasa) sebagai mengganti puasa yang ditinggalkan ialah:
1. Orang tua yang lemah dan tidak mampu berpuasa.
2. Orang yang sakit tanpa harapan sembuh dan tidak mampu berpuasa kerana sakitnya itu.
3. Orang yang memenuhi kriteria 1 dan 2 di atas.
Jenis sakit dan lemah yang dimaksudkan di sini ialah jenis yang akan lebih memudaratkan diri seseorang apabila dia berpuasa, sama ada dia akan ditimpa sakit (bagi orang tua yang lemah) atau sakitnya akan lebih memburuk (bagi orang yang sakit).
Dalil hukum bagi golongan ini ialah firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah, ayat ke 184, yang bermaksud,
“Dan di atas orang-orang yang tidak sanggup (terdaya kerana keuzuran yang diakui syarak) mengerjakan puasa, maka wajiblah ke atas mereka membayar fidyah iaitu memberi makan kepada orang miskin, dan barangsiapa yang dengan kerelaan hatinya mengerjakan kebajikan (iaitu memberi makan lebih dari seorang miskin untuk satu hari), maka itulah yang lebih baik baginya.”
Majoriti ulama berpendapat bahawa ayat ini hanya berlaku pada golongan-golongan yang tersenarai di atas dan bukan umum kepada semua.
Mereka akui bahawa, di awal puasa disyariatkan, umat Islam dibenarkan untuk membayar puasa Ramadan yang ditinggalkan dengan membayar fidyah sahaja tapi hukum ini telah dibatalkan.
Ibn Katsir, ketika menghuraikan ayat di atas, telah menulis, maksudnya:“…. sesungguhnya pembatalan hukum [membayar fidyah bagi ganti puasa sahaja] telah berlaku bagi mereka yang sihat [mampu tanpa ada keuzuran yang dibenarkan syarak] dan bermukim. Mereka wajib berpuasa [qadha’] berdasarkan firman Allah, “Maka sesiapa di antara kamu yang melihat anak bulan [Ramadhan], maka hendaklah ia berpuasa…” (Surah Al-Baqarah, ayat ke 185). Adapun, mereka yang tersangat tua yang tidak mampu untuk mengerjakan kewajipan berpuasa boleh berbuka dan tidak perlu mengqadha’ puasa yang ditinggalkan. Mereka ini diwajibkan untuk membayar fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan menurut pendapat yang sahih dan menurut kebanyakan para ulama.”
Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan kata-kata daripada seorang sahabat bernama Abdullah bin Abbas r.a. yang bermaksud, “Orang yang sangat tua di kalangan lelaki atau perempuan yang kedua-duanya tidak mampu berpuasa hendaklah memberi makan orang miskin bagi setiap hari sebagai ganti.” (Riwayat Al-Bukhari).
Hukum orang yang sakit (jenis no. 2) di atas dikiaskan kepada hukum orang tua, sebagai keringanan bagi mereka sesuai dengan firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Haj, ayat ke 78, yang bermaksud, “Dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”
4. Orang yang mati dalam keadaan masih menanggung hutang puasa.
Fidyah dikeluarkan bagi setiap hari yang dihutang dengan menggunakan harta yang tinggalkan oleh si mati atau harta para waris, jika mereka dengan sukarela ingin membelanjakan harta mereka bagi tujuan ini.
Hukum ini berdasarkan hadis yang berbunyi, “Barang siapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan yang belum diqadha’nya, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari ditinggalkan bagi pihaknya.” (Riwayat At-Tirmizi).
Hukum mereka yang meninggalkan puasa Ramadan selain 4 golongan di atas ialah:
[Pertama], wajib membayar dengan puasa di luar Ramadan. Yang termasuk di bawah kategori ini ialah:
1. Orang yang sakit dan bimbang, jika berpuasa, akan ditimpa lebih mudarat atau lambat sembuh, tapi mempunyai harapan untuk sembuh.
2. Musafir.
3. Ibu yang hamil atau menyusukan anak jika bimbang akan kesihatan dirinya dan anaknya.
4. Wanita yang didatangi haid atau nifas.
5. Orang yang mengalami kelaparan yang sangat hingga boleh membahayakan diri.
6. Sesiapa yang puasanya terbatal kerana salah satu sebab yang membatalkan puasa selain yang dinyatakan di atas.
Dasar hukum bagi golongan ini ialah sebagaimana telah dinyatakan diatas.
[Kedua], wajib membayar dengan puasa dan fidyah. Yang termasuk dalam kategori ini ialah:
1. Wanita hamil atau menyusukan anak apabila meninggalkan puasa kerana bimbang akan memudaratkan anaknya sahaja, bukan dirinya.
Hukum ini berdasarkan satu riwayat bahawa seorang sahabat bernama Abdullah bin Umar r.a. yang telah ditanya mengenai seorang perempuan hamil yang takut mudarat kepada anaknya, adakah ke atasnya berpuasa? Lalu beliau menjawab, “Berbuka dan berilah satu cupak makanan kepada orang miskin setiap hari.” (Riwayat Malik).
2. Sesiapa yang gagal membayar hutang puasa hingga datang Ramadan tahun berikutnya sebagai tambahan ke atas puasa yang belum dibayar.
Perbuatan seperti ini dihukumkan haram kerana melengah-lengahkan kewajipan agama. Atas sebab itu, fidyah dikenakan sebagai denda tambahan.
Kesemua yang dinyatakan di atas adalah hukum yang menjadi pegangan umum mazhab Asy-Syafi‘i di rantau ini, iaitu mazhab utama masyarakat Melayu serantau termasuklah di Singapura.
Mengenai wanita yang hamil dan menyusukan anak yang tidak berpuasa tidak kira sama ada kerana bimbangkan diri sendiri atau anak sahaja, terdapat pendapat yang mengatakan hanya wajib membayar fidyah sahaja dan tidak wajib berpuasa, apatah lagi berpuasa dan fidyah.
Ini berdasarkan pendapat Abdullah bin Abbas yang apabila menghuraikan ayat ke 5 dari surah Al-Baqarah, beliau berkata, “Dahulu ini adalah kelonggaran bagi orang tua lelaki dan wanita yang mana keduanya mampu untuk berpuasa, [yang wajib ke atas mereka hanya] memberi makan setiap hari seorang miskin, juga wanita hamil dan yang menyusukan anak, jika kedua-duanya takut [mudarat pada diri].” (Riwayat Abu Daud).
Imam Abu Daud lalu berkata, “Iaitu takut atas anak mereka, mereka buka dan memberi makan (fidyah).” (Riwayat Abu Daud)
Satu riwayat yang lain dari Imam At-Tabari dari Abdullah bin Abbas r.a. pula berbunyi, “Jika seorang wanita hamil mengkhuatirkan dirinya dan wanita menyusui mengkhuatirkan anaknya di bulan Ramadan (jika mereka berdua berpuasa) maka mereka berdua berbuka dan membayar fidyah untuk setiap hari dengan memberi makan kepada seorang miskin,dan keduanya tidak mengqadha’.”
Pendapat ini juga berhujah bahawa riwayat dari Abdullah bin Umar di atas juga tidak menyebutkan wanita hamil untuk berpuasa, tapi hanya membayar fidyah sahaja.
Sememangnya terdapat sebahagian wanita-wanita hamil dan menyusukan anak berhadapan kesulitan dalam memenuhi kewajipan qadha’ puasa yang tertinggal kerana keadaan biologi diri, keadaan anak, keadaan hidup yang unik bagi individu berkenaan atau hamil dan penyusuan anak yang berterusan hingga sulit bagi mereka untuk mengqadha’ puasa yang tertinggal setiap tahun.
Pendapat ini boleh dipertimbangkan sebagai keringanan.
Namun perlulah ia diguna pakai secara berhemah kerana berpuasa adalah ibadah yang sangat dianjurkan agama, mempunyai banyak manfaat dan memberi ganjaran yang besar yang sepatutnya menjadi dorongan bagi Muslim untuk melakukannya, bukan mengelak darinya.
Sebaiknya dapatkan nasihat guru agama bagi membincangkan masala hsecara peribadi sebelum mengguna pakai pendapat ini.
Selain itu, memang ada pendapat ulama yang membenarkan hutang puasa dibayar dengan pembayaran fidyah sahaja, sebagaimana yang ditanyakan di atas.
Namun pendapat ini adalah pendapat segolongan yang sangat kecil dikalangan ulama dan diguna pakai oleh ulama kontemporari hanya untuk situasi-situasi pengecualian sahaja.
Oleh itu penggunaannya juga memerlukan bimbingan dari merekayang pakar dalam agama melalui proses konsultasi yang mendalam bagi memahami keadaan orang berkenaan, bukan hanya melalui soalan yang bersifat terbuka dan umum sahaja.
*Berita Harian, 1 November 2013.