Soalan
Saya bekerja sebagai seorang pegawai lelaki polis ronda. Ia memerlukan saya untuk melakukan rondaan cegah jenayah, baik secara berkereta, berbasikal atau berjalan kaki.
Saya bertugas secara shif. Oleh kerana tugas saya di shif pagi akan sentiasa bertembung dengan solat Jumaat, bolehkah ustaz terangkan
bagaimanakah kedudukan saya dan solat berkenaan?
Apakah berdosa jika saya tidak tunaikan solat Jumaat kerana tugas?
Jawapan
(Oleh Ustaz Haniff Hassan)
Anda tidak wajib menunaikan solat Jumaat pada ketika bertugas shif pagi sebagai pegawai polis ronda.
Oleh itu, tidak berdosa jika anda tidak pergi menunaikan solat Jumaat di waktu tugas.
Namun, anda wajib menunaikan solat Zuhur seperti hari-hari biasa. Tugas rondaan cegah jenayah adalah satu tugas yang mulia di sisi syariah.
Ia melibatkan keselamatan nyawa, harta benda dan masyarakat dari anasir-anasir jahat yang diakui sebagai kepentingan asasi (dharuri) hidup di masa kini.
Kewajipan dan tugas yang anda lakukan, dalam konteks hari ini, tergolong sebagai khidmat asasi awam (public essential service).
Hatta di sebuah negara majoriti Muslim pun, fungsi rondaan cegah jenayah tetap perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Menuntut pegawai polis rondaan menghentikan tugas kerana menunaikan solat Jumaat akan membuka ruang jenayah yang pastinya boleh menjejas keselamatan awam.
Ia adalah mudarat yang Islam perintah untuk dihilangkan. Sebab itulah juga pegawai polis Muslim di negara-negara ini tetap bertugas dan balai polis tidak ditutup pada waktu solat Jumaat.
Oleh kerana keselamatan awam itu adalah kepentingan umum yang asasi dalam Islam dan tugas menjaganya dikategorikan sebagai khidmat asasi awam, ia boleh diakui sebagai sebab gugurnya kewajipan menunaikan solat Jumaat bagi pegawai-pegawai yang menunaikan tugas berkenaan.
Namun perlu saya pertegaskan bukan semua pegawai polis yang bertugas boleh gunakan keringanan ini.
Solat Jumaat wajib ditunaikan seperti kebiasaan bagi para pegawai lelaki yang bertugas di waktu biasa pejabat seperti di bahagian pentadbiran dan sokongan dan mempunyai masa dan kelepasan untuk menunaikan solat Jumaat, kecuali jika ada sebab-sebab penghalang yang diakui syara‘.
Nota untuk pembaca:
Hukum yang sama boleh dipakai bagi mereka yang bertugas dalam khidmat asasi awam lain seperti pegawai pusat checkpoint, jururawat, pegawai bomba, pegawai ambulan kecemasan, pegawai polis auxiliary yang menjaga instalasi penting, doktor ketika melakukan pembedahan atau tugas kecemasan dan yang seumpamanya.
*Berita Harian, 17 Mei 2013.