Soalan
1. Saya telah tertinggal solat Jumaat kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan. Oleh itu, saya gantikan dengan solat Zuhur tetapi sahabat saya menegur saya dan mengatakan bahawa pada hari Jumaat, solat Zuhur digugurkan dan saya wajib sembahyang fardhu
Jumaat walaupun sendirian. Saya juga pernah mendengar ceramah yang menyatakan sedemikian.
2. Setahu saya kaum wanita disunatkan hadir ke masjid pada hari Jumaat untuk mendengar khutbah tetapi adakah wajib ia bersembahyang Jumaat di rumah, seperti yang saya katakan?
Jawapan
(Oleh Ustaz Haniff Hassan)
Ulama semua bersepakat bahawa Solat Jumaat adalah fadhu ‘ain ke atas setiap orang Islam, berakal, lelaki, baligh, mukim (tidak bermusafir), sihat dan tiada keuzuran yang dibenarkan oleh syara‘.
Namun ulama berselisih sama ada solat Jumaat wajib atas wanita dan orang musafir. Di sisi kebanyakan ulama, wanita dan orang musafir tidak wajib menunaikan solat Jumaat berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w.yang bermaksud: “[Solat] Jumaat itu adalah satu kewajipan ke atas setiap Muslim dalam berjamaah kecuali empat golongan; hamba, wanita, kanak-kanak dan orang sakit.” (Riwayat Abu Daud).
Di dalam sebuah hadis lain pula Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud “Tidak wajib solat Jumaat ke atas musafir.” (Riwayat At-Tabarani).
Perbezaan pendapat di sisi ulama dalam perkara di atas adalah kerana perbezaan mereka terhadap kekuatan hadis tersebut sebagai dalil.
Dr. Wahbah Az-Zuhaili menulis di dalam bukunya Fiqh Islam (terjemahan DBP) bahawa sebahagian besar ulama dari mazhab Maliki, Asy-Syafi‘i dan Hanbali berpendapat bahawa sesiapa yang yang tidak wajib melakukan solat Jumaat atau mempunyai keuzuran tidak menunaikan solat Jumaat seperti sakit hendaklah menunaikan solat Zuhur setelah solat Jumaat dilaksanakan.
Adalah diingatkan bahawa Islam amat mementingkan solat Jumaat berdasarkan firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Jumu‘ah, ayat ke 9, yang bermaksud,
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
”Rasulullah s.a.w. pula bersabda yang bermaksud, “Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?” (Riwayat Muslim)
Maka sebab itu mereka yang ditaklifkan ke atasnya fardhu Jumaat yang dinyatakan di atas haruslah sentiasa peka dan berusaha untuk menunaikannya.
Di sisi sebahagian besar ulama, walaupun kaum wanita tidak wajib menunaikan solat Jumaat, dibenarkan mereka menghadirinya di masjid dan gugurlah kewajipan solat Zuhur setelah mereka menunaikan solat Jumaat.
Wajib ke atas sesiapa yang tidak menghadiri solat Jumaat menunaikan solat Zuhur, bukan solat Jumaat bersendirian.
Walau bagaimanapun, pandangan sahabat saudara itu memang wujud di sisi sebahagian kecil ulama.
*Berita Harian, 3 Mei 2013.