Soalan
Telah banyak kali berlaku telefon bimbit berdering semasa solat berjemaah sedang dilaksanakan. Apakah yang sepatutnya seseorang itu lakukan sekiranya perkara ini berlaku padanya?
Jawapan
(Oleh Ustaz Haniff Hassan)
Menjaga ketenangan orang yang melakukan solat adalah wajib.
Imam Ahmad dan Malik ada meriwayatkan hadis bahawa Nabi s.a.w.melarang membaca Al-Quran dengan suara yang kuat hingga mengganggu orang yang sedang melakukan solat.
Oleh itu, mengganggu jemaah bersolat dengan deringan telefon bimbit lebih terlarang lagi.
Apatah lagi jika deringan telefon itu dalam bentuk lagu-lagu yang amat tidak sesuai didengari pada ketika solat sedang berjalan.
Sesiapa yang sedar akan beratnya larangan agama dalam hal ini, sepatutnya peka dan bertindak tanpa diingatkan oleh sesiapa pun untuk mematikan atau mensenyapkan alat berkenaan ketika berada di ruang solat masjid.
Namun jika ia berlaku kerana terlupa, bukan lalai, maka kemaafan Allah untuk mereka kerana manusia memang tidak sempurna. Berusahalah sebaik mungkin agar ia tidak berulang lagi.
Jika perkara ini berlaku ketika solat sedang berjalan, pemilik telefon berkenaan hendaklah segera bertindak mematikan bunyi telefon bimbitnya agar gangguan ke atas jemaah yang menunaikan solat segera dihilangkan.
Sesetengah pihak berasa keberatan untuk bertindak kerana tidak mahu membatalkan solatnya disebabkan pergerakan anggota utama tubuh lebih dari tiga kali berturut-turut seperti jika telefon bimbit berada di lantai di tempat sujud yang akan memerlukan ia membongkok, gerakkan tangan, bangun semula dan lain-lain.
Sikap ini tidak betul kerana biasanya deringan telefon akan mengambil masa yang agak lama hingga amat menggangu solat para jemaah dan mencetus kemarahan ramai pula. Apatah lagi jika deringan itu berlaku berulang kali.
Dalam situasi seperti ini, tidak mengapa bergerak lebih tiga kali dan tidak batal solat kerana melakukannya disebabkan ada maslahat besar iaitu menghilangkan gangguan ke atas jemaah daripada bunyi telefon.
Antara contoh-contoh pergerakan tubuh semasa solat yang tidak membatalkannya di sisi para ulama mazhab Asy-Syafi‘i sendiri ialah pergerakan untuk tujuan membunuh ular dan menghalang orang yang ingin membuat kejahatan atas diri orang yang sedang solat atau pergerakan lain yang dilakukan kerana maslahat yang diakui oleh syara‘.
Perkara yang sama juga boleh dilakukan perkara ini berlaku ketika seseorang sedang melakukan solat bersendirian di masjid kerana deringan telefon itu mungkin mengganggu solat atau ibadah orang lain.
Namun jika anda tidak merasa selesa untuk bertindak semasa solat, membatalkan solat anda untuk mematikan deringan telefon dengan segera lebih baik dari membiarkannya mati sendiri demi maslahat jemaah yang lebih besar.
Anda boleh mulakan semula solat untuk ikuti imam sebagai masbuk dan menambah rakaat yang terbatal, jika perlu.
*Berita Harian, 10 Mei 2013.