Soalan
Ada rakan sekerja yang berugama Islam membawa hidangan beryani kambing yang dimasak dari rumah. Saya belum sempat menemuinya kerana dia berkerja shif awal pagi.
Soalan saya ialah adakah boleh daging korban dihidangkan untuk bukan Muslim kerana di tempat kerja kami terdapat ramai bukan Muslim.
Saya pernah mendengar yang daging korban tidak boleh dimakan oleh bukan Muslim.
Bagaimana pula bagi yang ada mertua atau ipar duai yang bukan Muslim kalau niatnya hanya untuk menjamu dan berkongsi makanan?
Jawapan
(Oleh Ustaz Haniff Hassan)
Saya berpegang pada pandangan para ulama yang membenarkan SEBAHAGIAN daripada daging korban dibahagikan kepada bukan Muslim terutama jika mereka itu adalah saudara terdekat kita seperti ibu bapa atau adik beradik atau jiran berdekatan.
Termasuk dalam jiran berdekatan ialah teman sepejabat – Muslim dan bukan Muslim. Terutama juga jika mereka ini termasuk dalam golongan yang miskin dan memerlukan.
Sedangkan harta zakat (sedekah yang wajib), Allah s.w.t. benarkan satu bahagian untuk mereka yang bukan Muslim seperti golongan muallaf. Muallaf dalam makna yang asal bukan rujuk hanya mereka yang baru memeluk Islam tetapi meliputi juga golongan bukan Muslim yang ingin ditarik atau dimenangi hati mereka agar masuk Islam atau tidak memusuhi Islam.
Pendapat sebegini, menjadi lebih relevan dalam konteks mereka yang hidup di negara majoriti bukan Muslim.
Saya sering juga ditanya mengenai hukum memberi derma kepada golongan bukan Muslim.
Seperti soalan yang ditanya, kesemua ini memberi petunjuk bahawa terdapat keberatan di kalangan sebahagian Muslim untuk memberi bantuan kewangan atau harta benda kepada golongan yang berlainan agama – seolah-olah sesuatu yang berdosa membantu golongan bukan Muslim yang memerlukan dan hanya merasa selesa untuk membantu sesama Muslim sahaja.
Saya berpendapat sifat dan perasan seperti ini hendaklah dikikis. Kalau Islam itu adalah rahmat bagi semua, tidak munasabah kalau semua harta yang hendak disedekahkan hanya patut diberi kepada orang Muslim sahaja. Lebih buruk lagi, kita menagih bantuan semua orang ketika kita susah tapi, bila berkemampuan, kita berpendapat harta kita hanya wajar untuk sesama kita sahaja.
Tambahan pula di dalam Al-Quran terdapat ayat yang menegur mereka yang berkeberatan untuk membantu golongan bukan Muslim yang memerlukan semata-mata kerana perbezaan agama (lihat surah Al-Baqarah, ayat ke 272, tafsiran dan sebab penurunannya).
Melihat pada kes yang dinyatakan pastinya daging yang digunakan untuk dijamu pada teman-teman sekerja itu hanya sebahagian kecil dari keseluruhan daging korban. Oleh itu, tidaklah mengapa.