Masalah Menunaikan Solat Kerana Kerja dan Cuaca Sejuk

Soalan

Saya sekarang bekerja di kawasan utara Canada. Pekerjaan saya menyebabkan saya sering berpindah dari satu kawasan ke kawasan lain atau dari satu negara ke negara lain.

Soalan saya, bagaimanakah saya dapat mengerjakan solat ketika saya keluar bekerja (pelantar minyak di darat) yang mana selalunya terletak di luar kawasan penempatan, sejuk dan tiada kemudahan tandas untuk berwudhu’.

Bolehkah sekiranya saya melakukan jama‘ sebelum saya keluar bekerja memandangkan saya selalunya berpindah dari hotel ke hotel.

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Agak sukar bagi saya untuk memberi jawapan yang tepat kerana ia memerlukan maklumat tambahan bagi membolehkan saya memahami masalah yang dikemukakan.

Walau bagaimanapun, berikut adalah beberapa pilihan:

1. Anda boleh jama‘ dan qasar atas andaian bahawa menuju ke tempat kerja saudara memerlukan perjalanan ibarat seorang musafir.

Semua ulama membolehkan jama‘ dan qasar bagi seorang musafir, hanya mereka berselisih mengenai berapa jauhkah perjalanan untuk dikira sebagai musafir.

Cara ini boleh dilakukan, bila anda berada di tempat kerja atau dalam perjalanan ke tempat kerja.

2. Anda boleh jama‘ tanpa qasar.

Ini berdasarkan perbuatan Nabi s.a.w. yang pernah menjama‘ solat bukan kerana musafir, hujan atau takut sebagai keringanan bagi umatnya ketika berkeperluan.

Ini boleh dilakukan ketika di rumah sebelum keluar bekerja seperti jama‘ solat Zuhur dan asar sebelum bertugas atau ketika berada di tempat kerja.

3. Solat seperti biasa, apabila keadaan membolehkan.

Mengenai wudhu’, berikut adalah beberapa pilihan:

1. Ambil wudhu’ di rumah dan berusaha untuk menjaganya selama yang mungkin. Muslim dianjurkan untuk selalu dalam keadaan berwudhu’ dan memeliharanya.

2. Membawa bekal air untuk wudhu’. Tidak perlu banyak, sebotol boleh memadai.

3. Bertayamum bila tiada kemudahan untuk mendapatkan air atau kerana cuaca sejuk yang menyusahkan untuk membuka pakaian untuk berwudhu’ atau jika ia akan memudaratkan kesihatan jika terkena air atau terdedah kepada cuaca ketika cuaca yang sangat sejuk.

Akan membantu, jika tahu juga kaedah berwudhu’ dengan menyapu sepatu.