Solat dalam bahasa Inggeris

Soalan

Adakah boleh melakukan solat dalam bahasa Inggeris untuk memudahkan orang yang baru memeluk agama Islam?

Saya pernah bertanya kepada seseorang saudara baru tentang solat. Dia berkata dia jarang solat kerana dia ada kesusahan hendak menghafal bacaan solat dalam Bahasa Arab. Beliau kata kalau ada dalam bahasa Inggeris lebih mudah untuk baginya menunaikan solat fardhu. Saya ingin menolong saudara baru mendapatkan maklumat selanjutnya.

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Mengenai saudara baru yang sukar bersolat dalam bahasa Arab, sebenarnya ada jalan keluar yang lain selain bersolat dalam bahasa Inggeris.

Di sisi mazhab Hanafi yang wajib dibaca dalam solat hanyalah apa jua ayat Al-Quran yang termampu walau hanya satu ayat berdasarkan firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Muzammil, ayat ke 20, yang bermaksud,

“…Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya daripada Al-Quran; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat;dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas). Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalanuntuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

”Mereka berhujah ayat ini menyuruh orang yang bersolat supaya membaca mana-mana yang mudah bagi mereka dalam Al-Quran. Ia adalah perintah yang umum. Oleh itu, Al-Fatihah tidak diwajibkan sebagai ketentuan sahnya solat. Ini kerana ayat ini menunjukkan bahawa yang di-wajibkan dalam solat ialah apa-apa bacaan (surah) dalam Al-Quran sahaja.

Mereka juga berhujah dengan hadis yang bermaksud,

“Bertakbirlah kamu, kemudian bacalah mana-mana yang mudah bagimu daripada Al-Quran.” (Riwayat Abu Daud)

“Tidak sah solat melainkan dengan Al-Fatihah atau selainnya.”(Riwayat Abu Daud dan An-Nasa’i)

Berdasarkan hadis-hadis ini mereka menyimpulkan kalau sekiranya diwajibkan Al-Fatihah dalam menentukan sahnya solat sudah tentu disuruh membacanya dan ia tidak diberi pilihan untuk membaca ayat-ayat lain.

Saya rasa tidaklah terlalu sukar bagi sesiapa pun untuk menghafal dan membaca hanya satu ayat Al-Quran dalam bahasa Arab bagi menunaikan solat. Ayat berkenaan boleh ditulis dahulu dalam ejaan rumi dan dilatih bacaan yang betul.

Jika baca satu ayat Al-Quran pun tidak boleh, bacalah Subhanallah 1x atau beberapa kali pada setiap rukun solat, di samping itu teruslah belajar sehingga dapat terus membaiki kualiti solatnya.

Jika belajar dan berlatih selalu, lama kelamaan pasti boleh.