Loading...

Hukum pakai dulu bayar kemudian

Soalan

Berhutang semakin menjadi basahan dalam kehidupan moden. Banyak pembelian barang – rumah, kereta dan kelengkapan rumah – dilakukan dengan berhutang. Apakah tanggungjawab dan kadar berhutang yang boleh dianggap wajar? Ada kedai, termasuk kedai barang kemas, menawarkan skim ‘pakai dulu bayar kemudian’. Apakah pandangan agama mengenai perkara ini?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Pada dasarnya, berhutang adalah harus.

Ia merupakan satu kaedah untuk melepaskan diri dari kesempitan hidup pada masa-masa yang tertentu.

Tetapi ia juga boleh menjurus ke tahap haram jika tidak ada keperluan, menambah penderitaan dalam hidup dan, lebih penting lagi, melibatkan kaedah yang diharamkan.

Jika dilihat dari sudut sejarah, Nabi Muhammad s.a.w. juga pernah berhutang.

Sepertimana yang diriwayatkan dalam Sahih Al-Bukhari bahawa Nabi s.a.w. pernah berhutang dengan seorang Yahudi untuk membeli makanan dengan menggadaikan baju besinya.

Beliau s.a.w. juga pernah berhutang dengan seorang sahabat bernama Jabir yang kemudiannya dilunaskan balik dengan baik.

Kisah-kisah ini membuktikan bahawa berhutang secara dasarnya adalah harus apabila ada keperluan.

Namun terdapat juga ancaman daripada Nabi s.a.w. terhadap amalan berhutang yang dilakukan, seperti dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengambil harta orang (berhutang) dengan tujuan untuk membayarnya, Allah s.w.t. akan tunaikan untuknya. Barangsiapa mengambilnya untuk menghabiskannya [lari dari melunaskannya] pula, maka Allah s.w.t. akan membinasakannya.” (Riwayat Al-Bukhari)

Di antara amalan berhutang yang buruk ialah berhutang untuk bersenang-senang tanpa keperluan, berhutang untuk menutupi hutang yang sedia ada dan berhutang dengan niat meminta sebagai alasan jika permintaan awalnya tidak dipenuhi maka digunakan istilah berhutang untuk mendapatkan hajatnya.

Setiap individu perlu menilai sendiri tahap keperluan dirinya dan tanggungannya sama ada benar-benar terdesak atau tidak sebelum membuat keputusan untuk berhutang.

Di sisi syara‘, keperluan hidup terbahagi kepada tiga tingkat.

[Pertama], ialah keperluan dharuriyyat.

Ia merujuk kepada perkara-perkara asasi yang diperlukan seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal, perubatan dan pendidikan.

Ia adalah keperluan terpenting kerana jika diabaikan, ia akan mengancam lima matlamat utama syariat, iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

[Kedua], ialah keperluan hajiyyat. Ia merujuk kepada keperluan yang melengkapkan keperluan asasi di atas. Sekiranya keperluan ini tidak dipenuhi akan wujud suasana tidak selesa dalam rumah.

Contoh keperluan ini ialah memiliki kenderaan, rumah yang lapang dan bekalan elektrik dan air di rumah.

[Ketiga], ialah keperluan jenis tahsiniyat.

Ia merujuk kepada perbelanjaan untuk bermewah-mewahan.

Seandainya tidak dapat diadakan, ia tidak menjejas keselesaan hidup seperti memiliki kenderaan mewah, memiliki lebih dari sebuah rumah, perabut mewah dan sebagainya.

Dalam keadaan hidup sekarang ini, khususnya di Singapura, rata-rata masyarakat awam mempunyai keperluan untuk berhutang apabila membeli rumah.

Begitu juga dengan kereta jika benar-benar perlu dibeli secara hutang kerana keperluan yang mendesak bagi golongan tertentu.

Begitulah juga perkara-perkara lain yang dianggap hajiyyat.

Dalam konteks sebegini, kaedah atau peribahasa ‘ukur baju di badan sendiri’ wajar dijadikan pegangan dalam urusan berhutang.

Perlu difikirkan terlebih dahulu keperluan mana yang mendesak yang perlu pada berhutang.

Dengan cara ini, dapatlah dikecilkan ruangan aktiviti berhutang agar tidak terbelenggu dengannya sepanjang hidup.

Bagi yang berhutang, hendaklah dia segera melunaskannya kerana disebut dalam sebuah hadis bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Sekalipun aku memiliki emas sebesar gunung Uhud, aku tidak akan senang jika tersisa lebih dari tiga hari, kecuali yang aku sisihkan untuk pembayaran hutang.” (Riwayat Al-Bukhari)

Dalam menangani masalah hutang yang masih membelenggu sebahagian masyarakat, boleh juga mengamalkan doa yang Nabi s.a.w. ajarkan kepada Abu Umamah yang bermaksud: “Ya Allah aku berlindung dengan-Mu dari perasaan dukacita dan sedih, aku berlindung dengan-Mu dari sifat lemah dan malas, aku berlindung dengan-Mu dari sifat pengecut dan bakhil, dan aku berlindung dengan-Mu dari belenggu hutang dan penguasaan yang memaksa.” (Riwayat Abu Daud)

Adapun istilah pakai dahulu bayar kemudian, adalah suatu kaedah pemasaran perniagaan yang bertujuan untuk menarik perhatian dan minat pembeli atau pengguna bagi produk yang ditawarkan.

Skim seperti ini melibatkan beberapa senario.

Ia boleh menjadi hutang jika pembelian dibuat atas dasar pinjaman.

Hak milik produk tersebut tidak berpindah kepada pengguna atau pembeli selagi bayaran penuh belum dilunaskan.

Malahan jika tidak mengambil sikap berhati-hati, produk yang disangka sudah dimilki, boleh ditarik balik oleh syarikat berkenaan apabila pembeli atau pengguna tidak mampu meneruskan pembayaran dan seterusnya dikenakan bayaran tambahan pula.

Jika ini berlaku, maka tercetus pula masalah baru iaitu penglibatan dalam urusan riba jahiliyah.

Selain itu, terdapat juga kaedah yang dinamakan sebagai hire purchase atau dalam istilah perbankan Islam ijarah thumma bai‘.

Kaedah ini sering digunakan dalam urusan jual beli kenderaan dimana pelanggan akan berkontrak untuk membayar secara ansuran bulanan sehingga waktu tertentu kemudian mengakhiri kontrak dengan pembelian dan pemilikan.

Walaupun ia merupakan satu kontrak yang sering digunakan dan diakhiri dengan pemilikan, setiap individu perlu berfikir panjang sebelum meneruskan rancangan untuk memasuki kontrak tersebut kerana ia melibatkan bayaran bulanan yang berterusan.

Lebih-lebih lagi jika barangan itu merupakan aset yang menurun nilainya (depreciate).

Sepertimana yang dijelaskan tadi, secara amnya aktiviti berhutang perlu dinilai dengan penuh teliti akan keperluannya.

Maka garis panduannya ialah harus melakukannya, jika benar berkeperluan.

Jika tidak, sebaiknya dielakkan kerana hadis-hadis berikut memberi pengajaran bahawa Islam tidak menggalakkan amalan berhutang tanpa keperluan, walaupun hukum asalnya adalah harus:

“Ruh orang mati itu tergantung dengan hutangnya sampai hutang itu dilunaskan untuknya.” (Riwayat Ahmad dan At-Tirmizi)

“Adapun hutang itu, demi jiwaku yang berada ditangan-Nya (Allah), jika ada seorang lelaki dibunuh di jalan Allah kemudian dia hidup semula lalu dia dibunuh lagi di jalan Allah kemudian dia hidup semula lalu dia dibunuh lagi, dia tidak akan masuk syurga sehingga hutang itu dibayar. ”(Riwayat Ahmad).

Diriwayatkan dalam sebuah hadis lain bahawa Rasulullah s.a.w. apabila dibawa kepadanya seorang lelaki yang mati dan ada hutang, dia akan bertanya, maksudnya: “Adakah dia meninggalkan bayaran untuk hutangnya?” Jika diberitahu bahawa ada tinggalan untuk membayar, Rasulullah s.a.w. akan solat ke atasnya. Jika tidak, beliau akan bersabda yang bermaksud: “Sembahyanglah kamu ke atas sahabat kamu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Oleh kerana berhutang di Singapura ini sering kali melibatkan riba yang dilarang, maka berhutang untuk membeli memenuhi sesuatu yang bukan keperluan penting dalam hidup boleh menyebabkan seseorang itu jatuh dalam perkara haram.

*Berita Harian, 25 Oktober 2013.