Soalan
Singapura tidak lama lagi akan melaksanakan insurans yang dinamakan Medishield Life (Medishield sepanjang hayat). Suatu ketika pernah ada pendapat bahawa insurans nyawa salah. Boleh ustaz jelaskan tentang isu insurans ini?
Jawapan
(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)
Islam secara dasarnya menggalakkan umatnya agar hidup tenang, selesa dan aman.
Salah satu kaedah moden yang diperkenalkan untuk umat manusia hari ini bagi menjamin kehidupan yang tenang dan selesa ialah skim insurans.
Pelbagai pelan insurans diperkenalkan dan ditawarkan oleh syarikat-syarikat kewangan untuk mencapai matlamat tersebut.
Menurut kaca mata Islam, konsep insurans yang bermatlamat untuk membantu diri seseorang ketika susah atau ditimpa musibah adalah digalakkan kerana;
a) Islam membenarkan untuk melakukan sesuatu bagi meminimakan risiko dalam kehidupan, dan
b) Islam amat menganjurkan umatnya untuk menabung bagi kemungkinan masa yang muram di masa akan datang.
Kedua-dua ini dapat dilihat dalam tafsiran Nabi Yusuf mengenai mimpi raja Mesir yang dapat di baca dalam surah Yusuf, ayat ke 43 – 49.
Mengumpul sejumlah wang dari beberapa orang atau pihak secara infaq tanpa ada niat keuntungan darinya, kemudian diletakkan di dalam satu akaun khas dan digunakan ketika berlaku musibah atau susah merupakan satu konsep yang terpuji.
Cuma hari ini cara pengendalian wang itu berbeza.
Iaitu ia dibayar secara bulanan secara tetap oleh pencarum dan pengendali insurans pula menggunakan wang itu untuk pelaburan.
Konsep ini diguna pakai bagi skim insurans Islam yang dikenali dengan Takaful.
Apa yang menjadi isu di sini dari sudut kehalalannya ialah jenis pelaburan halal dan cara pelaksanaannya yang adil dan telus bagi semua pihak.
Adapun insurans nyawa konvensional, kebanyakan ulama mengharamkannya kerana terdapat padanya unsur ketidakpastian, perjudian dan tidak berpegang kepada takdir yang ditetapkan.
Tiada siapa dapat mengetahui bila berlaku kematiannya.
Contoh unsur yang dinilai tidak sesuai dengan Islam ialah, apabila berlaku kematian pada bulan kedua setelah pencarum mula membayar untuk mendapatkan kadar premium, dia akan mendapat keseluruhan wang perlindungan insurans.
Ini sudah pasti mendatangkan kerugian pula kepada pihak pengendali insurans dan ini tidak adil.
Selain itu, ada juga syarikat pengendali insurans yang meletakkan harga lebih ke atas pencarum jika mahu keluar dari polisi ketika pelan insuran sudah matang dan ini dianggap sebagai riba ataupun apabila pengendali insuran membayar jumlah tertentu kepada si pencarum yang terkena musibah.
Ia dianggap riba kerana wang dari pencarum berbalas wang dari pengendali insurans dengan jumlah yang berbeza.
Bagi golongan ulama yang mengharuskan pula, seperti Syeikh MustafaAz-Zarqa’, berpendapat bahawa insurans merupakan perkara baru yang berlaku dalam urusan hidup manusia hari ini dan menurut kaedah fiqh, urusan hal kehidupan manusia pada dasarnya adalah halal dilakukan selagi mana ia tidak mempunyai nas atau dalil yang mengharamkannya.
Ia juga perlu bersifat adil untuk semua pihak yang berurusan dan saling meredhai.
Mantan Mufti Mesir Syeikh Ali Jum’ah berpendapat, insuran nyawa merupakan isu yang diperselisihkan oleh ulama kontemporari.
Masing-masing mempunyai hujah yang tidak dapat diperkecilkan.
Oleh kerana itu, ia merujuk kepada keperluan yang mendesak bagi seseorang individu yang merasakan wajar baginya untuk menyertai skim insurans nyawa atau tidak.
Begitu juga secara umumnya pada skim-skim insurans yang lain.
Pada masa yang sama, para ulama juga berpendapat jika skim insurans diwajibkan oleh pihak berkuasa, maka ia menjadi satu kewajipan yang perlu diikuti dan lazimnya ia membawa manfaat kepada masyarakat secara am.
Dalam kes Medishield, pemerintah menawarkan skim tersebut untuk meringankan bebanan bayaran kos perubatan di hari tua.
Ia adalah skim insurans perubatan bencana kesihatan ke atas individu yang dirancang untuk membantu warga Singapura membayar sebahagian daripada bil hospital yang besar bagi rawatan penyakit-penyakit serius ataupun tempoh rawatan di hospital yang berpanjangan.
Seperti yang dijelaskan tadi, ia bergantung kepada keperluan yang mendesak untuk menyertai skim-skim polisi insurans.
Jika dilihat dari konteks kehidupan di Singapura, kos perubatan adalah tinggi dan ada kemungkinan jika berlaku perkara-perkara yang tidak diingini seperti sakit kronik dan operasi pembedahan yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi, skim-skim seperti ini boleh membantu meringankan sedikit kesulitan yang berlaku.
Namun, jika terdapat alternatif yang lebih baik untuk menjaga kebajikan hidup di hari tua kelak, yang tidak berunsurkan perkara haram atau syubhat, maka adalah lebih baik mengambil alternatif ini.
Kesimpulannya, Islam sentiasa menitik beratkan kemaslahatan umatnya secara adil.
Dari sudut ini, jika seseorang merasakan bahawa dengan menyertai skim insurans merupakan langkah berjaga-jaga sebelum terkena dan ia tidak membebankan dirinya, maka harus baginya menyertai skim-skim yang ditawarkan. Cuma dia perlu berusaha agar dapat mencari skim-skim yang paling kurang padanya unsur-unsur syubhat yang boleh membuka pintu-pintu haram.
*Berita Harian, 12 Ogos 2013.