Hukum Solat Bersendirian Dalam Saf

Soalan

Saya berseorangan dan ingin masuk solat berjemaah tapi saf sudah penuh, apa yang saya perlu lakukan? Bolehkah saya solat bersendirian di belakang saf?

Jawapan(Oleh Ustaz Abdul Hadi)

 

Ringkasan

  1. Hukum bersendirian di belakang saf adalah makruh
  2. Jika terdapat celah-celah yang muat di dalam saf, dibolehkan untuk selit masuk dalam saf itu atau saf-saf di depannya
  3. Jika saf-saf itu padat, maka berdiri di belakang saf dan lakukan takbiratul ihram, kemudian disunnatkan untuk menarik seorang dari saf hadapan untuk menemani anda
  4. Perlu ditegaskan bahwa sebelum menarik orang tadi, anda mengetahui bahawa dia faham akan peraturan hukum ini. Jika tidak, maka sebaiknya bagi anda untu solat bersendirian di belakang saf bagi mengelak fitnah dan kekecohan
  5. Hukum makmum yang berpindah ke belakang saf demi menemani seorang makmum lain daripada solat bersendirian adalah sunnat

 

Penjelasan

Hukum solat bersendirian bagi seorang makmum di belakang saf pada solat berjemaah adalah makruh menurut mazhab Syafie. [An-Nawawi, Minhaj At-Talibin (122/1)]

Ini sabit dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah apabila beliau ingin mengikut berjemaah ketika Nabi SAW (sebagai Imam) sedang ruku’, maka dia pun ruku’ (dahulu) sambil bergerak menuju ke saf makmum. Apabila diberitahu kepada nabi hal tersebut, baginda SAW bersabda:

زَادَكَ اللهُ حِرْصًا وَلَا تَعُدْ

“semoga Allah meningkatkat keperihatinanmu (untuk kebaikan) tetapi jangan ulangi lagi” [Bukhari, Bab azan: 783]

Dalam hadith ini, Nabi SAW tidak menyuruhnya untuk mengulangi solatnya sungguhpun dia telah memulakan solatnya secara bersendirian di belakang saf dalam keadaan ruku’ sebelum menuju masuk ke saf jemaah. Ini bererti solat bersendirian di belakang saf tetap sah. Sungguhpun begitu, hukumnya adalah makruh, atas sebab itu Nabi SAW menyuruhnya agar jangan ulangi perbuatan tersebut. Ia dikira makruh juga kerana diqiyaskan dengan orang yang tidak merapatkan saf sebagai tidak mendapat pahala lengkap berjemaah. [Kanzu Ar-Raghibin (253/1)]

Manakala hadith lain yang memerintah seorang sahabat untuk mengulangi solatnya kerana bersendirian di belakang saf jemaah adalah perintah sunnat sahaja dan bukan wajib, bererti solatnya sudah sah.

Seperti diriwayatkan oleh Wabisoh Bin Ma’bad yang menceritakan bahwa Nabi SAW berkata kepada seorang lelaki yang solat bersendirian di belakang saf jemaah:

“أَيُّهَا المُصَلِّي, هَلَّا دَخَلْتَ فِي صَفٍّ, أَوْ جَرَرْتَ رَجُلًا مِنْ الصَّفِّ فَيُصَلِّي مَعَكَ؟ أَعِدْ صَلَاتَكَ”

“Wahai engkau yang solat, mengapa tidak kau masuk ke dalam saf, ataupun kau menarik seorang dari saf (depan ke belakang) untuk solat sebelahmu? Ulangi solatmu” [Al-Baihaqi, Sunan Al Kubra (105/3), disahkan oleh Al-Albani]

Dalam Riwayat lain disebutkan

“لَا صَلَاةَ لِمُنْفَرِدٍ خَلْفَ الصَّفِّ”

“Tiada solat bagi yang berseorangan di belakang saf (Jemaah)”

Hadith ini pada zahirnya terlihat percanggahan dengan hadith pertama yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari daripada Abu Bakrah di mana Nabi SAW menyuruh ulangi solat pelaku itu dan tidak menyuruh Abu Bakrah untuk mengulanginya.

Oleh itu, Ulama Mazhab Syafie mengambil pendekatan untuk menyatukan kedua-dua hadith ini (الجَمْعُ بَيْنَ الدَّلِيْلَيْنِ) dengan menganggap bahwa hadith yang memerintah untuk mengulangi solat pelaku itu hanyalah sunnat. Kerana jika mengulangi solat itu wajib dan tidak sah solat orang bersendirian di belakang saf maka Nabi sudah turut menyuruh Abu Bakrah juga untuk mengulangi solatnya [Ash-Sharabini, Mughni Al-Muhtaj (375/1)]

Manakala lafaz “Tiada solat bagi yang bersendirian” itu pula bermaksud “Tiada solat yang sempurna”.

Setelah mengetahui bahawa solat bersedirian di belakan saf Jemaah itu makruh, maka yang perlu dilakukan adalah mencari bahagian mana pada saf itu yang ada celah yang muat untuk masuk di dalamnya. Imam Nawawi pada kitab Ar-Raudhah menyatakan bahawa turut dibenarkan untuk selit masuk kedalam saf-saf di hadapan saf tersebut jika ada ruang di hadapan.

Jika benar-benar tiada ruang, maka disunnatkan untuk menarik seorang ke belakang setelah melakukan takbiratul ihram untuk solat bersebelahannya. Az-Zarkashi mengatakan bahwa demikian dengan syarat kita mengetahui bahawa orang yang ditarik itu memahami hukum ini dan setuju dengan perbuatan tersebut, jika tidak, maka dielakkan melakukan begitu kerana takut akan menimbulkan kekeliruan dan kekecohan (fitnah). [Mughni Al-Muhtaj (376/1)]

Ini melihatkan bahawa maslahat mengelak fitnah itu didahulukan atas maslahat mengejar sunnat

Bagi yang ditarik pula, hendaklah membantu orang yang bersendirian itu dengan mundur kebelakang bersamanya untuk mendapatkan ganjaran saling membantu atas kebaikan dan taqwa.

﴿وَتَعَاوَنُوا عَلى البِرِّ وَالتَّقْوَى﴾