Hukum Menyertai Konsert

Soalan

Apakah hukum menyertai konsert dari segi agama?

Jawapan(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

 

Pendahuluan

Syariat diturunkan untuk memberi kehidupan kepada manusia. Kehidupan yang terbaik adalah yang berimbang dari segala aspek yang akhirnya dapat menjadikan manusia menghargai syariat tersebut, lantas menjadi golongan yang bersyukur.  Syariat tidak mungkin menjadi sempit dan sukar kerana ia diturunkan dari al-Rahman, Tuhan yang Maha Pengasih.

Syariat memberi panduan kepada manusia cara menjalani kehidupan, sama ada ia bersifat khusus dan spesifik untuk diikuti seperti hal ehwal ibadah, ataupun bersifat umum seperti urusan kehidupan seharian.

Di antara perkara yang terkait dengan urusan hidup seharian adalah hiburan. Secara fitrah manusia suka dan perlu kepada hiburan. Secara fitrah juga manusia suka kepada hiburan yang berbeza-beza mengikut selera dan keselesaan masing-masing. Merujuk kepada syariat, ia tidak melarang manusia untuk berhibur, malah ia menggalakkan. Ini berpandukan hadis Hanzalah yang menganggap dirinya telah menjadi munafik kerana dia sering menangis ketika di sisi Rasulullah s.a.w. Tetapi apabila pulang ke rumah, beliau akan berhibur dan bergembira dengan ahli keluarganya. Keadaan itu membuatkannya merasa telah menjadi munafik. Perkara itu dirujuk kepada Rasulullah s.a.w lalu Baginda bersabda, “Wahai Hanzalah, demi jiwaku di tangan-Nya, andai kamu tetap seperti kamu di sisiku dan terus berzikir nescaya para malaikat akan berjabat tangan kamu, sedang kamu berada di tempat tidur dan di jalan raya, tapi wahai Hanzalah, ada waktu (untuk beribadah) dan ada waktu (untuk duniamu).” (H.R. Muslim)

Imam Ibn al-Jauzi mengatakan bahawa hati manusia ada kalanya perlu diberi masa untuk melakukan perkara-perkara harus (seperti berhibur bersama keluarga dan sebagainya).

Hanya yang perlu sentiasa diingat adalah memberi ruang kepada setiap keperluan itu secara adil dan saksama. Tidak terlalu keterlaluan, dan tidak terlalu sempit.

Musik adalah di antara unsur hiburan yang diminati oleh sebahagian orang. Lebih gah dan rancak lagi jika ia dimainkan di khalayak yang ramai seperti acara konsert. Apabila para artis dan penyanyi popular mengiklankan acara konsert mereka, pasti para peminat mereka akan tidak sabar untuk ikut serta, termasuk di kalangan kaum muslimin.

Justeru, apakah terdapat hukum khusus dalam masalah musik dan konsert?

 

Hukum yang disepakati

Para ulama bersepakat bahawa sebarang hiburan yang mengandungi unsur syirik, haram, maksiat dan mungkar tidak boleh disertai. Ia meliputi segala macam hiburan sama ada melibatkan musik atau tidak seperti pementasan, perlumbaan dan sebagainya. Larangan ini jelas berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis yang melarang manusia untuk menurut serta dalam perkara-perkara yang tidak mendatangkan kebaikan, seperti;

  • Firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Dan saling membantu lah dalam (perkara-perkara) kebaikan dan takwa dan janganlah saling membantu dalam (perkara-perkara) yang mendatangkan dosa dan permusuhan..” (Surah al-Maidah ayat 2)
  • “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan anak-anak panah adalah kotor dan keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah ayat 90)
  • “Katakan (wahai Muhammad), tidak sama keburukan dengan kebaikan walaupun keburukan yang benyak itu lebih menakjubkan kamu, maka bertakwalah kamu kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah ayat 100)
  • Sabda Nabi s.a.w, “Jauhilah perkara-perkara yang haram nescaya kamu menjadi orang yang paling kuat mengabdikan diri kepada Allah.” (H.R. al-Turmuzi)

 

Sudut yang diperselisihkan

Para ulama secara umumnya berbeza pendapat tentang hiburan yang memberi manfaat selaras dengan keperluan fitrah manusia.  Hakikatnya hiburan berada di sekeliling manusia secara lumrah dan semulajadi. Kicauan burung, bunyi angin yang mencelah di antara pepohonan dan dedaunan, melihat karenah binatang yang lucu dan mencuit hati dan sebagainya adalah hiburan. Justeru, tidak boleh dinafikan, malah jauh sekali untuk menghukum hiburan sebagai haram secara mutlak.   

 

Dalil dan Hujah

Bagi golongan yang melarang penglibatan dalam acara hiburan seperti konsert, mereka berdalilkan beberapa ayat dan hadis seperti berikut:

  1. “Dan sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu (perintah-Nya) di dalam al-Kitab iaitu apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek, maka janganlah kamu duduk bergaul dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan perkara lain…” (Surah al-Nisaa’ ayat 140) Imam al-Qurtubi mengatakan bahawa ayat ini menunjukkan kewajipan menghindarkan diri dari majlis-majlis yang jelas ada padanya kemungkaran.
  2. “Dan di antara manusia (ada) yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu sebagai bahan ejekan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.” Surah Luqman ayat 6.
  3. Sabda Nabi s.a.w, “Akan ada di antara umatku, satu kaum yang menghalalkan zina, sutera (untuk lelaki), arak dan alat musik.” (H.R. al-Bukhari)
  4. Sabda Nabi s.a.w. “Segolongan manusia dari umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan nama selain arak, alat musik akan dimainkan untuk mereka dan penyanyi wanita menyanyi untuk mereka. Allah akan menjadikan bumi menelan mereka dan menukar mereka menjadi monyet dan babi.” (H.R. Ibn Majah)

Di antara para ulama yang mengharamkan musik dan acara-acara yang melibatkan musik seperti Imam Malik, Imam al-Nawawi, Imam Ibn Hajar al-Haithami dan ramai lagi. Malah Imam Ibn Hajar al-Haithami pernah berkata bahawa telah berlaku ijmak tentang pengharaman musik dan sesiapa yang mengatakan sebaliknya iaitu terdapat khilaf mengenainya, maka dia telah melakukan kesilapan dan dikuasai hawa nafsu sehingga memekakkan telinganya dan membutakan matanya dari menerima kebenaran.

Menurut kebiasaan yang terang lagi bersuluh, di dalam suasana acara pesta musik atau konsert, para peserta akan turut sama melakukan aksi yang padan dengan suasana ketika itu dengan lagak berjoget, bersorak, bercampur dengan lelaki dan wanita tanpa batas dan perkara-perkara lain yang kelihatan kurang sopan.

Hujah yang membenarkan

Sebaliknya, golongan ulama yang mengharuskan pula menyatakan bahawa hadis-hadis yang menyebut tentang pengharaman musik tidak mencapai darajat sahih dan banyak pertikaiannya. Imam Ibn Hazm mengatakan bahawa semua riwayat hadis mengenai pengharaman nyanyian adalah batil.

Ayat dari surah Luqman yang digunakan sebagai dalil pengharaman musik dan nyanyian dikaitkan dengan niat dan tujuan untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah. Namun, jika seseorang menyanyi tetapi tujuannya adalah untuk mengajak manusia kepada Allah dan jalan kebenaran seperti nyanyian nasyid, maka ia tidak termasuk di dalam ancaman ayat tersebut.

Bahkan terdapat banyak riwayat mengenai upacara keramaian yang diselangi nyanyian dan gendangan di zaman Nabi s.a.w dahulu tidak diarah untuk dihentikan atau dianggap sebagai perbuatan haram yang menyebabkan orang yang menyertainya bakal diazab di neraka.

Di kalangan para salafusoleh juga ada yang mengambil dari alunan musik sebagai hiburan apabila diperlukan seperti Ishaq bin Ibrahim al-Nadim dan Abu Salamah al-Majisyun. Imam al-Muzani meriwayatkan bahawa beliau pernah berjalan bersama Imam al-Syafii dan menemui seorang hamba wanita sedang menyanyi. Imam al-Syafii tidak mengingkarinya, bahkan turut sama mendengarnya.

Tindakan yang wajar dipertimbangkan

Setelah dalil dan hujah dibentangkan, tiada siapa berhak untuk melarang hiburan yang tidak berunsurkan perkara-perkara yang ditegah syariat. Konsert lagu-lagu dakwah dan nasyid misalnya adalah harus kerana ia memberi hiburan yang terkait dengan ingatan kepada Allah dan Rasulullah serta nasihat-nasihat yang berguna untuk seorang muslim. Justeru ia berbalik kepada takwa dan keperluan diri masing-masing. Setiap individu perlu bersifat bertanggungjawab dengan pandangan yang dipegang. Perlu juga melihat kepada kesan, priroriti urusan yang lebih utama dan lain-lain.

Bagi sesiapa yang memilih pandangan yang mengharuskan, perlu juga dilihat sudut lain seperti tidak kompromi dalam urusan yang lebih utama untuk dikendalikan. Misalnya, tanggungjawab utama menjaga anak, orang tua yang perlukan perhatian penuh di rumah, tugasan kerja yang perlu segera disiapkan dan semisalnya. Seterusnya perbelanjaan membeli tiket konsert tersebut adakah diambil dari kesenangannya sendiri dan bukan dalam keadaan sempit sehingga perlu berhutang! Khususnya di kalangan para pelajar yang belum berkerjaya, adakah wang yang ada di tangan memang diberi ruang izin oleh ibu ayah untuk berbelanja lebih atau hanya cukup untuk membayar keperluan sekolah sahaja?

Sudut-sudut seperti itu perlu diperhatikan kerana ia melibatkan tanggungjawab yang bakal dipersoalkan nanti di akhirat.

Bagi yang mengharamkan dan tidak membenarkan hiburan seperti musik dan konsert, janganlah menghukum setiap individu dengan tuduhan kasar seperti ahli neraka, sahabat syaitan, golongan fasik dan sebagainya. Kerana kesudahan seseorang itu hanya diketahui oleh Allah s.w.t dan hanya Dia yang layak menghukum hamba-hamba-Nya. Sewajarnya biarlah hanya membenci acara dan aktiviti yang dijalankan, bukan orang-orangnya.    

 

Kesimpulan

Terdapat sebuah kaedah fiqh yang bermaksud bahawa perkara-perkara yang diijtihadkan oleh para ulama yang muktabar tidak boleh diingkari kerana setiap pihak mempunyai dalil dan hujah tersendiri. Apa yang wajar adalah mengamalkan sikap ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ sesama umat Islam. Elakkan dari sikap menyesatkan atau menerakakan orang lain yang tidak sependapat. Walaupun musik dan segala upacara yang berkaitan dengannya dianggap harus oleh sebahagian ulama, ia perlu kepada sikap yang betul. Seorang muslim yang berakal dan adil, sudah pasti hanya akan mengambil bahagian yang menurut keperluannya sahaja. Janganlah sampai melampau sehingga setiap detik waktu hidup seharian tidak boleh lekang dari musik. Sehingga ibadah seperti solat dan berzikir terabai. Apabila tiada musik, boleh jadi gila dibuatnya. Jika itu berlaku, maka itu petanda bahawa pengaruh musik telah mencengkam dirinya dan itu sudah pasti memudaratkannya. Membiarkan kemudaratan ke atas diri sendiri adalah haram. Ibarat makanan, hukum asalnya adalah harus dimakan tetapi apabila ia diambil secara tamak dan berlebihan, sehingga memudaratkan diri seseorang maka ia menjadi dosa dan haram. Justeru, berlaku adil kepada diri sendiri dan berusaha mengelak dari kesusahan di belakang hari adalah sikap yang terpuji.

Wallahu a’lam.