Soalan
Apakah pandangan Islam tentang rasuah?
Jawapan
(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)
Menurut Imam Al-Baghawi, rasuah adalah sesuatu yang diberi untuk menafikan yang hak atau untuk menegakkan yang batil.
Dr. Yusuf Al-Qardhawi pula berpandangan bahawa rasuah adalah wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkan pemberi rasuah, atau merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya. Hukum rasuah adalah haram berdasarkan Al-Quran, hadis dan kesepakatan (ijma‘) ulama.
Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu Dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)” (Al-Baqarah: 188)
Imam Az-Zahabi berpendapat ayat ini merupakan larangan memberi rasuah kepada pihak penguasa bagi menghalang satu hak orang lain untuk kepentingan diri sendiri sedangkan dia tahu perkara itu bukanlah haknya.
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud, seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang bernama Abdullah bin Amr bin Al-‘As berkata: “Rasulullah s.a.w. melaknati orang yang memberi rasuah dan juga yang menerima rasuah.”
Imam Ibn Qudamah berpendapat para ulama telah bersepakat (ijma‘) bahawa amalan rasuah adalah haram dan dianggap sebagai satu dosa besar.
Biasanya, amalan rasuah dikaitkan dengan sikap manusia yang tidak merasa cukup dengan apa yang ada ditangannya, perasaan tamak, keinginan untuk hidup mewah yang meluap-luap dan rasa dengki dengan kelebihan yang ada pada orang lain.
Setiap perkara yang Allah s.w.t. perintah manusia untuk lakukan atau melarang dari melakukannya pasti mempunyai hikmah yang tersendiri.
Hikmah disebalik pengharaman rasuah ialah supaya hak dan kebenaran dapat ditegakkan dan diberi kepada yang empunya, sistem keadilan dalam banyak urusan pentadbiran dapat berjalan dengan baik, dan setiap individu dalam sesebuah masyarakat dapat menikmati bahagian hidup masing-masing tanpa ditindas dan diperdaya.
Inilah prinsip Islam terhadap kehidupan.
Setiap hak itu diberi kepada yang berhak dan bukan sebaliknya dengan cara rasuah, menipu, merampas hak orang dan sebagainya.
Selain itu, amalan rasuah membawa banyak keburukan.
Keburukan yang boleh dijangka ialah seperti berikut:
• Kepincangan terhadap kestabilan sistem pentadbiran, seperti orang yang tidak berkelayakan mendapat jawatan tertentu kerana rasuah yang diberikannya.
• Hilang kepercayaan kepada pihak yang berkuasa dan berwajib.
• Muncul kumpulan manusia yang mementingkan diri sendiri.
• Integriti tercemar.
• Urusan menyiapkan kerja menjadi lambat dan tergendala kerana menunggu sogokan rasuah.
• Kos pengurusan akan meningkat apabila perlu menyediakan ‘bajet’ sogokan rasuah dan ini akan lebih menyukarkan golongan yang baru berjinak-jinak dalam sektor perniagaan.
• Menghasilkan kerja yang tidak bermutu.
• Kekayaan dan kejayaan hanya milik kumpulan tertentu sahaja kerana boleh dibeli melalui rasuah.
• Melahirkan kumpulan masyarakat yang tidak berkemahiran. Kumpulan jenis ini tidak perlu risau tentang prestasi kerja atau hasil kerja mereka kerana wang rasuah yang boleh menyelamatkan kedudukan mereka.
• Hilang keberkatan dalam kerja yang dilakukan dan nafkah yang diperolehi.
Bagi seorang Muslim, hendaklah kita sentiasa mematuhi perintah Allah dan jauhi larangan-Nya kerana dengan mematuhi perintah-Nya, jiwa akan menjadi kaya dan kebaikan rezeki akan datang secara berterusan tanpa diduga.
Amalan mungkar seperti rasuah wajib dijauhi kerana ia hanya mendatangkan mudarat lebih dari keuntungan yang bersifat sementara.
PENGENALAN PENULIS
Muhammad Haniff Hassan
Seorang warga Singapura, bertugas sebagai Zamil di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang. Beliau berkelulusan M.Sc dan Ph.D dalam bidang pengajian strategik dari institusi yang sama. Pendidikan awalnya ialah di Madrasah Aljunied Al-Islamiyah di Singapura. Beliau kemudian melanjutkan pelajarannya di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia dengan memperoleh ijazah sarjana pertama dengan kepujian dalam Syariah dan Undang-undang. Beliau turut aktif dalam berbagai kerja sosial dan dakwah sebagai anggota Majlis Rayuan Syariah di bawah Majlis Ugama Islam Singapura, ahli Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Singapura (PERGAS), anggota Jawatankuasa Pengurusan Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiyah, anggota Majlis Skim Pengiktirafah Asatizah Muis-Pergas dan anggota Jawatankuasa Penasihat Filem Politik di bawah Penguasa Pembangunan Media Singapura. Beliau telah banyak menyumbang bahan tulisan di surat khabar Berita Harian dan artikel-artikelnya juga diterbitkan oleh surat khabar berbahasa Inggeris The Straits Times. Sehingga kini beliau telah menerbitkan lebih dari 10 buku. Beliau mempunyai blog peribadi di www.haniff.sg .
Mustazah Bahari
Berkelulusan peringkat Master dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang al-Quran dan al-Sunnah. Beliau juga adalah graduan Sarjana Muda dari Universiti Islam Madinah dalam bidang Syariah. Beliau juga mempunyai sijil diploma dalam bidang Psikologi Kaunseling dari LEE Community College. Berpengalaman dalam bidang kerjaya yang berbagai seperti menjadi pengurus dan pembimbing Haji dan Umrah. Seterusnya menceburi bidang pengurusan masjid sebagai Imam Eksekutif dan Pengurus Masjid. Pernah bertugas di Bank Negara Malaysia sebagai Eksekutif Kanan di Jabatan Perbankan Islam dan Takaful. Beliau juga aktif dalam kerja sosial dan dakwah sebagai anggota lembaga rayuan MUIS, anggota lembaga pelawat MINDEF, pakar bidang dalam istilah perbankan Islam Bank Negara Malaysia, pakar rujuk bagi silibus Joint Madrasah System MUIS, penasihat syariah bagi pelaburan dana Islam bagi AEPim Investments, Securus Partners dan Basil Property Trust. Beliau juga aktif dalam bidang penulisan dengan menyumbang artikel sejak tahun 2004 ke Berita Harian dan Berita Minggu. Selain itu, beliau juga telah menghasilkan penulisan buku hadis seperti 40 hadis untuk orang muda dan Seruan Nabi s.a.w Kepada Umatnya. Kini beliau bertugas sebagai Zamil Bersekutu di Sekolah Pengajian Antarabangsa S.Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang.