Soalan
Bidang kerja saya berbeza dengan kebiasaan orang lain. Saya bertugas setiap malam dari jam 7 malam hingga jam 6 pagi. Adakah pekerjaan seperti ini baik? Tidakkah ia bercanggah dengan sifat alam yang ditetapkan siang untuk bekerja dan malam untuk berehat?
Jawapan
(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)
Alam ini diciptakan oleh Allah s.w.t. secara adil. Setiap ciptaannya menuruti apa yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya bergerak mengikut kadar yang telah ditetapkan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Fussilat, ayat ke 9-10, yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya tidak patut kamu kufur kepada Tuhan yang menciptakan bumi dalam dua masa, dan kamu adakan sekutu-sekutu bagi-Nya! Yang demikian (sifat-Nya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan sekalian alam. Dan Ia menjadikan dibumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta Ia melimpahkan berkat padanya, dan Ia menentukan ada pada-Nya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka; (semuanya itu berlaku) dalam empat masa.”
Jika terdapat sedikit sahaja perubahan pada perjalanan alam ini, maka dunia akan hancur dan segala isinya akan binasa.
Itulah sistem yang teratur milik Allah yang Maha Kuasa lagi Bijaksana. Semuanya untuk memberi kehidupan yang selesa kepada manusia dan setiap penghuni dunia.
Bekerja untuk mencari nafkah yang halal adalah usaha yang terpuji. Ia merupakan kebiasaan dan amalan para Nabi dan golongan orang soleh, seperti Nabi Musa bekerja dengan mengambil upah dengan Nabi Syuaib.
Persoalan mengenai bekerja di waktu malam dari sudut pandangan agama, tidak menjadi masalah selagi mana ia tidak membawa kemudaratan kepada kesihatan badan. Tidak dinafikan bahawa umumnya waktu bekerja adalah pada siang hari. Tetapi di waktu malam juga ada keperluan yang mendesak untuk sesuatu pekerjaan itu dilakukan, kerana ia tidak sesuai dilakukan pada waktu siang atau memang tugas itu tidak boleh dihentikan. Sebagai contoh pekerjaan di dalam bidang kawalan keselamatan di sempadan negara seperti pegawai polis, imigresen dan kastam, kawalan penerbangan pesawat, urusan perniagaan dengan negara luar dan sebagainya. Pasti kerja-kerja seperti ini tidak boleh berhenti kerana keperluan yang mendesak.
Justeru, jika terdapat keperluan yang mendesak untuk bekerja diwaktu malam, maka ianya harus, malah wajib dilaksanakan jika ia membabitkan keselamatan nyawa manusia. Pekerjaan di waktu malam tidak dianggap sebagai bercanggah dengan sistem alam kerana manusia diberi pilihan yang luas. Seperti bulan yang ditugaskan untuk bersinar di waktu malam, maka itulah tugasnya yang perlu dilaksanakan. Begitu juga manusia sebagai makhluk ciptaan Allah, ada yang dipilih untuk bekerja di siang hari, dan ada juga yang dipilih untuk bekerja di malam hari.
Menurut Imam Ibn Katsir di dalam kitabnya al-Bidayah wa an-Nihayah, Nabi Ya‘qub a.s. juga diriwayatkan bekerja di waktu malam dan berehat di waktu siang.
Begitu juga kisah yang masyhur yang menunjukkan bahawa Saidina Umar bin Al-Khattab berjalan dan meninjau keadaan rakyatnya di Madinah pada waktu malam.
Kesimpulannya, jika bidang kerja yang dipilih merupakan pekerjaan di waktu malam dan sesuai dengan gaya hidupnya serta tidak mendatangkan sebarang masalah dari sudut kesihatan, maka tiada masalah baginya untuk teruskan kerjaya tersebut. Tetapi jika keadaan bertugas di waktu malam menyebabkan seseorang semakin sakit dan tidak mampu melakukan tanggungjawab lain dengan baik, maka dinasihatkan untuknya agar mencari kerja lain yang sesuai untuk dirinya.