Soalan
Apakah hukum membaca Al-Quran di surau-surau atau masjid dengan menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu ketenteraman penduduk di sekitarannya, khususnya di waktu subuh?
Jawapan
(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)
Peranan masjid untuk mengajak umat Islam kepadanya adalah melalui azan yang dilaungkan agar dapat didengar oleh sebanyak mungkin orang di sekelilingnya. Tujuan utamanya ialah untuk memberi makluman akan masuknya waktu solat dan mengajak umat Islam mendirikan solat berjemaah di dalam masjid.
Tiada nas di dalam Al-Quran ataupun hadis yang menyarankan suatu cara selain azan untuk mengajak manusia kepada masjid. Apatah lagi kalau cara yang digunakan mengganggu atau mengelirukan orang disekelilingnya.
Membaca Al-Quran adalah suatu amalan yang amat digalakkan. Apatah lagi kalau ia dibaca di ruangan yang mulia seperti masjid dan surau.
Namun setiap yang membaca Al-Quran atau zikir di dalam masjid perlu mengamalkan adab-adab yang tertentu. Antara adab-adab yang perlu dipelihara ialah mengawal suara ketika di dalam masjid agar tidak mengganggu orang yang sedang solat. Hal ini bersesuaian dengan hadis yang meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan Al-Quran di dalam masjid sehingga mengganggu jamaah yang lain. Abu Sa‘id al-Khudri menceritakan, “Ketika Nabi s.a.w. beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (Al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w. berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda yang bermaksud, “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat.”(Riwayat Abu Daud).
Seorang tokoh ulama di Saudi, Syeikh Muhammad Salih Al-Uthaimin mengulas hadis tadi dengan katanya: “Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (di luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa… tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, kerana manusia tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid… maka dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini… boleh sahaja berlaku di mana sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas (kerana malamnya singkat) dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya.”
Jika ini pandangan seorang ulama yang mewakili masyarakat Islam secara majoriti di negaranya, apatah lagi negara yang penduduk Islamnya adalah minoriti, tentu ia lebih sesuai dilaksanakan.
Sebelum itu lagi, ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai. Imam Ibn Al-Jauzi pernah berkata di dalam kitabnya Talbis Iblis, “Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca Al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”.
Ini adalah pandangan tegas ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidak sebesar mana, bagaimana pula jika digunakan pembesar suara seperti hari ini?
Jika dilihat pada konteks kehidupan di Singapura yang terbentuk dengan kehidupan masyarakat yang berbilang kaum dan agama, perkara seperti ini perlu diperhatikan dengan lebih kritikal kerana ia boleh disalah erti sehingga menjadikan Islam sebagai agama yang tidak peka dan bertanggungjawab. Apa sahaja yang menyebabkan rasa tidak selesa pada masyarakat patut diberi penilaian yang sewajarnya kerana Islam adalah agama yang menyebarkan Rahmat kepada seluruh alam.