Hukum cukur janggut

Soalan

Adakah mencukur janggut dianggap sebagai dosa besar?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Janggut dan misai dianggap sebagai lambang kelelakian. Menurut sebuah artikel yang berjudul, Why does God loves beard yang ditulis oleh Brian Palmer, menegaskan bahawa penganut pelbagai agama seperti Islam, Kristian, Yahudi, amat menggalakkan lelaki berjanggut kerana ia sifat semula jadi bagi lelaki. Golongan lelaki yang tidak bermisai dan berjanggut dianggap lemah, tidak matang dan tidak mampu mengeluarkan belanja.

Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum mencukur janggut. Sebahagian besar ulama memakruhkan, sebahagian yang lain mengharuskannya. Salah seorang ulama yang membolehkan memotong sebahagian janggut adalah Imam Malik, sedangkan yang memakruhkan adalah Al-Qadi ‘Iyadh.

Dalil yang menyebut tentang arahan untuk memelihara janggut adalah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar, bahawasa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Berbezalah kamu dengan orang-orang musyrik, panjangkanlah janggut dan pendekkanlah misai. Adalah Ibn Umar, jika ia menunaikan haji atau umrah, maka ia menggenggam janggutnya, dan memotong selebihnya.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Imam An-Nawawi, dalam Syarh Sahih Muslim menyatakan, bahawa hadis di atas secara zahirnya adalah perintah untuk memanjangkan janggut atau membiarkan janggut tumbuh panjang.

Para ulama salaf seperti ‘Atha bin Abi Rabah, berpendapat bahawa arahan di dalam hadis dikaitkan dengan tasyabbuh, atau menyerupai perbuatan orang-orang kafir yang ketika itu biasa mencukur janggut dan membiarkan misai. Pendapat ini disokong oleh Ibn Hajar.

Al-Qadi ‘Iyadh berkata: “Hukum mencukur, memotong, dan membakar janggut adalah makruh. Adapun memotong yang terlebih dan merapikannya adalah perbuatan yang baik. Dan membiarkannya panjang selama satu bulan adalah makruh, seperti makruhnya memotong dan mengguntingnya.”

Menurut Imam Malik, janggut yang dibiarkan terlalu panjang adalah makruh. Sebahagian ulama lain berpendapat bahawa panjang janggut yang boleh dipelihara adalah kadar segenggaman tangan. Bila ada selebihnya (lebih dari segenggaman tangan) mesti dipotong.

Diriwayatkan bahawa Imam Hasan Al-Basri biasa memendekkan dan mencukur janggut, apabila terlalu panjang dan itu tidak merendahkan dirinya.

Imam At-Thibi melarang mencukur janggut seperti orang-orang ‘ajam(bukan Muslim) dan menyambung janggut seperti ekor keldai.

Ibn Hajar juga melarang mencukur janggut hingga habis.

Jika dilihat perbahasan yang disebutkan di atas, nyata ia sesuatu yang tidak memberi hukum yang satu sahaja mengenai janggut. Ia seperti masalah-masalah fiqh yang lain juga yang diperselisihkan oleh ulama. Apabila para ulama berselisih pandangan mengenai sesuatu hukum, ia tidak boleh menjadikan masalah tersebut diputuskan secara pasti menurut satu pandangan sahaja. Ia perlu kepada huraian yang dikaitkan dengan prinsip wasatiyah (kesederhanaan).

Justeru, tidak wajar dihukumkan sebagai dosa besar bagi lelaki yang mencukur janggutnya kerana isu ini diperselisihkan oleh ulama dahulu hinggalah ke hari ini.

Dr. Ahmad Umar Hashim, mantan pengetua Universiti Al-Azhar berkata: “Tidak dinafikan bahawa mengekalkan janggut adalah lebih baik tetapi orang yang mencukur janggut tidaklah dianggap sebagai melakukan dosa, kerana ia adalah sunnah dari sudut adat.”

Syeikh Yusuf Al-Qardhawi berkata, “Benar, tiada riwayat yang menunjukkan para salaf mencukur janggut, kerana ia adalah sesuatu kebiasaan bagi mereka yang tiada keperluan untuk mencukurnya.”

Syeikh ‘Atiyyah Saqr, mantan pengerusi jawatankuasa fatwa Al-Azhar dan juga tokoh ulama Al-Azhar berkata bahawa isu janggut ini jangan dijadikan sebagai punca fanatik agama sehingga ada yang mencela sesama mereka yang tidak berjanggut. Jika diandaikan ia termasuk sesuatu yang mendatangkan dosa sekalipun, ia tidak seperti dosa berat seperti zina, makan riba, rasuah mencuri dan kesalahan-kesalahan lain yang memang besar dosanya.

Syeikh Abdur-Razzaq Al-Qattan, seorang penyelaras jawatankuasa fatwa dan pengurusan syariah di Kuwait Finance House berpendapat bahawa isu janggut ini walau tidak dinafikan keutamaan untuk kekalkannya, ia tidak boleh dijadikan paksaan untuk semua umat Islam untuk mengekalkannya, apatah lagi sekiranya ia ada keperluan mendesak untuk mencukurnya seperti masalah penyakit kulit yang sensitif, keperluan dalam berkerjaya dan keperluan sudut keselamatan. Maka, janggut boleh dicukur kerana keperluan tersebut.