1 Teck Whye Crescent

Singapore 688847

Email Us At

info@alkhair.mosque.sg

DROP US A CALL

6760 1139

Memberi upah atau hadiah anak-anak untuk solat dan beribadah

Soalan

Apa pandangan ustaz mengenai habuan yang diberikan kepada anak-anak agar mereka rajin solat dan melakukan kebaikan yang lain?

Jawapan

(Oleh Ustaz Mustazah Bahari)

Anak-anak adalah amanah Allah s.w.t. yang perlu dibimbing dan dibentuk dengan baik. Mendidik anak agar menjadi hamba Allah yang baik adalah tanggungjawab utama bagi ibu bapa. Menjadi hamba Allah yang baik adalah melalui perlaksanaan ibadah yang konsisten dan mempamerkan akhlak yang mulia terhadap manusia dan seisi alam ini. Banyak kaedah yang boleh diterokai untuk membentuk anak agar menjadi insan yang baik. Islam tidak menetapkan kaedah-kaedah tertentu untuk membesarkan anak. Malah apa sahaja yang membawa kebaikan kepada anak dari sudut lingkungan pandangan syariat Islam, maka ia dibenarkan.

Jika dirujuk kepada Al-Quran sahaja, terdapat kisah-kisah bimbingan di kalangan para Nabi dan orang-orang soleh terhadap anak-anak mereka. Sebagai contoh, kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail, Nabi Ya‘qub, Nabi Daud dan Nabi Sulaiman. Begitu juga kisah Luqman Al-Hakim yang memberi kata-kata nasihat kepada anak-anaknya.

Memberi hadiah atau habuan kepada anak-anak adalah satu kebaikan. Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu saling memberi hadiah nescaya kamu akan berkasih sayang.” (Riwayat Al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad dan Malik). Dapat difahami dari hadis ini galakan untuk saling memberi hadiah sesama manusia, apatah lagi kalau mereka adalah anggota keluarga yang terdekat. Ini boleh membangkitkan lagi rasa cinta dan kasih sayang di dalam keluarga.

Justeru, memberi anak-anak habuan untuk mereka lakukan kebaikan seperti solat, membaca Al-Quran dan sebagainya adalah satu perkara yang harus dilakukan. Tetapi ia perlu diselitkan dengan peringatan lain seperti menjelaskan erti keikhlasan agar anak-anak tidak mengambil kesempatan terhadap kelebihan yang mereka dapat. Memberi nasihat dan pedoman kepada anak-anak mengenai melakukan kebaikan tanpa mengharap balasan berbentuk kebendaan amatlah digalakkan.

Pernah diceritakan bahawa Imam Ahmad mendapat habuan dari ibunya untuk pergi ke masjid berjemaah subuh sewaktu beliau masih kecil. Hal itu berterusan sehingga Imam Ahmad semakin membesar dan dapat berfikir secara matang lalu beliau sendiri memberitahu ibunya agar tidak memberinya lagi habuan kerana beliau mengharapkan habuan yang lebih besar daripada Allah s.w.t.