Tunai haji tanpa izin suami*

Soalan

Saya telah mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menunaikan fardu haji. Saya juga mempunyai mahram untuk menunaikan haji bersama saya. Walau bagaimanapun, suami saya tidak mempunyai wang simpanan yang mencukupi untuk menunaikan haji bersama saya. Beliau tidak mengizinkan saya untuk pergi menunaikan haji, walaupun saya mempunyai mahram.

Saya berasa sedih dan ingin bertanya pendapat ustaz sama ada saya tetap berkewajipan menunaikan haji.

Jika saya tidak pergi adakah saya berdosa kerana telah berkemampuan dan mempunyai mahram?

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Dr. Wahbah Az-Zuhaili dalam bukunya al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu (terbitan Dar al-Fikr, jilid 3, muka surat 62) dalam topik halangan menunaikan haji, menyatakan bahawa di sisi mazhab Asy-Syafi‘i, suami boleh menghalang isteri untuk menunaikan haji yang fardu dan sunat.

Hal ini disebabkan kerana kewajipan menunaikan haji adalah kewajipan yang boleh ditangguh.

Manakala kewajipan menunaikan hak kepada suami adalah kewajipan yang berterusan dan perlu ditunaikan segera.

Namun majoriti ulama dari mazhab lain membenarkan isteri yang berkemampuan dan mempunyai mahram untuk menunaikan haji tanpa izin suami.

Mereka berpendapat suami tidak boleh menghalang isteri menunaikan haji yang fardu kerana kewajipan haji di sisi mereka bukan kewajipan yang boleh ditangguh.

Oleh itu, tidak wajib mematuhi kehendak suami yang tidak membenarkan menunaikan haji.

Dalam hal ini, saya lebih cenderung untuk mencadangkan puan berpegang kepada pandangan mazhab Asy-Syafi‘i dalam persoalan ini.

Selain itu, terdapat kaedah hukum Islam yang dipegang oleh para ulama yang berbunyi “huququn-nas mabniyah ‘alal-mushahhah wa huququllah mabniyah ‘alal-musamahah” yang bermaksud “hak manusia dibina atas dasar tidak boleh berlebih kurang manakala hak Allah s.w.t. dibina atas dasar berlebih kurang”.

Hal ini adalah kerana manusia secara semula jadi bersifat lokek dengan hak miliknya dan penakatannya bergantung pada haknya dipenuhi.

Sedangkan sifat Allah s.w.t. pula ialah Maha Pemurah, Pemaaf dan Kaya. Allah s.w.t. tidak memerlukan apa-apa dari manusia untuk hidup dan bersedia memaafkan apa jua kekurangan.

Berdasarkan kaedah ini, sebahagian ulama berpendapat, apabila berlaku pertembungan antara hak manusia dan hak Allah s.w.t., hendaklah mengutamakan kewajipan memenuhi hak manusia (dalam konteks ini hak suami) dari memenuhi hak Allah s.w.t.

Perlu difahami ikatan suami isteri adalah ikatan yang berpanjangan sehingga akhir hayat.

Meneruskan hasrat puan tanpa izin suami boleh mengakibatkan masalah hubungan antara puan dan suami puan yang boleh berpanjangan dan menjejas rumah tangga puan kemudian.

Puan hendaklah bersabar menghadapi masalah ini dan berdoa agarAllah s.w.t. membuka hati suami puan untuk memberi keizinan atau memurahkan rezeki beliau untuk mempunyai simpanan wang yang cukup bagi menunaikan haji bersama.

Jika puan membatalkan hasrat untuk menunaikan haji kerana patuh kepada suami, bukan kerana mengambil ringan terhadap kewajipan agama, sesungguhnya Allah s.w.t. Maha Mengetahui akan niat puan yang ikhlas dan halangan yang puan hadapi.

Allah s.w.t. Maha Pengasih, Dia tidak akan menzalimi puan dengan menghukum puan atas sesuatu yang di luar kemampuan puan.

Ada pun tindakan suami puan tidak memberi keizinan, Allah s.w.t. Maha Mengetahui akan niat dan isi hatinya dan dia pasti akan dihisab dengan adil atas niat dan alasannya.

*Berita Harian, 2 Ogos 2013.