Islam dan amalan homoseksual*

Soalan

Apakah pandangan Islam terhadap amalan homoseksual di kalangan lelaki dan perempuan.

Ramai dari kalangan mereka berpendapat bahawa perasaan yang ada terhadap kaum sejenis adalah sesuatu yang semula jadi dalam diri mereka dan mereka terperangkap dengan keadaan. Bagaimanakah seseorang yang cenderung kepada kaum sejenis dapat melawan perasaan sedemikian?

Bagaimana pula mereka dapat berpatah balik?

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Pada pendapat saya Islam melarang amalan homoseksual di kalangan lelaki dan perempuan.

Apa yang saya maksudkan dengan homoseksual di sini ialah hubungan seks sesama jenis, baik dalam bentuk penetrasi atau foreplay, bukan perasaan kasih atau cinta yang ada pada seorang terhadap rakan sejenis.

Perasaan sebegini bukan sesuatu yang dilarang oleh Islam sama sekali.

Islam memerintahkan kita saling mengasihi sesama manusia.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Kasihilah apa yang ada di bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh yang berada di langit [Tuhan].” (Riwayat At-Tirmizi)

Islam juga menganjurkan semua Muslim (lelaki dan perempuan) agar memberi kemuncak tertinggi kasihnya kepada Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga aku menjadi orang yang paling dia kasihi dari ibu bapa dan anak-anaknya sendiri dan manusia sekalian.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w. dan sahabatnya amat kasih mengasihi sesama mereka sebagaimana disebutkan dalam surah Al-Fath, ayat ke 29, yang bermaksud: “Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredhaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w. dan pengikut-pengikutnya berkembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.”

Hujah agama

Mengenai larangan hubungan seks sesama lelaki, Al-Quran ada menceritakan kisah Nabi Lut yang diutus oleh Allah s.w.t. untuk memperbaiki kaumnya yang mengamalkan perbuatan ini. Kaum ini kemudiannya dimusnahkan oleh Allah s.w.t. kerana kedegilan mereka.

Walaupun tiada pernyataan secara jelas dalam Al-Quran bahawa seks sesama lelaki adalah haram sebagaimana Allah s.w.t. haramkan bangkai di dalam surah Al-Ma’idah, ayat 3. Namun terdapat logik yang jelas akan pengharamannya sebagaimana berikut:

Al-Quran mengharamkan apa yang ia namakan sebagai “fahisyah” (sesuatu yang keji) di dalam ayat-ayat, seperti di dalam surah Al-A‘raf, ayat ke 33, dan surah An-Nahl, ayat ke 90. Segala yang disifatkan sebagai “fahisyah” sentiasa dikaitkan dengan sesuatu yang terlarang atas dasar haram bukan makruh seperti dalam ayat-ayat di dalam surah Al-Baqarah, ayat ke 169 dan 268, surah Al-An‘aam, ayat ke 151, surah Al-A‘raf, ayat ke 28, surah An-Nur, ayat ke 19, dan surah Asy-Syuraa, ayat ke 37.

Al-Quran pula mensifatkan hubungan seks sesama jenis lelaki sebagai “fahisyah” di dalam surah Al-A‘raf, ayat ke 80, surah An-Naml, ayat ke 54 dan surah Al-Ankabut, ayat ke 28.

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa hubungan sesama jenis lelaki adalah terlarang.

Sememangnya Al-Quran juga tidak menggunakan perkataan jimak dalam mensifat perbuatan kaum Lut yang tercela tapi ini tidak menafikan kesimpulan di atas kerana:

Perkataan “ta’tuuna” dalam ayat-ayat yang mensifatkan perbuatan kaum Lut itu seperti dalam surah Al-A‘raf, ayat ke 81, walaupun pada asalnya bermakna “mendatangi” ia bukan bermaksud mendatangi sebagai satu interaksi sosial kerana dalam ayat itu Al-Quran kaitkannya dengan perbuatan bersyahwat dan “fahisyah” – sesuatu yang terlarang – sedangkan “mendatangi” dalam erti interaksi sosial sesama jenis bukan sesuatu yang dilarang sama sekali sebagaimana yang dicontohkan dalam kehidupan sosial Rasulullah s.a.w. bersama para sahabat lelaki.

Memaknakan “mendatangi” dengan erti jimak sebagai satu kiasan sesuai dengan cara Al-Quran dalam membicarakan persoalan ini. Ia amat konsisten dengan perkataan yang digunakan juga bagi hubungan seks antara suami isteri dalam surah Al-Baqarah, ayat ke 223.

Sifat “fahisyah” dalam Al-Quran juga sering kali diguna pakai sebagai kiasan bagi zina, iaitu seks yang terlarang.

Bahkan perkataan jimak yang memberi makna langsung pada perbuatan seks memang tidak digunakan sama sekali dalam Al-Quran, hatta dalam mensifatkan zina sekali pun.

Dahsyatnya azab yang ditimpakan ke atas kaum Nabi Lut juga menjadi petanda bahawa perbuatan mereka itu adalah haram dan bukan hanya sesuatu yang tidak disukai sahaja (makruh).

Berdasarkan pada hujah-hujah dan logik di atas, pengharaman seks sejenis lelaki mempunyai asas yang kuat.

Al-Quran memang tidak menyentuh soal hubungan seks sejenis antara perempuan tetapi larangan ke atasnya dapat dikiaskan pada larangan ke atas hubungan seks sesama lelaki kerana maksudnya yang sama.

Ini diperkuatkan pula oleh hadis yang melarang hubungan jenis sesama perempuan.

Dalam Islam hubungan seks hanya boleh dilakukan oleh;

a) pasangan lelaki dan wanita, dan

b) melalui ikatan tali perkahwinan yang sah.

Sejumlah besar ulama berpendapat bahawa Islam juga melarang hubungan seks melalui dubur, hatta oleh pasangan suami isteri.

Ini kerana Allah yang mencipta manusia tidak mencipta saluran dubur bagi tujuan seks.

Bahkan, Islam juga melarang lelaki dan wanita untuk memuaskan nafsu seks mereka sendiri.

Islam menganjurkan lelaki dan wanita untuk berkahwin bagi memenuhi naluri seksnya. Ini adalah cara yang lebih sesuai dengan fitrah kejadian manusia dan kehidupan yang suci.

Persepsi bahawa perasaan sedemikian adalah naluri semula jadi sejak lahir adalah tidak tepat. Islam berpendapat bahawa semua bayi lahir atas fitrah yang murni. Iaitu bersih dari segala kecenderungan yang buruk.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Semua bayi dilahirkan atas fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kenapa Rasulullah s.a.w. tidak memasukkan menjadikannya seorang Islam juga?

Kerana Islam adalah fitrah semula jadi setiap manusia. Fitrah Islam bersih dari kecenderungan sedemikian.

Hujah Sains

Hujah bahawa kecenderungan homoseksual adalah sesuatu yang tabi‘i atau bersebabkan baka (gene) bukanlah satu dapatan saintifik yang konklusif.

Ustaz Dr. Firdaus Yahya ada menulis satu makalah bertajuk LGBT: A Critical Study yang diterbitkan oleh Pergas dalam terbitannya Jurnal Dakwah, edisi Disember 2012.

Makalah ini boleh didapati melalui internet dengan membuat carian menggunakan tajuknya.

Dalam makalah ini, beliau menolak melalui kajian sains sendiri akan kelemahan hujah sedemikian.

Saya bersetuju dengan dapatan makalah ini juga bahawa kecenderungan itu adalah sesuatu yang mendatang bukan semula jadi. Ia mungkin disebabkan oleh pendidikan, pengaruh sosial atau penyakit.

Hujah Golongan Gay dan Jawapan

Segolongan Muslim yang bersimpati pada golongan gay Muslim berhujah bahawa hubungan seks sesama jenis adalah halal kerana yang dicela dan dilarang dari perbuatan seks sesama jenis ialah apabila ia dilakukan dalam bentuk perkosaan (tanpa kerelaan salah satu pihak) atau dalam bentuk seks bebas (luar ikatan perkahwinan), sebagaimana juga hubungan seks berlainan jenis dalam bentuk perkosaan dan di luar nikah juga adalah haram.

Golongan ini juga berhujah dengan ayat Al-Quran dari surah An-Nahl, ayat ke 72, bahawa Allah telah menjadikan dari kalangan manusia berpasang-pasang tanpa membataskan pada pasangan berlainan jantina.

Berdasarkan hujah-hujah di atas, golongan ini lalu menyimpulkan hubungan seks antara pasangan gay adalah halal jika dilakukan dalam hubungan perkahwinan di mana kedua-dua pihak saling bersetuju untuk mengikat hubungan mereka secara serius (bukan rambang) dalam bentuk perkahwinan yang formal, sama seperti hubungan seks heteroseksual yang hanya halal jika dilakukan dalam ikatan perkahwinan.

Hujah ini, walau bagaimanapun, bermasalah kerana perkara-perkara berikut;

Semua ayat-ayat berkaitan perkahwinan dalam Al-Quran merujuk pada perkahwinan antara lelaki dan perempuan seperti yang dapat di lihat dalam ayat-ayat dari surah An-Nisaa’, ayat ke 3 dan 25, serta surah An-Nur, ayat ke 26.

Walaupun di dalam surah An-Nahl, ayat ke 72, tidak mengkhususkan makna perkataan pasangan pada pasangan lelaki-perempuan, tapi terdapat petunjuk yang jelas bahawa perkahwinan yang dimaksudkan dalam ayat ini merujuk pada perkahwinan antara lelaki dan perempuan, bukan perkahwinan pasangan sesama jenis.

Hal ini dapat di lihat dari frasa “…menjadikan bagimu dari pasangan-pasangan kamu itu, anak anak dan cucu-cucu…”, yang memberi maksud jenis perkahwinan yang pada tabi‘inya boleh melahirkan zuriat atau mencapai tujuan penerusan zuriat manusia.

Frasa ini dengan sendirinya mengecualikan perkahwinan pasangan sesama jenis kerana telah diketahui umum bahawa perkahwinan jenis ini tidak akan mampu mencapai tujuan penerusan zuriat manusia.

Berdasarkan ini, boleh disimpulkan bahawa perkahwinan yang diakui oleh Al-Quran hanyalah perkahwinan antara pasangan yang berlainan jenis.

Oleh itu, dapat disimpulkan juga bahawa seks sesama jenis tetap dilarang sama ada atas dasar suka sama suka dan dalam ikatan perkahwinan dan lebih terlarang lagi jika dilakukan atas dasar paksaaan atau di luar ikatan perkahwinan.

Sikap dan Layanan Yang Betul

Walaupun golongan gay dan lesbian telah melakukan kemunkaran disisi Islam tetapi menangani mereka haruslah mengikut prinsip dakwah umum iaitu dengan cara hikmah, nasihat yang baik dan perdebatan dengan cara yang terbaik sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nahl, ayat ke 125, yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Mencela, menyisih dan menghina mereka semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah.

Kesalahan mereka juga tidak bermakna mereka, secara dasarnya, boleh didiskriminasi dalam bidang pekerjaan atau dalam perkara-perkara lain yang tidak berkaitan langsung dengan tabiat mereka atau galakan terhadap cara hidup mereka atau diperlaku secara tidak adil, seperti dibuli.

Al-Quran anjurkan umat Islam berlaku adil, hatta kepada orang yang pernah berbuat zalim atau pelaku maksiat, sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Ma’idah, ayat ke 8, yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Al-Quran juga menetapkan hubungan sesama manusia haruslah atas hormat dan memuliakan kerana Allah s.w.t. memuliakan semua anak Adam, sebagaimana yang dinyatakan di dalam surah Al-Isra’, ayat ke 70, baik yang taat atau yang inkar.

Seorang Muslim tidak boleh mempunyai sikap ‘perasan’ diri sendiri lebih baik dan mulia, walaupun kepada pelaku maksiat, kerana ia adalah sesuatu yang dilarang dalam Al-Quran, sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Najm, ayat ke 32 dan merupakan sifat Iblis yang tercela, sebagaimana firman-Nya di dalam surah Sad, ayat ke 76.

Pendirian moral kita bahawa seks sesama jenis adalah haram tidak seharusnya menyebabkan kita menghukum bahawa pelakunya pasti ahli neraka kerana persoalan sedemikian adalah hak ketentuan Allah ta‘ala semata-mata, bukan hak manusia sebagaimana firman-Nya di dalam surah Ali-‘Imran, ayat ke 128 yang bermaksud: “Bukan urusan kamu [Muhammad] tentang [nasib] mereka itu, atau sama ada Allah mengazab mereka atau memberi taubat pada mereka….”.

Selain itu, Allah s.w.t. menghisab manusia secara menyeluruh, bukan hanya maksiat yang dilakukannya.

Oleh itu, walaupun pelaku seks sesama jenis telah melakukan yang haram tidak mustahil Allah s.w.t. memasukkan mereka ke syurga-Nya kerana amal baiknya yang lain atau atas rahmat dari-Nya sebagaimana yang dapat dilihat dalam kisah pembunuh 100 nyawa di atas.

Di dalam hadis lain, riwayat Al-Bukhari pula, Rasulullah s.a.w. bercerita tentang seorang pelacur yang diampunkan Allah s.w.t. kerana memberi minum seekor anjing yang kehausan.

Pulang Ke Pangkal Jalan

Berkaitan dengan kembali ke pangkal jalan, berikut adalah cadangan saya.

[Pertama], mula-mula sekali golongan berkenaan mestilah menginsafi dan menerima bahawa kecenderungan itu bukanlah satu kecenderungan yang sihat dan baik. Ia adalah satu amalan yang buruk dari segi sosial, kesihatan dan agama.

[Kedua], mereka haruslah mempunyai azam untuk mengubah diri. Jika mereka sendiri tiada kemahuan untuk mengubah diri dan tidak berusaha, tiada siapa dapat mengubah keadaan mereka. Allah s.w.t. tidak mengubah sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri mahu mengorak langkah untuk berubah sebagaimana firman-Nya di dalam surah Ar-Ra‘d, ayat ke 11.

[Ketiga], setelah mempunyai azam buatlah langkah yang positif, antaranya ialah:

a. Jauhilah segala anasir dan persekitaran yang berkaitan dengan kecenderungan itu.

Tinggalkan tempat-tempat berkenaan dan jauhi teman-teman yang sedemikian.

Dalam sebuah hadis ada mengisahkan mengenai seorang yang telah membunuh nyawa kemudian ingin bertaubat.

Beliau dinasihatkan agar berpindah ke tempat yang baru untuk memulakan kehidupan yang baru.

Sesiapa pun yang mengkaji masalah sosial pasti akan mengetahui akan pengaruh persekitaran dan teman dalam tingkah laku seseorang.

Ini tidak bermakna bahawa kita mengasingkan mereka yang berkecenderungan seperti itu, tapi ia adalah langkah awal yang penting untuk satu kehidupan yang baru.

Seseorang itu boleh sahaja kembali membantu teman-temannya setelah dia berubah dan mempunyai kekuatan diri.

b. Dapatkan seorang guru agama untuk mendapat bimbingan dari segi keagamaan.

Agama adalah sumber kekuatan yang baik untuk memelihara seseorang itu.

c. Dapatkan seorang kaunselor untuk mendapat bimbingan dari segi kejiwaan. Ini adalah kerana kebanyakan masalah ini mempunyai kaitan dengan kejiwaan.

d. Dapatkan seorang doktor untuk mendapat rawatan.

Kadangkala masalah ini boleh di atasi dengan rawatan perubatan. Islam berpendapat setiap ‘penyakit’ ada penawarnya. Begitulah juga dengan kecenderungan ini.

Allah s.w.t. tidak akan mengubah sesuatu kaum kecuali dia sendiri mengambil langkah untuk mengubah keadaan. Di mana ada kehendak, di sana pasti ada jalan. Yang penting ialah seseorang itu berusaha.

Dalam berusaha kadangkala ia gagal tetapi ia harus terus berusaha dan tidak boleh berputus asa.

Allah s.w.t. adalah Maha Pengasih dan Dia tidak akan mensia-siakan usaha hamba-Nya.

*Berita Harian, 13 Disember 2013.