Mati dalam berhutang tidak elok di sisi Islam*

Soalan

Seorang hamba Allah telah meminjam wang daripada saya. Baru-baru ini dia telah meninggal dunia dengan meninggalkan dua orang balu dan empat anak. Ada pendapat mengatakan ruh si mati akan berligar-ligar di pintu syurga sehingga hutangnya terbayar.

Mohon terangkan cara terbaik bagi saya menuntut wang pinjaman tersebut.

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Berhutang adalah sesuatu yang dibenarkan oleh Islam. Tapi terdapat banyak juga dalil yang menunjukkan Islam kurang menggalakkan umatnya berhutang.

Antaranya ialah doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari azab kubur, aku berlindung kepada-Mu dari fitnah Dajjal, dan aku berlindung kepada-Mu dari fitnah hidup dan fitnah mati. Ya Allah, sesungguhnya akuberlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang.” (Riwayat Al-Bukhari)

Mati dalam keadaan berhutang tidak elok di sisi Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Adapun hutang itu, demi jiwaku yang berada ditangan-Nya (Allah), jika ada seorang lelaki dibunuh di jalan Allah kemudian dia hidup semula lalu dia dibunuh lagi di jalan Allah kemudian dia hidup semula lalu dia dibunuh lagi, dia tidak akan masuk syurga sehingga hutang itu dibayar.” (Riwayat Ahmad).

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Ruh seorang mukmin yang berhutang akan tergantung-gantung hingga hutangnya dilunaskan.” (Riwayat Ahmad, At-Tirmizi dan Ibn Majah)

Hadis di atas menjawab soalan anda tentang keadaan ruh seseorang yang mati tidak membayar hutangnya.

Begitu berat beban hutang ke atas seseorang, hingga Rasulullah s.a.w. tidak mahu melakukan solat jenazah ke atasnya.

Diriwayatkan dalam sebuah hadis lain bahawa Rasulullah s.a.w. apabila dibawa kepadanya seorang lelaki yang mati dan ada hutang, dia akan bertanya: “Adakah dia meninggalkan bayaran untuk hutangnya?” Jika diberitahu bahawa ada tinggalan untuk membayar, Rasulullah s.a.w. akan solat ke atasnya. Jika tidak, beliau akan bersabda yang bermaksud: “Sembahyanglah kamu ke atas sahabat kamu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Bahkan, seorang yang mati syahid di dalam perang pun ganjaran Allah kepadanya boleh tertahan kerana hutang yang ditinggalkan.

Sebuah hadis melaporkan seorang sahabat bertanya Rasulullah s.a.w., maksudnya: “Apakah pendapatmu jika aku dibunuh di jalan Allah, adakah dosaku akan dihapuskan?” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ya. Jika anda sabar dan mengharap ganjaran Allah, maju ke hadapan dan tidak mundur kecuali (jika) berhutang. Sesungguhnya Jibril berkata kepadaku sedemikian.” (Riwayat Ahmad)

Apabila seseorang itu mati dan meninggalkan hutang, menjadi kewajipan ke atas warisnya untuk membayar segala hutangnya itu melalui harta warisannya.

Hutang hendaklah dibayar dari harta warisan sebelum ia dibahagi-bahagikan kepada para waris.

Jika si mati tidak mempunyai harta warisan atau harta warisannya tidak cukup untuk membayar semua hutang yang ada, tidak wajib ke atas waris untuk membayar dari harta mereka bagi pihak si mati kerana beban hutang tidak dipindahkan kepada waris kecuali jika ada kontrak yang secara jelas menyatakan sedemikian dan waris berkenaan turut bersetuju dengannya.

Waris hanya dianjurkan sahaja membayar hutang si mati yang dikira sebagai sedekah dan atas dasar ihsan.

Apa yang anda boleh lakukan ialah untuk bertemu dengan ketua para waris si mati dan memaklumkan tentang hutang si mati kepada anda pada masa yang sesuai.

Seharusnya anda membawa bukti akan adanya hutang berkenaan dalam bentuk bertulis atau dua saksi.

Ketiadaan bukti menjadikan pembayaran hutang si mati kepada anda tertakluk pada ihsan para waris kerana mereka tidak wajib mempercayai kata-kata anda tanpa bukti.

Sebab itulah Islam menyuruh umatnya menulis atau mencatat hutang dan mempersaksikannya sebagaimana dinyatakan di dalam surah Al-Baqarah, ayat 282.

Jika anda mempunyai bukti yang sah tetapi waris tidak mahu membayar hutang dari harta warisan yang ada, pilihan terbaik bagi anda ialah untuk mendapatkan khidmat peguam bagi membuat tuntutan.

Peguam pastinya akan menasihatkan anda akan saluran-saluran yang baik dan sah bagi tuntutan berkenaan.

*Berita Minggu, 28 Julai 2013.