Soalan
Saya ingin mengetahui tentang hukum orang yang kencing berdiri kerana saya pernah mendengar bahawa salah satu kategori orang yang tak masuk syurga adalah orang yang kencing berdiri. Kebiasaannya kencing berdiri lebih mudah dalam banyak keadaan berbanding duduk atau menyangkung. Boleh ustaz terangkan lebih terperinci tentang hukum orang yang kencing berdiri dan adakah kelonggaran atau keadaan yang dimaafkan?
Jawapan
(Oleh Ustaz Haniff Hassan)
Majoriti para ulama berpendapat bahawa kencing duduk adalah lebih dianjurkan, namun mengharuskan juga bagi orang lelaki untuk kencing berdiri.
Yang melakukannya hanya perlu pastikan agar tidak mengotori pakaiannya dan beristinjak dengan betul.
Selain itu, apabila ingin melakukannya di tandas awam yang terbuka, perlulah ambil kira soal menjaga aurat kerana mendedahkan aurat, apatah lagi kemaluan, kepada pandangan umum adalah dilarang.
Kencing berdiri mungkin lebih mudah dan ringkas dari kencing duduk atau menyangkung, tetapi saya berpendapat duduk atau menyangkung lebih elok, selamat dari najis dan, jika di tandas awam, lebih kelihatan sopan.