Berkhayal [fantasi] buat zina dengan orang lain*

Soalan

Adakah berdosa bagi seseorang yang berkhayal melakukan zina dengan seseorang lain?

Bagaimana pula jika pasangan suami/isteri membayangkan seseorang lain untuk menaikkan nafsu semasa berasmara?

Adakah cara berkesan atau sesuai untuk mengatasi gangguan perasaan sebegini terutama dengan pelbagai kemudahan maklumat dan terdedah dengan gaya hidup sosial yang lebih terbuka dan bebas?

Jawapan

(Oleh Ustaz Haniff Hassan)

Para ulama berbeza pendapat mengenai perbuatan berniat melakukan maksiat sahaja seperti berfantasi seks dengan bukan pasangan yang sah.

Saya condong kepada pendapat bahawa ia tidak membawa dosa kerana hadis di bawah:

Dari Ibn Abbas r.a. dari Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang beliau riwayatkan dari Tuhannya Yang Maha Suci dan Maha Tinggi, maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan kebaikan dan keburukan, kemudian menjelaskan hal tersebut. Siapa yang ingin melaksanakan kebaikan kemudian dia tidak mengamalkannya, maka dicatat di sisi-Nya sebagai satu kebaikan penuh. Jika dia berniat melakukannya dan kemudian melaksanakannya, maka Allah akan mencatatnya sebagai sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kali lipat bahkan hingga berlipat-lipat ganda. Jika dia berniat melaksanakan keburukan, kemudian dia tidak melaksanakannya maka baginya satu kebaikan penuh. Sedangkan jika dia berniat kemudian melaksanakannya, Allah mencatatnya sebagai satu keburukan.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Namun, perlu saya pertegaskan tidak berdosa bukan bermakna boleh atau elok melakukannya.

Berfantasi melakukan seks dengan orang lain untuk menaikkan nafsu, pada pandangan saya, tetap sesuatu yang perlu dijauhi kerana:

• ia boleh membuka kepada maksiat yang sebenar

.• mengakibatkan masalah-masalah psikologi i.e. seorang itu akhirnya akan bergantung dengan fantasi sedemikian untuk memenuhi keper-luan seksnya.

• kemungkinan-kemungkinan keburukan yang lain (hal ini memerlukan pandangan pakar psikologi).

Atas sebab ini juga, sebahagian ulama menghukumkan berfantasi seks sebagai makruh dan ada pula golongan yang lebih konservatif mengharamkannya.

Beringatlah, nafsu dan fantasi manusia tiada batasnya.

Jika anda membiasakannya semata-mata kerana ia tidak berdosa, dimanakah nanti batasnya.

Oleh itu, janganlah dibiasakan perasaan sedemikian dan usahakanlah untuk mengatasinya sebelum ia menjadi lebih buruk.

Jika anda merasa telah terjebak dan sukar mengatasinya, maka segeralah berjumpa dengan pakar psikologi atau psikiatri untuk terapi.

*Berita Harian, 28 Jun 2013.